nuffnang

Wednesday, September 28, 2011

Abim Yakin Hudud Akan Diterima Seperti Kewangan Islam

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Sambil menegaskan pihaknya komited untuk melihat pelaksanaan hukum hudud, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, undang-undang itu mula menerima sokongan positif kalangan muda Muslim dan akan diterima sebagaimana sistem kewangan alternatif Islam.

Setiausaha Agung Abim Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, perkara itu terbukti menerusi kajian bertajuk “Values Dreams Ideals Muslim Youth In Southeast Asia: Surveys in Indonesia and Malaysia” kendalian Merdeka Center, Goethe Institute dan Yayasan Fredrich Naumann baru-baru ini.

Katanya, kajian melibatkan 1,060 responden mendapati majoriti belia Muslim mahukan perundangan jenayah Islam diamalkan secara meluas di negara ini termasuklah pelaksanaan sebat untuk kesalahan minum arak, hukuman mati untuk kesalahan membunuh atau qisas dan potong tangan bagi kesalahan mencuri.

“Walaupun tidak konklusif tetapi kajian ini memberi indikasi jelas bahawa generasi muda dan belia Islam di negara ini mempunyai persepsi yang positif terhadap pelaksanaan perundangan jenayah Islam.

“Abim yakin melalui pelaksanaan program pendidikan dan penerangan yang lebih sistematik dan jelas ke arah pelaksanaan hukum hudud, masyarakat akan lebih jelas dan tentang hakikat sebenar pelaksanaan hukuman hudud yang menekankan keadilan dan menolak syubhah atau keraguan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Raimi berkata Abim memandang serius polemik perundangan hudud yang disaksikan ketika ini dan menilai respons-respons dikemukakan pelbagai pihak semenjak kebelakangan ini, Abim menggesa perundangan hudud tidak dijadikan polemik oleh mana-mana parti serta pihak yang mendulang populariti politik semata-mata.

“Jika keadaan ini berterusan, Abim khuatir akan tercetus persepsi negatif terhadap keluhuran dan integriti masa depan perundangan jenayah Islam di negara ini,” kata beliau.

Justeru kata beliau, Abim berpandangan bahawa usaha ke arah undang-undang hudud boleh dan harus dilaksanakan melalui kehendak politik yang kuat dengan mengambil kira penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada.

“Persoalannya ialah bila ia akan mula dilakukan secara sistematik dan serius?” katanya lagi.

Raimi juga berkata, alasan dan persepsi yang mengatakan perundangan hudud tidak sesuai diamalkan tidak seharusnya diketengahkan secara semberono tanpa mengambil realiti dan arus perubahan yang berlaku di kalangan umat Islam.

Malah kata beliau, banyak kajian ahli akademik dan perundangan yang telah menggariskan mekanisme ke arah pelaksanaan sistem perundangan jenayah Islam termasuklah pendidikan dan perundangan dan bagaimana sistem sedia ada boleh dimanfaatkan serta diperkasakan ke arah pelaksanaannya.

Raimi juga berkata, pengalaman telah membuktikan sistem Islam seperti sistem perbankan dan muamalat Islam yang satu ketika dulu dilihat dengan kaca mata negatif telah pun berjaya menawarkan alternatif kepada sistem kewangan dan perbankan konvensional di Malaysia.

“Perkara yang sama juga dilihat tidak mustahil, bahkan harus dilihat dalam aspek positif apabila merujuk kepada konteks pelaksanaan sistem perundangan jenayah Islam,” katanya.

Oleh itu kata beliau, adalah tidak wajar jika ahli politik Islam bersikap apologetik terhadap sebarang kritikan serta penentangan yang diketengahkan oleh pihak-pihak tertentu baik bukan Islam mahupun di kalangan umat Islam sendiri.

Dalam erti kata lain, pelaksanaan perundangan Islam pada ketika ini dan masa depan tidak hanya bergantung kepada kehendak politik para pemimpin politik semata-mata.

“Sebaliknya, kehendak umat Islam perlulah dihormati serta diterjemahkan menerusi mekanisme politik yang ditetapkan,” kata beliau lagi.

Raimi menambah, merujuk kepada konteks pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, kebebasan seharusnya diberikan kepada kerajaan serta rakyat negeri terbabit untuk melaksanakan tatacara perundangan yang ingin diamalkan menerusi lunas-lunas demokrasi seperti pungutan pendapat serta referendum.

“Ini merupakan praktis dan amalan normal dalam masyarakat yang matang demokrasinya. Jika itu kehendak rakyat, tuntutan perundangan jenayah Islam dilaksanakan di negara ini harus dihormati,” katanya.

Walaupun begitu, katanya, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa khuatir dan takut kerana undang-undang ini hanya membabitkan mereka yang beragama Islam.

“Di samping itu, perundangan Islam juga menjamin serta memelihara hak serta kebebasan orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya hidup masing-masing,” katanya lagi.

www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment