Masudi belayar meninggalkan Basrah dan tidak lama kemudian mengalir darah keluarga Barmaki yang dibunuh Harun al-Rashid kerana masalah politik. Harun al-Rashid telah memburu musuh-musuh politiknya termasuk Yahya ibn Abdillah dan para pengikutnya. Ghaliat Masudi membelah Laut Arab meninggalkan gejolak dan kegawatan di wilayah Abbassiah. Ghaliat Masudi mengikuti laluan yang pernah dilalui oleh Abdul Mulk bin Syibab al-Masmai, Panglima Khalifah Al-Mahdi bapa Harun al-Rashid yang menyerang Gujrat di India. Masudi tiba di Gujrat yang terdapat ramai bangsa Arab dan orang Islam setelah melayari Lautan Hindi. Di situ Masudi mendengar kembali cerita tentang negeri yang bernama Waqwaq. Dongeng tentang bidadari yang mempunyai sayap seperti burung didengarnya sejak dia kecil ketika hidup di Basrah. Pelayar-pelayar Arab yang pulang membawa pelbagai barangan juga membawa pelbagai cerita. Cerita-cerita benar bercampur dongeng, mitos dan khayalan mengisi cerita-cerita pelaut di Basrah. Tetapi terdapat cerita tentang Masudi sendiri, yang mungkin juga dongeng. Masudi dikatakan membawa lari Yahya ibn Abdillah dalam kapalnya yang berlepas dari Basrah. Yahya ibn Abdillah, ahlul bait dari nasab Saidina al-Hassan ibn Ali ibn Abi Talib. Tiada siapa yang dapat mengesahkan hal tersebut.
Dia belayar meninggalkan Gujrat. Berpandukan maklumat yang diberikan oleh pedagang-pedagang Arab yang tiba dari China, dia belayar mencari negeri yang dinamakan Waqwaq. Lautan Hindi yang disebut bhar-e-Hind oleh pelayar Arab dilayari dengan ghaliat bersama anak-anak kapalnya, iaitu pelaut yang mereka panggil nawwat. Laut ini mempunyai ikan-ikan besar, ganas dan menakutkan, jika kau belayar pada waktu malam bunyikan loceng untuk menakutkan mereka. Itu kata pedagang Arab yang telah melayari lautan yang penuh misteri ini. Di bhar-e-Hind atau Laut Hargind ini ada ribuan pulau kecil. Dia melencong mengelakkan pulau-pulau kecil dan menuju ke lautan luas. Pelayarannya meredah lautan menuju ke timur jauh. Benar, laut ini mempunyai ikan-ikan besar yang ganas. Semakin jauh dia bergerak ke tengah lautan segara sehingga tidak kelihatan sebarang daratan atau pulau selama berminggu-minggu, semakin banyak ikan-ikan besar dan pelbagai macam hidupan laut menghampiri ghaliatnya. Tetapi loceng yang dibunyikan dengan kuat segera menakutkan ikan-ikan itu. Pada malam hari mereka menyalakan lampu di kapal dan membunyikan loceng apabila mendengar deburan-deburan yang aneh di laut yang gelap.
Bertenggek
Ikan-ikan ini memang menakutkan tetapi ia tidak lebih menakutkan daripada cerita pelaut-pelaut dahulu kala tentang seorang tua yang muncul dari laut, menaiki kapal dan bertenggek di haluan kapal dengan wajah yang tersembunyi di sebalik rambut dan janggutnya yang panjang. Tiada siapa yang berani mendekati. Tidak lama kemudian kapal itu akan musnah diamuk badai. Makhluk aneh dari laut ini muncul untuk memberi petanda buruk. Sukar untuk mereka mempercayainya, tetapi pelaut yang terselamat dari kapal yang karam menceritakan hal ini. Lalu mereka berjaga-jaga agar makhluk apa dari laut itu tidak melompat tiba-tiba dari laut dan bertenggek di kapal mereka.
Dua hari mereka diamuk badai. Entah benar entah tidak, sebelum badai menerpa seorang nawwatnya melihat sesuatu muncul dari laut pada malam yang gelap. Tetapi si nawwat itu segera membunyikan loceng untuk menakutkan makhluk itu. Seorang nawwat lagi tiba dan membaling lembing ke arah makhluk itu. Kebetulan angin agak kuat, lalu ghaliat itu belayar laju. Makhluk itu hilang, tetapi nawwat yang pertama tadi melihat bahawa makhluk seperti manusia itu cuba menaiki ghaliat mereka. Mereka tiba-tiba diserbu rasa seram yang sangat aneh. Keesokan harinya badai tiba-tiba turun seperti gulungan hitam dari langit. Laut bertukar menjadi wajah gergasi yang amat ganas. Ghaliat mereka dilambung dan dihempas seperti sehelai daun di tengah lautan. Dua hari hari dua malam mereka tidak tidur menimba air agar ghaliat tidak tenggelam dan mengharung gelora berperang dengan badai. Hari ketiga badai sedikit reda, dan mereka semua bergilir-gilir berehat.
Dia berehat di dalam kabinnya. Ketika dia memilih untuk menjadi pejuang, dia tidak pernah memaksa sesiapa mengikutinya. Tetapi mereka mengikutinya kerana perjuangan mereka sendiri. Sekarang dia di meja, bau minyak zaitun yang menyalakan api pada lampu pelita melegakan rasa mual dan loyanya selama dua hari diamuk laut. Di atas mejanya, di tepi carta pelayaran terletak istinggar iaitu senjata baru yang boleh membunuh musuh dari jauh. Mengikut pedagang yang ditemuinya di Gujrat, senjata ini dinamakan istinggar dan berasal dari negeri berperadaban tinggi bernama Waqwaq. Namun seorang pedagang Cina yang ditemuinya berkata bahawa senjata itu dimajukan daripada bedil yang direka di China. Waqwaq adalah sebuah negeri yang mana pelabuhannya menjadi tempat persinggahan para pedagang. Tidak mustahil kepandaian orang China telah diambil dan dimajukan untuk merekacipta istinggar ini.
Dua sungai besar mengalir ke Laut Parsi, Bahr-e-Faras dan Khasybat-ul-Basra. Matanya mencari Gujrat. Kota-kota pesisiran pantai Konkan, Cemur, Subarh, Thana dan Khambayat, semua menghadap ke Laut Hargind. Pandangan turun ke timur. Antara Teluk Parsi dan Laut China, carta ini menunjukkan pelbagai tempat yang harus dilalui. Dia mencari di manakah Waqwaq. Tidak ada disebutkan langsung dalam carta ini. Apakah Waqwaq benar-benar wujud atau hanya dongeng daripada pelaut-pelaut yang mabuk digoncang gelombang. Bagaimanapun dia percaya, Waqwaq terletak di pertengahan laluan antara Laut Hargind dan Laut China. Dia mengkaji carta dengan teliti. Dia percaya bahawa dari Gujrat, setelah melalui Khambayat 10 hari pelayaran mereka akan menemui Kalah, kemudian menyusur selat melalui Zabarjad sehingga tiba di Zabaj, dan kemudian Pulau Faulat sebelum membelok belayar lebih 10 hari sehingga bertemu Sinf, dan akhirnya sampai di Jinji, Laut China Selatan sebelum mereka masuk ke China melalui Khanfua.
Peradaban
Dia meneliti dan terdiam sejenak. Pengiraannya menunjukkan bahawa Waqwaq kemungkinan berada antara Kalah dan Zabaj. Dia percaya corak tanah serta kedudukannya menjadikan setompok tanah subur di bawah langit ini melahirkan penduduk-penduduk yang cerdas dan kuat, sehingga mereka terdorong untuk mewujudkan sebuah peradaban yang besar, maju dan hebat. Dia percaya Waqwaq terletak di wilayah yang subur itu. Dia mengukur cartanya, membuat tanda-tanda dan kemudian dilukis garis-garis yang selari. Dia menandakan Kalah, dan menandakan satu titik antara Kalah dan Zabaj. Ya, Waqwaq di situ. Wilayah di sini telah mempunyai peradaban-peradaban besar seawal 500 tahun sebelum tahun Hijrah, atau 1000 tahun sebelum Hijrah lagi. Dia tahu daripada catatan pelayar-pelayar Arab dahulu kala yang mendapat cerita daripada pelayaran mereka ke Timur Jauh.
Setelah seminggu berlalunya peristiwa mereka diamuk badai, sebuah daratan terlihat - Kalah. Ia dikenali daripada Gunung Jerai yang putih disapu kabus. Sebuah kerajaan besar tinggalan peradaban Hindu-Buddha. Ada keinginan yang meluap di dalam hatinya. Ketika berjalan di Zafariah bukankah seorang lelaki membuka pintu dan bertanyanya, 'apa yang kamu cari semalam?'. Dia tidak dapat mengingatnya. Orang itu marah dan menutup pintu. Setelah itu dia teringat permintaannya kepada Tuhan semalam, lalu dia hendak mencari pintu tetapi gagal menemuinya. Kini dia menemui pintu di sini. Pintu untuk dimasuki membawa cahaya Tuhan. Apa yang dapat kau tawarkan untuk mereka menukarkan agama mereka kepada agamamu? Dia melihat ke dalam dirinya. Aku ada sebuku roti dan segelas air. Satu untuk mengenyangkan dan satu menghilangkan dahaga. Itulah kata-katanya, dan kemudian Islam pun masuk ke Kalah, kerana penduduk yang cerdas ini mempunyai kebijakan untuk menerima fikiran-fikiran yang tinggi.
Dia memikirkan bagaimana jika sebuah peradaban besar yang ada di tenggara Asia ini menjadi sebuah tamadun Islam baru yang lebih berkuasa daripada khalifah Abbasiyyah yang memburunya. Dia tidak memikirkan tentang dendam kepada Abbasiyyah yang membunuh keluarga Barmaki, dan memburu semua musuh termasuk keluarga dan pengikutnya dari golongan keluarga Ali r.a. Beberapa kurun kemudian keluarga Ali r.a dari nasab Hussein menjujutkan keturunan Alawiyyah yang digelar Syed. Sementara keturunan Ali r.a dari nasab Hassan seperti dia digelar Sharif. Dia memikirkan tentang bagaimana sebuah peradaban besar ini dapat dimunculkan sebagai tamadun Islam sebagaimana Khurasan dan Parsi bertukar menjadi sebuah wilayah ketamadunan Islam. Suatu hari ketika bersama Raja di Kalah, menonton sebuah persembahan. Tiba-tiba cerita dalam persembahan itu menyucuk hatinya seperti jarum. Ia bercerita tentang putera Sithon berjuang untuk mendapatkan isterinya yang difitnah iaitu Manohara yang pulang kembali ke negerinya. Manohara ialah manusia separuh burung daripada bangsa Kinrara. Beberapa kurun kemudian persembahan ini dikenali sebagai menora. Segera cerita tentang Waqwaq menyeka di dalam kepalanya.
Besoknya dia mengembangkan layar bersama semua nawwatnya meninggalkan Kalah. Antara Kalah dan Zabaj ini dia harus menemukan Waqwaq. Dia telah membuat kiraan mengikut segala garis yang terdapat di carta. Orang Arab telah mencipta alat pelayaran yang paling ajaib di dunia. Ketika mereka perlu memastikan arah selain daripada bergantung kepada buruj dan bintang, mereka menggosok sebatang besi sehingga mengeluarkan daya aneh yang boleh menariknya kepada arah utara. Besi itu diletakkan di dalam air lalu berpusing ke arah utara, lalu mereka namakan qutb numa. Sejak itu qutb numa menjadi alatan paling maju dan berharga buat pelayar-pelayar Arab. Tetapi bukankah Nabi Daud a.s mengajar bagaimana menggosok kotak yang mempunyai jarum besi, dan akhirnya mengajar tentang sifat-sifat besi? Dengan menggunakan qutb numa dia membawa ghaliatnya ke Waqwaq.
Mereka akhirnya menemui Waqwaq, benar ia sebuah peradaban maju di Tenggara Asia. Manusia burung hanya dongeng. Bangsa ini sebangsa dengan bangsa di Kalah, Zabarjad, Zabaj dan wilayah tenggara yang luas ini; berkulit putih dan sawo matang, oleh perubahan cuaca di garis khalulistiwa. Ketinggian mereka sederhana, kuat berjuang dan mempunyai kecerdasan yang luar biasa. Mereka telah membangunkan sebuah peradaban yang maju dengan senibina kapal, alat-alat senjata serta susunan masyarakat yang teratur. Di suatu muara, dia menemui perkataan Melayu yang juga pernah melambangkan sebuah kerajaan besar yang berdiri lebih dua kurun sebelum tahun Hijrah. Lalu peradaban Asia Tenggara mendapat pengenalan baru, iaitu Melayu yang melambangkan tamadun Islam.
Mencipta
Bangsa Melayu ini mencipta istinggar iaitu senjata yang boleh menembak dan membunuh dari jauh dengan letupan yang dahsyat. Mereka juga mencipta istinggar yang lebih pendek disebut pemuras dan terakol, selain lela rentaka yang lebih besar ditembak dan mengeluarkan daya pemusnah yang luar biasa hebatnya. Pada abad terkemudian istinggar ciptaan bangsa Melayu menjadi asas kepada penciptaan senapang atau rifal di Eropah, dan pemuras serta terakol yang mula-mula dicipta oleh bangsa Melayu menjadi moyang kepada pistol yang dicipta oleh bangsa Eropah. Ukuran bangsa Melayu yang berasaskan 12, termasuk ukuran tahun dalam daur Melayu juga menjadi ukuran orang-orang Inggeris seperti kaki dan inci, bahkan ukuran ela menjadi asas kepada ukuran yard Inggeris. 200 tahun kemudian tanah Waqwaq muncul sebagai tamadun Melayu-Islam yang besar di Asia Tenggara, 200 tahun lebih awal dari sejarah yang dicatatkan secara rasmi kemudiannya.
Dia membaca daripada ilmu ahli kaji manusia bangsa Arab, bahawa bangsa Melayu yang cerdas dan berhati baik ini memang sedia asal wujud di wilayah ini. Mereka bukan bangsa pendatang dari Yunan atau dibina oleh peradaban India. Sebaliknya bangsa Melayu ini yang belayar ke wilayah yang jauh dan mengambil segala kebudayaan luar masuk ke wilayah mereka, sehingga menjadikan mereka maju dan cerdas. Beberapa abad kemudian orang Eropah yang keluar daripada kegelapan sesudah Perang Salib telah menakluki bangsa Melayu dan mencipta sejarah palsu di wilayah ini. Seabad setelah itu pendatang-pendatang dari wilayah China dan India dibawa masuk ke wilayah bangsa Melayu untuk menyempurnakan sejarah palsu yang dicipta oleh penjarah Eropah. Wilayah alam Melayu tiba-tiba menjadi milik semua orang, sehingga bangsa Melayu tidak ada hak lagi untuk menyatakan wilayah ini ialah wilayah asal Melayu-Islam tanpa dituduh bersifat perkauman dan pelampau.
Pada zaman yang kemudian, ditemui batu nisan seorang wali berbangsa Arab di Pekan, Pahang bertarikh tahun 419Hijrah bersamaan tahun 999Masehi - sezaman dengan Masudi. Kemasukan orang Arab ke Pahang adalah sama ada yang datang dari China atau dari Melaka. Masudi hanya belayar sehingga ke Gujrat, dan kemudian pulang semula ke Basrah, meninggalkan ghaliatnya di Gujrat. Ghaliatnya belayar menuju ke Timur Jauh, oleh nakhoda yang tidak dikenali. Masudi menulis cerita tentang negeri yang bernama Waqwaq di mana tinggalnya puteri-puteri jelita separuh manusia separuh burung. Tidak dipastikan dengan jelas di manakah letaknya Waqwaq. Ada yang mengatakan letaknya di Zanzibar, Amazon, Seychelles, Madagaskar, Jawa, malah Melaka, atau China. Pelayar-pelayar Arab terkemudian menamakan Pulau Jepun sebagai Waqwaq. Tetapi pada hakikatnya Waqwaq yang asal tidak pernah diketahui dengan pasti letaknya. Masudi yang pulang ke Basrah, segera berbaik-baik dengan golongan Abbasiyyah dan tuduhannya melepaskan Yahya bin Abdillah seorang ahli sufi, pejuang dan keturunan Hassan ibni Ali bin Abi Talib itu lenyap begitu sahaja. Dan sejarah-sejarah yang berlaku ketika itu juga dilenyapkan begitu sahaja, termasuk apa yang berlaku di timur jauh, di Kalah, Zabarjad, Zabaj, Faulat, Sinf dan Waqwaq. Nama-nama ini kemudian dikenali sebagai Kedah, Sumatera, Jawa, Temasik, Champa dan Melaka - sebuah wilayah ketamadunan Melayu-Islam yang hanya dicatat muncul pada abad ke-15, lewat dua kurun daripada sejarah yang sebenar.
Sejarah adalah milik pihak yang menang.
Oleh : SM Zakir
No comments:
Post a Comment