KUALA LUMPUR 19 Mei - Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) kini dipercayai berada dalam proses untuk menutup kesemua 27 buah cawangan Kedai Komuniti Save More (Save More) selepas beroperasi sejak 2009.
Menurut sumber, operasi Save More akan berakhir bulan depan sebelum diambil alih oleh sebuah syarikat lain. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Bernas akan masih memegang kepentingan di dalamnya atau sebaliknya.
Utusan Malaysia diberitahu Bernas telah menghantar surat penamatan kontrak dan notis pemberhentian kerja kepada semua kakitangan sementara dan tetap seramai kira-kira lebih 1,000 orang di dalam pelbagai jawatan.
Bernas dikatakan terpaksa menjual Save More kerana tidak mampu lagi menanggung kos operasinya yang tinggi, sedangkan pulangannya tidak mencapai sasaran yang diharapkan.
Berikutan cadangan penutupan operasi itu, Bernas telah menghentikan semua penghantaran stok- stok baharu dan kini hanya menghabiskan stok sedia ada.
Penutupan operasi Save More memang mengejutkan kerana sebelum ini Bernas bercadang untuk membuka 300 buah cawangan yang membabitkan pelaburan berjumlah RM90 juta.
Penubuhan Save More tercetus selepas isu pemilikan permit import beras yang diperoleh Bernas sehingga 2020 menjadi isu di Parlimen dua tahun lepas.
Ketika itu, ramai mempersoalkan apa yang boleh diberikan Bernas kepada rakyat dengan AP tersebut.
Dalam usaha meredakan isuberkenaan, Bernas mengambil keputusan mewujudkan Save More yang menawarkan pelbagai jenis beras, termasuk ST 15 dan SST 5 yang sebenar, selain produk runcit yang lain.
Sebelum ini, Pengarah Urusan Bernas, Bakry Hamzah berkata, pembukaan kedai itu bertujuan memberi peluang kepada penduduk negara ini menikmati barangan keluaran Bernas yang berkualiti pada harga yang kompetitif.
Berdasarkan unjuran awal, Bernas menyasarkan setiap kedai komuniti dianggarkan menyumbang jualan harian antara RM7,000 hingga RM11,000 sehari.
Dengan unjuran itu, Save More dijangka menyumbang sebanyak 50 peratus kepada Kumpulan Bernas.
Bakry hari ini gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
utusan malaysia
No comments:
Post a Comment