Kenyataan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu atau Mat Sabu pada 21 Ogos lalu yang mengatakan 200 anggota pasukan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Goh Peng Tun dan lelaki Melayu, Mohamad Indera telah membunuh 25 askar Melayu di Bukit Kepong itu sebagai hero tulen, amat jengkel dan sangat dikesalkan.
Sebagai rakyat Malaysia, tidak sepatutnya beliau membuat suatu kenyataan yang bercanggah dengan fakta sejarah. Hatta kalau ditanya pun kepada kaum bukan Melayu, umpamanya Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim, beliau tidak dapat bersetuju dengan pandangan Mat Sabu.
Dari segi matlamat PKM, mungkin ada sedikit persamaan dengan UMNO atau Pas iaitu anti penjajah British. Bukan parti-parti itu sahaja, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Seberkas dan banyak lagi turut menentang British.
Tetapi matlamat sahaja tidak memadai, bagaimana pula dengan modes operandi atau cara mencapai matlamat tersebut?
Ternyata cara PKM tidak betul dan menyalahi norma-norma kemanusiaan yang membunuh, mengganas, membakar dan merosak harta benda. Kalau yang PKM bunuh itu ramai orang Inggeris boleh juga direnungkan, tetapi yang ramai menjadi mangsa PKM ialah orang Melayu, termasuk juga sejumlah orang Cina.
Dari tahun 1948 hingga 1960 sahaja lebih kurang 12,000 askar, polis dan homeguard telah terbunuh dalam mempertahankan negara daripada ancaman komunis.
Pendek kata kalaulah PKM memerintah negara ini, Mat Sabu pun belum tentu dapat menjadi Timbalan Presiden Pas. Mungkin Pas pun tak dibenarkan wujud.
Saya tidak faham perasaan orang seperti Mat Sabu ini. Ganjil. Perkataan komunis pun kita gerun menyebutnya, tetapi tidak kepada Mat Sabu.
Saya meneliti banyak kenyataan pemimpin Pas, termasuk juga beberapa pemimpin PKR. Saya membuat kesimpulan, sesetengah mereka ini sangat jahil tentang sejarah Malaysia, malah jahil tentang sejarah Melayu, sejarah Islam di Malaysia.
Malah tidak ketelaluan saya katakan sesetengah mereka juga tidak tahu adat sopan Melayu, tatasusila Melayu dan alam Melayu.
Sebab itu kebanyakan kenyataan mereka mengenai orang Melayu atau politik Melayu jauh menyimpang ataupun janggal dari sudut adat resam dan sejarah Melayu, hatta ajaran Islam pun jauh menyimpang daripada yang disepakati oleh umat Islam Melayu di negara ini.
Saya yakin dan percaya rata-rata cendekiawan Melayu daripada pengajian Melayu jarang mahu bersetuju dengan pandangan songsang atau "kejulingan intelektual" sesetengah pemimpin Pas mengenai Melayu dan Islam.
Kenyataan Mat Sabu yang mengatakan hero sebenar adalah anggota PKM yang membunuh anggota polis Melayu di Bukit Kepong itu, melambangkan beliau terdiri daripada jenis orang yang cetek pemikirannya tentang hal Melayu di negara ini.
Takkan Mat Sabu tidak faham bahawa sebelum tahun 1957, gerakan-gerakan parti politik di Tanah Melayu sememangnya anti penjajah.
Harus diingat PKM ingin menubuhkan republik Malaya dan tidak mahu mengiktiraf sistem pemerintahan raja berperlembagaan. PKM juga adalah parti perkauman yang mementingkan kepentingan orang Cina.
Apa yang dimaksudkan hero oleh Mat Sabu? Dalam konteks Malaysia, seseorang itu dianggap hero adalah orang yang berjaya melindungi raja-raja, agama Islam dan negara. Adakah PKM buat perkara-perkara ini? Jadi, orang yang menjadi pengganas seperti PKM tidak boleh dianggap hero atau pahlawan.
Pada tahun 1948, apabila Persekutuan Tanah Melayu (PTM) ditubuhkan, PKM tidak mengiktirafkan gagasan tersebut dan melancarkan pemberontakan bersenjata menentang British sebelum 1957, juga menentang raja-raja Melayu, termasuk menentang orang Melayu yang tidak mahu mengikut perjuangan mereka selain berperang menentang askar Melayu, homeguard dan polis.
Kebanyakan penduduk negara ini termasuk orang Cina tidak mahu PKM menjadi parti politik dan berada di persada pemerintah Tanah Melayu ketika itu. Sebab itu MCA, MIC dan Gerakan ditubuhkan untuk bersaing dengan PKM yang bersifat "ganas" itu untuk menentukan masa nasib kaum tersebut bersama-sama dengan UMNO, MIC di bawah Perikatan dan BN hingga ke hari ini.
Dalam buku sejarah, ada kenyataan yang mengatakan bahawa semua parti politik di Tanah Melayu sebelum merdeka memang pun anti penjajah, seperti Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA), PKMM, Hisbul Muslimim, KMM, UMNO dan banyak lagi (terdapat 42 pertubuhan Melayu yang anti-British).
Malangnya hanya PKM mengambil pendirian untuk membebaskan negara ini dengan kekerasan menentang British kerana mereka yakin akan menang kerana mempunyai senjata yang diambil daripada tentera Jepun.
Peristiwa Bukit Kepong adalah salah satu peristiwa berdarah yang begitu tragik dan ada banyak lagi peristiwa ganas yang dilakukan oleh PKM, yang rata-rata bersifat ganas dan kejam.
Ahli-ahli PKM bukan semua bertaraf warga negara di negara ini. Sebab itu, perjuangan dan ideologi PKM tidak dapat diterima oleh rakyat kerana bertentangan dengan banyak perkara seperti kerakyatan, agama, asal usul, bahasa, budaya, ideologi komunis yang anti agama dan sebagainya.
Jika begitu, nampaknya Mat Sabu juga bersetuju dengan perjuangan PKM yang anti agama itu dan menjadi pemerintah di negara ini!
Nampaknya apa saja yang berkaitan dengan UMNO terus dinafikan hatta benda yang baik sekalipun. Ini tidak adil.
Dalam sejarah revolusi Amerika Syarikat pun, parti yang memerdekakan negara itu bukan Parti Demokrat atau Republikan tetapi Parti Federalist ketika itu (1776). Adakah Presiden Barack Obama menafikan sumbangan Parti Federalist? Tidak.
Begitu juga Presiden Sukarno yang memimpin Parti Nasional Indonesia untuk mencapai kemerdekaan, tidak pun ahli-ahli Golkar atau pimpinan Presiden Indonesia hari ini menafikan sumbangan Parti Nasional pimpinan Sukarno dahulu.
Mengenai dakwaan Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman sebagai penjajah dan pegawai British, memanglah semua pegawai Melayu yang berkhidmat sebelum merdeka adalah di bawah kerajaan British.
Tetapi, adakah semua mereka itu ejen penjajah, atau penjajah? Tidak. Sama juga keadaannya mereka yang berkhidmat dengan kerajaan, ada diantara mereka itu yang sokong Pas, tetapi adakah kita boleh kata mereka ejen UMNO?
Semua orang Melayu tahu Dato' Onn atau Tunku berkhidmat dengan kerajaan kolonial British. Tetapi tidak pernah kita dengar mereka itu penjajah British!
Kalau mereka tak berkerja dengan British, dari mana mereka dapat maklumat mengenai tipu muslihat British?
Kalau mereka tidak berusaha menyatukan rakyat di negara ini, tidak ada kemerdekaan yang dikecapi oleh rakyat hari ini termasuk Mat Sabu yang boleh menjadi Timbalan Presiden Pas dalam negara demokratik! Mahatma Ghandi pun menjadi pegawai Inggeris semasa India dijajah oleh British! Tapi adakah dia seorang penjajah British?
Ditakdirkan Pas memerintah negara ini, adakah Hari Kebangsaan yang dirayakan setiap 31 Ogos itu hendak dihapuskan kerana mendakwa kemerdekaan itu UMNO punya?
Di sinilah kita lihat kedangkalan Mat Sabu. Dia fikir dialah yang pandai. Kalau ya pun hendak ambil hati DAP, janganlah fakta sejarah hendak diubah. Jangan ingat semua orang Cina itu komunis. Kalau semua orang Cina itu komunis, tidak adalah Taiwan, Singapura atau Hong Kong. Berhati-hatilah buat kenyataan. Jangan anggap orang Melayu ini bodoh sangat!
Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain
No comments:
Post a Comment