SEJAK merdeka, Malaysia sudah melalui pelbagai ranjau dan dugaan dalam usaha mencapai tahap kegemilangan seperti sedia ada. Rakyat berbilang kaum, pelbagai agama dan warna kulit dapat hidup dalam suasana penuh harmoni.
Semua warganegara diberi hak untuk bersuara; juga ruang untuk mencari rezeki tanpa gangguan mahupun ancaman.
Kebelakangan ini, sudah mula kedengaran isu tertentu yang mungkin mengakibatkan bibit kemusnahan, jika tidak dibendung dari awal. Lebih menyedihkan ia dipelopori beberapa golongan, khususnya pemimpin politik, yang cuba menangguk di air keruh.
Tragedi 13 Mei 1969 sepatutnya dijadikan iktibar dan panduan agar kita semua tidak mengulangi kesilapan masa lampau. Ramai pemimpin parti tertentu, sudah lupa sejarah, atau sememangnya buta sejarah, masih mahu bermain api.
Kita semua maklum, bahasa Melayu adalah bahasa rasminya, Islam agama rasmi dan majoriti penduduknya berbangsa Melayu. Namun, kaum lain masih bebas untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa halangan mahupun paksaan.
Persoalannya kenapa kini ia cuba dipertikai? Kenapa pula ada golongan cuba meniupkan api kemarahan masyarakat Melayu dan umat Islam khasnya dengan tindakan yang mencabar hak dan maruah mereka?
Apakah pendekatan berlembut dan bertolak ansur dilihat sebagai tanda orang Melayu semakin lemah dan boleh dipermain-mainkan sebegitu rupa?
Usah biarkan ia berlarutan atau berpanjangan.
Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud,
Jalan Kuala Kedah, Alor Setar.
No comments:
Post a Comment