nuffnang

Monday, September 26, 2011

Kita Banyak Terpesong Bila Taksub Filem Seram

KECENDERUNGAN masyarakat pelbagai usia terhadap cerita hantu dapat digambarkan dengan kehadiran jutaan penonton di pawagam menjadikan angka kutipan tiket sangat tinggi berbanding filem genre lain. Kelahiran filem berasaskan hantu mula menjadi sebutan selepas kejayaan filem seram seperti Jangan Pandang Belakang (JPB).


Pemikiran generasi muda makin disempitkan dengan kisah hantu dan seram meniti ruang hidup dari kantin sekolah hingga ke dalam pejabat dan dari ruang tamu hingga ke bilik kosong semua dilihat berhantu. Kejayaan luar biasa filem berasaskan hantu menjadikan penerbit di negara saling merebut peluang mengeluarkan filem seram dengan pelbagai tajuk hebat meskipun jalan ceritanya karut marut. Maka tidak hairanlah, filem hantu seperti Jangan Pandang Belakang Congkak, Karak, Hantu Kak Limah Balik Kampung dan yang terkini Hantu Bonceng mengisi keluaran filem negara. Malah ada pengarah sanggup mengorek kisah dongeng lama atau mereka cipta jenis hantu lalu memberi nama baru seperti kuntilanak, pocong, sundel bolong, hantu penanggal, hantu susu, hantu gigi dan sebagainya. Dalam kerakusan menerbitkan filem, penerbit, pengarah, penulis skrip serta pelakon tidak lagi mempersoalkan kesan negatif kepada masyarakat khususnya masyarakat muda dan kanak-kanak. Babak melapah daging manusia, menghisap darah atau sebagainya dilakonkan dengan cukup berkesan.

Masih segar babak bagaimana lakonan Ruminah Sidek dalam filem (JPB) sedang makan di ruang dapur dalam keadaan sangat menyeramkan, atau lakonan Putri Mardiana melapah darah di lantai dalam filem Santau. Pelbagai babak ngeri yang berjaya menjelmakan unsur seram yang jelas dan hidup kepada masyarakat.

Bayangkan anak kecil sudah diserapkan akal dengan kewujudan hantu yang berada di merata tempat.

Kekuatan kepercayaan kepada hantu tahyul ini sebenarnya mengancam akidah umat Islam. Syaitan boleh bertepuk tangan kerana ramai manusia lemah pegangan agama dan ilmunya dipesongkan kepada ketakutan terhadap hantu menyelimuti dalam rutin kehidupan dari memikirkan kebesaran Allah.

Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa selain itu bagi orang yang Dia kehendaki, dan sesiapa yang syirik kepada Allah, maka sesungguhnya mereka sudah melakukan dosa sangat besar. (Surah an-Nisa, ayat 48)

Remaja akan takut bangun pagi semata-mata takut bertemu pocong di bilik bacaan.

Anak kecil menahan kencing kerana takut ke tandas dipercayai adanya momok. Begitu juga masyarakat yang ditutup pemikirannya dengan kisah hantu untuk membenarkan kewujudannya meskipun kehadiran makhluk ini bukan bersifat nyata dan benar.

Kekuatan media sudah pasti mempengaruhi corak kehidupan generasi muda. Lambakan drama di televisyen berkisar cerita hantu disiarkan saban malam. Lebih mendukacitakan sempena Aidilfitri lalu, banyak filem seram ditayangkan.

Kekuatan kepercayaan kepada hantu boleh menggugat keharmonian negara. Lebih ramai pelajar akan mengalami histeria. Lebih ramai umat Islam terdedah kepada amalan sihir semata-mata untuk menghalau hantu jembalang yang dipercayai mengganggu kehidupan. Akhirnya segala jenis penyakit manusia pun dikatakan gangguan momok.

Lebih parah, apabila bomoh, dukun atau peramal perubatan tradisional akan lebih berpengaruh dihampiri masyarakat bagi mengubati penyakit yang dikatakan berpunca daripada makhluk halus atau jembalang. Kebanyakan kes rogol, cabul dan gangguan seksual turut dikaitkan dengan kepercayaan menghalau gangguan makhluk halus atau syaitan.

Kecenderungan bomoh dalam ritual perubatan tradisional yang pelik serta aneh membawa kepada kesongsangan akidah dan diyakini boleh merosakkan iman pesakit yang dirawat. Larangan menjauhi perbuatan syirik sangat dititikberatkan dalam agama.

Rasulullah SAW melarang berjumpa tukang tenung (kuhhan) dalam sabda bermaksud: Sesiapa yang menjumpai tukang tenung, kemudian ia bertanyakan kepadanya sesuatu, ditutup baginya pintu taubat selama 40 malam. (Hadis riwayat Tabarani)
 
Oleh : Muhammad Abdullah

No comments:

Post a Comment