SATU daripada asas keimanan ialah keyakinan setiap yang terjadi dengan izin Allah. Dalam hal ini, manusia boleh berusaha menolak kejadian tidak diingini dengan melakukan sesuatu sesuai menurut peraturan ditetapkan.
Kemudian, jika masih berlaku juga perkara buruk dan tidak diingini, seseorang wajib kembali kepada kepercayaan qada dan qadar Ilahi yang tidak boleh dipertikaikan. Kebiasaannya apabila berlaku sesuatu yang menggembirakan, ia disambut dengan penuh kegembiraan sehingga terkadang lupa bersyukur kepada Allah. Sebaliknya jika terjadi perkara buruk, ternyata sukar se-gelintir manusia terutama yang lemah iman menerima takdir Allah. Malah jika diperhalusi di sini letaknya ketinggian nilai seorang hamba di sisi Allah.
Apatah lagi jika gagah mengharungi ujian dan dugaan diterima, terlebih mulia lagi jika segala ujian diterima dengan reda demi mempertahankan kesucian akidah Islamiah.
Diriwayatkan sebilangan sahabat diseksa kerana mempertahankan agama mereka mengadu kepada Nabi Muhammad SAW sambil bertanya mengapa Nabi tidak memohon pertolongan Allah bagi membantu mereka yang teraniaya.
Lalu Baginda Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya ada orang terdahulu dikorek lubang lalu mereka ditimbus di dalamnya. Kemudian ada digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, ada pula disiat tubuhnya menggunakan sesikat besi sehingga mengoyakkan daging dan menampakkan tulang.
Namun ia tidak meleburkan pegangan agama mereka. Demi Allah sesungguhnya urusan agama ini pasti disempurnakan sehingga orang bermusafir daripada San’aa ke Hadramaut tidak lagi takut kepada Allah dan bimbang ancaman serigala terhadap kambingnya. Akan tetapi kamu terlalu gopoh.” (Hadis riwayat Bukhari)
Justeru, rintangan adalah asam garam kehidupan. Sebagai hamba Allah, kita wajib menerima ketentuan baik dan buruk dengan lapang dada. Selain itu kita wajib percaya Allah Maha Mengetahui lagi Maha adil terhadap hamba-Nya.
Manusia disuruh berikhtiar mengelak musibah dan kejadian buruk tidak diingini. Malah dalam sesetengah situasi, ketentuan Tuhan boleh dielakkan melalui senjata doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi.
Kejadian tanah runtuh ymeragut nyawa 16 penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Selangor, patut dijadikan iktibar. Elakkan menyalahkan takdir atau menerima takdir tanpa berusaha.
Sehubungan itu juga, pembinaan kawasan penempatan yang berpotensi mengundang kejadian tanah runtuh hendaklah dielakkan. Dengan keadaan cuaca tidak menentu akhir-akhir ini kemungkinan berlaku tanah runtuh, banjir kilat dan lain-lain musibah sukar dijangkakan.
Menjadi tanggungjawab semua berwaspada tanpa bersikap prejudis menuduh sesama sendiri setiap kali peristiwa buruk berlaku.
Kali terakhir negara menyaksikan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa ialah pada 6 Disember 2008. Kejadian di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang, mengorbankan nyawa lima penghuni rumah banglo di kawasan itu selain meranapkan 14 buah rumah banglo lain.
Persoalannya adakah peristiwa menyayat hati seperti ini sememangnya tidak dapat dielakkan sama sekali, atau ia berpunca daripada ketamakan dan kerakusan manusia menodai alam sekitar sehingga bumi seolah-olah tidak selamat lagi untuk diduduki.
Lebih daripada itu, umat Islam secara khususnya diseru mendekatkan diri kepada Ilahi sebagai sumber kekuatan jiwa dalam menangani sebarang ujian mendatang. Pelbagai ujian daripada kematian, kekurangan makanan dan harta benda akan mewarnai kehidupan hinggalah ke akhirnya.
Oleh : Mohd Ali Muhamad Don
No comments:
Post a Comment