MAJLIS Peguam Malaysia atau dikenali sebagai Malaysian Bar Council umumnya diketahui sebagai sebuah badan yang mewakili pengamal-pengamal undang-undang di Malaysia atau lebih tepat sebuah badan yang menjaga kebajikan mereka. Persoalannya, adakah ini benar-benar berlaku? Adakah perjalanan badan ini selaras dengan objektif utama penubuhannya?
Sebagai introduksi, penulis ceritakan serba sedikit sejarah penubuhan badan peguam ini. Badan peguam ditubuhkan sejak sebelum merdeka lagi. Diterajui oleh jawatankuasa yang terdiri daripada peguam-peguam bijak pandai dan hebat-hebat belaka.
Majlis Peguam Malaysia terdiri daripada 38 ahli yang dipilih setiap tahun untuk mengendalikan urusan-urusan dan melaksanakan fungsi-fungsi badan ini, antaranya ialah Presiden, Naib Presiden, bekas Presiden yang terkini, Pengerusi bagi setiap Jawatankuasa Peguam Negeri, seorang wakil daripada setiap Jawatankuasa Peguam Negeri, dan 12 ahli yang dipilih dari seluruh Semenanjung Malaysia melalui undi pos.
Ahli-ahli jawatankuasa Majlis Peguam Malaysia yang terdiri daripada Presiden, Naib Presiden, Setiausaha dan Bendahari dipilih setiap tahun oleh Majlis Peguam dalam mesyuarat pertama yang secara tradisi diadakan sebaik saja Mesyuarat Agung Tahunan tamat. Ahli-ahli jawatankuasa adalah pengamal undang-undang sepenuh masa dan pelantikan-pelantikan kehormat ini adalah tertakluk kepada pemilihan semula setiap tahun.
Melainkan jawatan Bendahari yang tidak diperuntukkan dalam Akta Profesion Undang-Undang, setiap ahli jawatankuasa tidak boleh memegang jawatannya melebihi dua tahun berturut-turut. Ahli-ahli jawatankuasa memegang jawatan ketika dipilih oleh mesyuarat pertama selepas Mesyuarat Agung Tahunan tamat sehingga Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun berikutnya. Mereka berkhidmat secara sambilan dan sukarela kerana akta tersebut melarang sebarang pembayaran gaji.
Cukup setakat itu pengenalan majlis peguam, sekarang apa yang ingin penulis tekankan dalam entri kali ini adalah fungsi badan peguam ini. Secara amnya, untuk memastikan keberkesanan dan kecekapan pengurusan tentang urusan-urusan Majlis Peguam Malaysia, badan peguam ini menugaskan kuasa dan fungsi-fungsi Jawatankuasa dari semasa ke semasa kepada jawatankuasa-jawatankuasa negeri di seluruh Malaysia atau kepada jawatankuasa-jawatankuasa yang dilantik dalam badan peguam sendiri. Persoalannya, adakah badan peguam yang dibarisi oleh jawatankuasa bijak pandai memenuhi objektif asal penubuhannya iaitu menjaga kebajikan ahli-ahlinya atau sebaliknya?
Secara amnya, jawatankuasa peguam negeri dan jawatankuasa Majlis Peguam adalah tidak bebas dan tidak mempunyai kuasa di bawah akta untuk mengemukakan sebarang pendapat bagi pihak Majlis Peguam Malaysia. Bagaimanapun, dewasa kini, sering kali kita mendengar cerita-cerita yang melibatkan badan ini yang dikatakan tidak lagi independent dan telus. Majlis Peguam lebih berminat dan mengambil peduli mengenai isu politik dan tidak lagi memberi fokus kepada objektif asal. Sebagai contoh, dalam suatu kes di Mahkamah Persekutuan yang melibatkan pemimpin pembangkang, Majlis Peguam telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengkritik mahkamah itu tanpa menunggu alasan penghakiman rasmi dari mahkamah tersebut.
Pada pandangan penulis, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Seperti perkara-perkara lain, janganlah kita menghakimi sesuatu keputusan itu tanpa sebarang asas yang kukuh kerana kelak ia akan memakan diri sendiri. Ia seumpama pergi berperang tanpa menyediakan senjata.
Daripada mengambil peduli mengenai situasi politik di Malaysia, penulis menyarankan agar badan peguam ini ambil peduli mengenai kebajikan pengamal-pengamal undang-undang di Malaysia. Antaranya, isu bayaran fi guaman yang telah sekian lama membelenggu peguam-peguam. Sudah tidak asing lagi kita mendengar rungutan peguam-peguam tidak menerima bayaran fi guaman seperti yang sepatutnya.
Lebih parah lagi bayaran tidak diterima walaupun sesuatu kes itu telah tamat dengan jayanya. Untuk isu ini, penulis ingin bertanya pernahkah badan peguam terfikir sebarang inisiatif untuk membantu pengamal-pengamal undang-undang yang terkait dalam isu seumpama ini?
Perlu diingatkan peguam-peguam juga mencari rezeki untuk kelangsungan hidup. Sekiranya masalah ini berterusan, tidak mustahil banyak firma guaman juga akan gulung tikar. Bukanlah penulis bertindak kejam, bagi yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat guaman, khidmat guaman percuma diberikan oleh yayasan bantuan guaman. Jadi untuk bersikap adil, kebajikan peguam-peguam juga perlu dijaga.
Sebagai contoh, penulis mencadangkan agar badan peguam mengeluarkan suatu peraturan baharu yang mana sekiranya fi guaman belum dijelaskan oleh anak guam, peguam yang baharu tidak dibenarkan untuk mengambil alih kes tersebut. Dengan cara ini, peguam yang baharu mengambil alih kes tersebut juga tidak akan mengalami masalah yang sama iaitu tidak mendapat fi guaman sewajarnya. Cara ini adalah lebih adil kepada semua pihak.
Anehnya, masalah ini hampir tidak wujud di negara seperti England, yang juga mempunyai majlis peguam mereka. Kesimpulannya, majlis peguam di England lebih peka terhadap kepentingan ahli mereka.
Kedua, berhubung dengan isu pengiraan undian semasa pilihan raya untuk menentukan ahli jawatankuasa. Dalam isu ini, calon yang bertanding tidak dibenarkan untuk memerhati proses kiraan undian melalui kaca matanya sendiri. Penulis sendiri mengalami situasi ini di mana penulis dibenarkan untuk memerhati pengiraan hanya melalui live streaming terhadap satu saluran pengiraan dari enam saluran kesemuanya. Sepanjang penglibatan penulis dalam bidang guaman selama lebih kurang 20 tahun, tiada mana-mana peruntukan undang-undang yang membolehkan proses ini berlaku.
Penulis berpendapat adalah lebih baik sekiranya kelemahan dalam proses kiraan undian ini diperbaiki terlebih dahulu sebelum pihak badan peguam mengkritik proses pilihan raya umum secara amnya. Ini kerana untuk memperbaiki kelemahan orang lain, adalah lebih afdal sekiranya kita memperbaiki kelemahan diri sendiri.
Penulisan di atas hanyalah luahan penulis sebagai pengamal undang-undang. Lebih elok sekiranya badan peguam memberi lebih perhatian kepada kebajikan ahli-ahlinya tanpa terikat atau berpegang pada sebarang fahaman politik. Kekalkanlah integriti serta impartiality badan ini. Tidak hairanlah mengapa kerajaan mengesyorkan pindaan drastik terhadap Akta Profesion Undang-undang baru-baru ini. Renungkan. - Datuk M Reza Hassan
No comments:
Post a Comment