nuffnang

Saturday, May 7, 2011

Penyatuan Melayu Bermula Daripada UMNO

UMNO tidak perlu terlalu berharap untuk bekerjasama dengan Pas. Ia seolah-olah menunjukkan UMNO berada pada tahap yang lemah. Ia juga mendedahkan UMNO untuk diserang dan dipermainkan.

Sebenarnya Pas berada pada tahap amat lemah sekarang. Pelbagai masalah dalaman parti dan pakatan telah melemahkan mereka. UMNO sepatutnya mengambil peluang ini untuk menarik lebih ramai penyokong yang dahulunya menyokong Pas dan PKR untuk kembali menyokong UMNO. Bukannya menarik Pas dan masalahnya.

Dari beberapa insiden yang lepas termasuk penyatuan Pas dan DAP telah menyerlahkan kepada rakyat siapa Pas sebenarnya. Banyak pengundi pada PRU 12 lepas mengundi pembangkang kini pasti akan kembali menyokong UMNO.

Yang menjadi masalah ialah pengundi Cina yang berpaling pada DAP. Sekiranya majoriti pengundi Cina mengundi DAP mereka masih tidak dapat membentuk kerajaan. Mereka masih perlukan kekuatan Pas dan PKR. PKR dilihat hanya sekadar masih bernafas dan berada di bilik ICU. Ia cuma menunggu tiup pernafasan dicabut.

Mampukah DAP dan Pas membentuk kerajaan. Sekiranya berjaya sekalipun ia pasti akan runtuh selepas beberapa bulan.

Kecualilah sekiranya Pas sanggup menggadai maruahnya pada DAP dan membiarkan DAP menikam depan dan belakangnya bertubi-tubi. Lebih baik kalah dari menang sebegini.

UMNO perlu membersihkan imejnya yang telah tercalar dan menampilkan imej yang baru dan lebih baik. Ini nampaknya sedang dilakukan oleh Datuk Seri Najib dengan cemerlang. Keyakinan rakyat pada UMNO perlu dibina semula.

Untuk menjemput Pas bergabung adalah sukar kerana keegoan pemimpinnya, namun kita boleh menarik penyokongnya menyokong UMNO pada pilihanraya nanti. Tugas ini perlu dilakukan segera.

Sekiranya pengundi-pengundi ini menyokong Pas kerana kelihatan lebih Islamik mengapa UMNO tidak boleh berbuat demikian? Apa salah dan masalahnya?

Adakah ia mustahil? UMNO perlu lebih terbuka untuk menjelaskan pada rakyat apa yang mereka telah lakukan untuk meningkatkan syiar Islam di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Konsep tangan kanan memberi dan tangan kiri tidak mengetahui tidak boleh digunapakai dalam kes ini kerana rakyat berhak mengetahuinya.

Biarlah penyatuan Melayu berlaku dalam UMNO. Sekiranya UMNO kuat dan kembali berpengaruh tentu pengundi Cina dan India akan kembali menyokong BN.

Mungkin moto "UMNO pejuang bermaruah" boleh diguna pakai untuk membezakan dengan perjuangan Pas dan PKR.

Fauzi Asmara
Guar Chempedak, Kedah

No comments:

Post a Comment