Monday, September 12, 2011

Mitos Melayu Adalah Mitos Melaka

FENOMENA Melayu. Demikian tajuk rencana khas Dr. Tabrani Rab, sejarawan Indonesia yang dianggap sebagai pakar budaya Melayu, dalam akhbar harian Merdeka dan lain-lain terbitan Indonesia satu masa lalu.

Antara lainnya beliau menulis: "Mitos Melayu adalah mitos Melaka. Sebuah kerajaan kecil yang hampir tidak mempunyai angkatan bersenjata, tapi mampu mempertahankan dari serangan Siam hanya dengan berdiplomasi dengan China.

Dasar penyebaran bahasa Melayu di Nusantara dilaksanakan pada era kejayaan Melaka. Ketika Melaka jatuh, baik Portugis, Sepanyol, Belanda mahupun Inggeris mengira bahawa dengan merebut pusat perdagangan ini mereka juga telah merebut Mutiara Timur.

Walaupun lebih 200 tahun dan selama lima atau enam generasi, dendam Melayu terhadap penjajah tak pernah padam.

Kata orang Melayu "jangan lain di bibir, lain di hati". Pengaruh agama Islam sangat kuat dalam kultur Melayu dan dengan tradisi memperkata" "Raja adil raja disembah, Raja zalim raja disanggah" merupakan fenomena yang lahir dari kultur tetapi juga dari agama Islam.

Rasulullah mengatakan tanda-tanda munafik itu adalah "apabila berkata dusta, apabila berjanji memungkiri dan apabila dipercayai, khianat".

Pemimpin Melayu bukan pula di belakang sehingga ia ditinggalkan, tetapi di tengah-tengah orang Melayu.

Kebesaran Melaka sebenarnya bukan terletak pada keluasan jajahan takluknya, mahupun pada kehebatan armada tenteranya, tetapi terletak pada fungsi yang dimainkan oleh kerajaan Melayu itu.

Dalam tempoh kurang dari setengah abad, Melaka sebagai pusat perdagangan telah dapat menyebarluaskan Islam ke seluruh pelosok Nusantara.

Melaka yang sebenarnya meletakkan asas transformasi bahasa Melayu daripada suatu bahasa kecil menjadi bahasa komunikasi perdagangan, ilmu dan diplomatik yang besar dan dengan itu memberikan tiang-tiang besar untuk perkembangannya menjadi bahasa yang kita kenal hari ini.

Daripada kebesaran khazanah sastera yang dihasilkan oleh Melaka, terbuktilah bahawa etos Melaka bukan berpunca daripada kebesaran kekuasaan politik atau armadanya, tetapi terletak pada daya upaya kreatifnya dan pada motivasi sosial masyarakat Melayu Melaka waktu itu".

Turut mendapat perhatian bersabit perkembangan meluas bahasa Melayu ialah karya S. Takdir Alisjahbana berjudul Politik Bahasa Nasional dan Pembinaan Bahasa Indonesia. Petikan darinya:

"Seperti kita ketahui, bahasa yang menjadi bahasa perhubungan atas lingua franca selama berabad-abad di daerah Asia Tenggara adalah sejarah bahasa Melayu. Kita sudah tahu bahawa kedudukan yang istimewa bahasa Melayu itu pertama sekali disebabkan oleh kedudukan geografi yang istimewa, tempat kediaman bangsa Melayu pada kedua-dua belah pihak Selat Melaka, yang menjadi saluran perhubungan dan perdagangan yang terpenting antara Barat dan Timur di Asia Tenggara, di sisi sifat bangsa Melayu yang suka merantau.

Kelanjutan
Kemudian penyebarannya dikuatkan oleh keadaan politik kekuasaan Sriwijaya, Aceh dan Melaka yang menguasai Selat Melaka. Agama Islam yang didukung oleh saudagar, agama Kristian dan Katholik yang menembus ke daerah-daerah yang terpencil dan penjajahan Belanda dan Jepun membantu perkembangan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu menjadi bahasa persatuan, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Indonesia dan kemudian juga di Malaysia adalah kelanjutan yang sewajarnya dari kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca, iaitu bahasa perdagangan, bahasa pengurusan politik dan bahasa agama". Demikian petikan dari esei S. Takdir Alisjahbana.

Wajar disebut ialah catatan dari The Politics of Indonesia, buku sejarah terbitan Oxford University Press, edisi ketiga 2005 oleh Damien Kingsbury dari Deakin University, Australia. Antara lain beliau menulis:

"Dari pelbagai unsur perpaduan maka satu-satunya faktor paling penting di Indonesia ialah bahasa, iaitu walaupun ada lebih dari 300 bahasa dan loghat ditutur oleh warga Indonesia, namun bahasa Melayu pasar menjadi bahasa kebangsaan dan diterima oleh golongan nasionalis lewat tahun 1920-an.

Bahasa itu digunakan oleh ahli-ahli perniagaan di seluruh gugusan kepulauan sejak abad ke-14 sekurang-kurangnya. Bahasa pasar Melayu itu diterima secara rasmi sebagai bahasa Indonesia. Demikian dari buku sejarah Oxford University Press antara lainnya. Seperti diketahui hal tersebut diluluskan dalam kongres Pemuda pada tahun 1928.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment