“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran) ALLAH bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Rum: ayat 21)
Bernikah dan berkeluarga merupakan sunnah Nabi SAW. “Nikah adalah sunnahku dan siapa yang tidak mahu mengamalkan sunnahku bererti bukan sebahagian dariku.
Nikahlah, kerana sesungguhnya aku akan berbangga dengan banyaknya jumlah kalian pada hari kiamat.” (Hadis sahih lihat Shahih al-Jami’ 2/6807)
Wahai suami;
Pernahkan kita menyemak kriteria yang ada dalam diri kita? Adakah kita suami yang baik? Dikira-kira, sudah berapa banyakkah sunnah Nabi SAW yang telah dicontohi dalam hal berbuat baik kepada isteri?
Jelas, hanya Rasulullah SAW merupakan contoh ikutan terbaik dalam semua hal termasuk hal kekeluargaan. “Sungguh telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati ALLAH.” (Al-Ahzab: ayat 21)
Dalam memenuhi keperluan dan kehendak, seringkali kita terleka. Leka mencari dunia semata, di sudut yang lain kita kesampingkan kewajipan memberi pendidikan dan ilmu kepada keluarga, lebih-lebih lagi ilmu agama yang merupakan bekal akhirat.
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak durhaka kepada ALLAH terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim : ayat 6)
Isteri dan keluarga harus sering dinasihati agar taat, bertakwa dan mentauhidkan ALLAH SWT semata, menjauhi syirik, mencegah mereka daripada maksiat dan mengajarkan tentang hukum dan adab-adab dalam Islam. Semua ini hanya bisa dilaksanakan dengan ilmu.
Sesungguhnya seorang Muslim tidak akan boleh melaksanakan agamanya dengan benar kecuali dengan mempelajari Islam yang benar berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah menurut faham salafus sholeh. Sekarang, singkirkan kemalasan, lihatlah ke wajah isteri dan keluarga kita, mereka itulah amanah yang perlu diselamatkan.
Bersegeralah menghadiri majlis ilmu, tuntutlah ilmu dan sampaikan ilmu kepada mereka. Kita punya misi untuk mendidik dan menjadi contoh yang baik kepada isteri. Jadilah orang yang pertama melakukan apa yang kita nasihatkan kepadanya kerana perbuatan dan amalan yang istiqamah itu akan lebih memberi kesan berbanding hanya bercakap tanpa amal.
Kepada para pendakwah, benar, anda berusaha mengajak masyarakat amal makruf dan nahi mungkar. Akan tetapi, jangan sesekali dilupakan objek dakwah anda yang lebih utama iaitu keluarga dan kerabat anda sendiri. Seimbangkan aktiviti luar dengan aktiviti mendidik keluarga. Kalau anda ingin masuk syurga, begitu juga mereka.
Para suami idaman;
Berhiaslah anda sebagaimana anda ingin isteri anda berhias untuk anda. Berdandan dan berhias adalah perkara yang dicintai ALLAH dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW bersabda :“Sesungguhnya ALLAH itu indah dan mencintai keindahan. Kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ibnu Abbas r.a berkata, “Sungguh, aku ini berhias untuk isteriku sebagaimana aku senang jika isteriku berhias untukku. ”Amat jelas fitrah manusia sukakan sesuatu yang bersih, kemas, harum dan cantik. Rasulullah SAW melarang orang dari menolak wangian yang diberikan. “Barang siapa ditawarkan kepadanya minyak raihan, maka janganlah menolaknya, kerana ia harum baunya dan mudah dibawa.” (Hadis Riwayat Muslim)
Berdandannya suami untuk isteri tidak hanya akan menambahkan rasa cinta, malah akan membuatkan isteri semakin suka untuk memandang dan berada di samping suaminya.
Kebersihan mulut adalah antara perkara yang penting dalam keindahan hubungan suami isteri. Akan tetapi, hal ini sering diremehkan. Bau mulut dan nafas yang harum akan menyebabkan bukan sahaja pasangan kita, malah orang lain pun akan senang dan suka mendekati kita.
Aisyah pernah ditanya tentang apakah yang dilakukan pertama kali oleh Rasulullah SAW jika dia memasuki rumahnya? Aisyah menjawab, “ Bersiwak”. (Hadis Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Kalaulah tidak memberatkan umatku, pastilah akan aku perintahkan mereka untuk bersiwak setiap kali melaksanakan solat,” (Muttafaqun ‘alaih) Lalu bersiwaklah selalu wahai para suami sepertimana saranan dan telah dicontohi oleh Nabi yang mulia, Muhammad SAW. Elakkan mengambil makanan-makanan yang mempunyai bau yang kuat dan paling utama, jauhilah rokok yang menyebabkan nafas berbau apatah lagi memudaratkan tubuh badan.
Suami-suami yang soleh lagi penyayang, Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan orang yang terbaik di antara kamu adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isterinya.” (Hadis Riwayat at-tirmizi (1162), disahihkan oleh al-Albani dalam Silsilah as-shahihah (284)
Seorang suami yang soleh akan terhimpun di dalam dirinya akhlak-akhlak yang mulia. Pasti lidahnya hanya akan mengeluarkan perkataan yang baik dan sedap didengar. Isteri adalah pendamping dan orang paling banyak berinteraksi dengan kita. Maka ungkapkanlah perkataan yang baik dengan nada suara menarik, berlemah lembut, bermanis muka, dan hiasilah bibir dengan senyuman.
Rasulullah bersabda: “Setiap kata-kata yang baik itu adalah sedekah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Adabul Mufrad dan disahihkan oleh Al-Albani dalam Silsilah ash-Shahihah (576).
Baginda juga bersabda: “Hindarilah api neraka, meskipun hanya dengan sebiji kurma. Barang siapa tidak mendapatkannya, cukuplah dengan kata-kata yang baik.” (Muttafaqun ‘alaih) Memanggil isteri dengan nama-nama kesayangan sebagai ungkapan kasih sayang dan penjalin cinta dapat membibitkan rasa bahagia dan menyenangkan pendengaran.
Aisyah r.a menuturkan, pada suatu hari Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Wahai ‘Aisy (panggilan kesayangan ‘Aisyah), Malaikat Jibrail tadi menyampaikan salam buatmu.” (Muttafaqun ‘alaih) Rasulullah juga memanggil ‘Aisyah dengan gelaran Humairaa’ yang ertinya gadis kecil yang putih kemerah-merahan kulitnya.
Anda perlu tahu, keperluan wanita untuk bercakap sama dengan keperluan mereka terhadap makanan dan minuman. Dari hal urusan rumah tangga, anak-anak, hinggalah kepada perasaannya, membawa kepada gosip dan memperkatakan tentang orang lain, wanita tidak akan berhenti dari berbicara.
Kerana itulah suami perlu lebih sabar, mendengar dan menerima perkataan dan kerenah isterinya. Sediakan telinga dan hadirkan hati dalam setiap butir bicaranya. Berilah pujian, komen atau pendapat yang positif atas motif perbicaraan yang baik. Nasihatilah mereka atas percakapan yang tidak benar dan sia-sia.
Saudaraku yang budiman;
Janganlah anda bakhil perasaan. Pamerkan kasih sayang dengan senyuman, ungkapkan kata-kata yang baik dan lembut dan cuba luangkan masa untuk mendengar. Tidaklah lambakan kerja-kerja rumah dan segala masalah rumah tangga itu menjadi beban untuk isteri jika suaminya melayannya dengan baik dan penuh kasih sayang. Terimalah isteri anda seadanya, baik dari segi kebaikan apatah lagi kekurangannya.
“Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal ALLAH menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (An-Nisa: ayat 19)
Ingatlah bahawa anda juga tidak lepas dari kesalahan dan kekurangan. Jauhi sikap inginkan isteri yang sempurna. Sebahagian lelaki yang apabila ditanyakan tentang isteri idaman, ia menginginkan isteri yang cantik tubuh badan, bijak akal fikirannya, rajin menguruskan rumah tangga, pandai melayan suami dan pelbagai lagi. Masya-Allah, saudaraku, itu adalah kriteria bidadari syurga. Mana mungkin anda mahukan bidadari syurga di dunia ini. Bersyukurlah dengan isteri yang ALLAH kurniakan. Didiklah dia dengan baik. Semoga anda dan dirinya bakal menghuni syurga ALLAH Yang Maha Penyayang.
Oleh : Natasha Mokhtar
No comments:
Post a Comment