Tuesday, September 20, 2011

Golongan Muda Perlu Dibela

PELBAGAI usaha sudah dilakukan kerajaan bagi membantu semua lapisan masyarakat di negara ini. Namun, banyak lagi hal yang menghimpit anak muda perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.

Pertama, keperluan golongan muda untuk memiliki rumah yang selesa. Melihatkan harga rumah kediaman hari ini yang sudah menjangkau sejuta ringgit amat meresahkan. Jika mereka yang dalam kelompok berpendapatan rendah diberi bantuan rumah kos rendah, bagaimana pula nasib mereka daripada berpendapatan sederhana? Anak muda yang berusia dalam lingkungan akhir 20-an dan awal 30-an berdepan dengan pelbagai tekanan kos sara hidup yang tinggi. Hajat hati mahu berkeluarga tetapi apakan daya wang sentiasa mengalir seperti air.

Tidak hairan apabila ramai eksekutif muda diisytihar muflis. Pada ketika mereka sedang berjuang untuk membina kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang pastinya hati tertanya-tanya dengan apa yang berlaku di sekitar mereka.

Apa gunanya pihak berkuasa tempatan termasuk DBKL menukarkan status tanah kediaman kepada komersial selain merobohkan bangunan sedia ada lalu dibangunkan dengan apartmen mewah berpuluh-puluh tingkat?

Situasi ini boleh saja kita lihat sekitar kawasan Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam sehinggalah nama kawasan pun mahu dinaiktaraf menjadi Bangsar South City.

Rakusnya pembangunan hingga ada pihak tutup mata bahawa apa yang dibuat pada hari ini hasilnya akan dituai satu dekad daripada sekarang.

Bayangkan apabila pemilikan hartanah didominasi oleh satu kaum saja. Tentulah itu petanda yang buruk kepada ciri demografi penduduk dan kestabilan sosio-budaya masyarakat kita kelak.

Oleh itu, kerajaan melalui agensi atau jabatan berkaitan perlu peka dengan tuntutan dan keperluan jangka panjang generasi muda khususnya kemampuan golongan berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah.

MAHU TINDAKAN
Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment