nuffnang

Tuesday, September 13, 2011

DAP Banyak Berjasa Kepada PAS

AKHBAR China Press terbitan 8 September 2011 lalu telah menyiarkan artikel mengenai hakikat bahawa DAP telah banyak berjasa untuk membantu memperkukuhkan kedudukan Pas di negara ini.

Artikel tulisan Goh Chee Chong bertajuk ‘‘Pas Melangkah Keluar Dari Pantai Timur’’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai, halaman C15.

Baru-baru ini, Pas telah melaungkan propaganda mereka untuk mengorak langkah keluar dari negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang selama ini menjadi kubu kuatnya.

Sehubungan itu, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang, Pas berhasrat bertanding di 60 kerusi Parlimen yang turut melibatkan negeri-negeri di Pantai Barat.

Jumlah kerusi yang akan ditandingi itu adalah berlipat kali ganda lebih banyak berbanding bilangan sedia ada sebanyak 23 kerusi.

Pas sebelum ini hanya berpusing-pusing di kawasan Pantai Timur. Sebelum tsunami politik ketika PRU 2008, Pas hanya bertapak di Kelantan dan Terengganu, kerana parti itu tidak dapat meracuni idea mereka kepada penduduk di negeri-negeri lain.

Namun pada hari ini, Pas telah menyatakan hasrat untuk bertanding lebih banyak kerusi Parlimen. Kenapa pengaruh parti itu semakin meningkat dan siapakah yang membimbing serta melatih mereka?

Tidak boleh dinafikan, DAP adalah parti yang berjasa dan telah banyak membantu dalam memperkukuhkan penguasaan Pas.

Dahulu Pas hanya dapat mengutip sebahagian kecil kerusi dari kawasan UMNO. Parti itu langsung tidak mendapat sokongan daripada pengundi kaum Cina, sebab itu Pas hanya boleh ‘bermain’ di kawasan Pantai Timur sahaja.

Selepas Pas bergabung dengan DAP, ia telah berjaya menarik pengundi kaum Cina menyokong Pas. Kini Pas telah mendapat sokongan majoriti kaum Cina dan minoriti kaum Melayu.

Dengan sokongan penuh kaum Cina, Pas telah menang banyak kerusi Parlimen. Sebaliknya, DAP tidak menerima sebarang kebaikan hasil gandingannya dengan Pas.

Selepas Pas menang banyak kerusi Parlimen, parti itu tidak langsung berusaha untuk menjaga imej DAP di kalangan kaum Cina.

Pas nampaknya tidak mengambil berat terhadap kehendak masyarakat Cina dan ia terbukti apabila parti itu dengan berkobar-kobar melaungkan hasrat untuk mewujudkan negara Islam.

Di Kedah, kerajaan Pas yang memerintah telah menutup pusat penyembelihan khinzir. Ia juga mengubah nama-nama pada papan tanda jalan kepada tulisan Jawi dan mengasingkan antara lelaki dan perempuan.

Sementara itu di Selangor, pemimpin Pas turut terlibat melarang penjualan arak, memindahkan pusat jualan nombor ekor dan secara mengejut menggeledah majlis makan malam gereja. Ini semua rancangan rapi Pas selepas tsunami politik 2008.

Sehubungan itu, kita ingin bertanya berapa banyak taktik yang telah dirangka DAP untuk menghalang isu-isu berkenaan daripada dicetuskan oleh pemimpin Pas?

Dengan bantuan DAP, tidak dinafikan Pas telah dapat mengorak langkah keluar dari Pantai Timur.

Pas juga telah mencatatkan sejarah di Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah, apabila wakil parti itu telah dapat menjawat jawatan menteri besar di keempat-empat negeri itu. Hari ini, Pas juga dengan bangga telah menyatakan hasrat untuk mengambil alih kuasa Kerajaan Pusat pula.

Sekarang apa yang kita mahu lontarkan kepada Pas, jika DAP tidak membantu parti itu dengan tiket-tiket undi kaum Cina, tidak mungkin ia akan berada dalam kedudukan seperti hari ini.

Adalah jelas, Pas telah terhutang budi kepada DAP. Oleh itu, parti itu sepatutnya menghormati DAP.

Sudah tentu, masyarakat Cina percaya bahawa DAP boleh menguruskan dan mengimbangi kuasa Pas dengan baik.

Tetapi DAP perlu faham dengan lebih jelas bahawa usahanya untuk mengimbangi kuasa Pas itu masih jauh. Jika dibiarkan terlalu lama, masyarakat Cina tidak boleh bersabar menunggunya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment