Bagi kebanyakan wanita yang menggunakan tren itu untuk berulang-alik ke tempat kerja, pemandangan tersebut sudah jadi biasa. Biarpun dijeling-jeling, membeliakkan biji mata dan buat-buat batuk berdehem-dehem sampai hendak keluar anak tekak pun, lelaki yang masuk dan duduk dalam koc ini, selalunya buat muka selamba sahaja. Paling tidak pun, dia fikir wanita yang buat begitu, hendak mengurat dia.
Bila tren tiba, merekalah dulu yang berpusu-pusu masuk dalam koc itu, duduk sila panggung dengan rasa tidak bersalah. Pakai baju kemas, sihat, segak bergaya tetapi duduk dalam koc wanita yang sudah terang-terang tertera di luar koc berwarna merah jambu dan putih itu.
Dan diceritakan oleh seorang wanita kepada saya, semasa dia sedang menunggu bas ketika hujan sangat lebat beberapa hari lalu, lelakilah yang kesemuanya duduk di ruang yang dalam. Takut sangat terkena tempias hujan sambil leka membelek-belek telefon pintar. Wanita-wanita pula habis basah lencun kerana tiada lagi ruang untuk berteduh terpaksa berdiri di tepi-tepi tempat menunggu bas berkenaan.
Seringkali juga kita dapat lihat, ketika hendak membayar wang untuk mengisi petrol, ada ramai lelaki yang buat-buat tidak perasan atau sedar, terpotong barisan, sebab yang dipotong barisan itu giliran seorang wanita, kalau sesama lelaki, sudah tentu dia tidak berani. Takut pula kena sound.
Saya juga pernah berhadapan dengan beberapa kejadian seperti ini, semasa hendak mengambil troli barang di sebuah pasar raya, tidak semena-mena sahaja datang seorang lelaki terus menyorong troli yang saya hendak pegang itu, sedangkan troli lain ada banyak di hadapan. Dan ini membuatkan saya tertanya-tanya, adakah saya ini seorang halimunan yang tidak kelihatan di pandangannya?
Dan hendak dijadikan cerita pula, troli yang direbutkan daripada saya itu, rupa-rupanya rosak, tidak dapat bergerak dengan betul. Akhirnya, dengan muka buat-buat garang, dia menukar troli berkenaan dan saya pun mengambil peluang tersebut saja-saja bertanya - “Rosak ya bang?” Dia hanya balas dengan senyum kelat tanpa memandang wajah saya.
Dalam bab-bab kerja di pejabat atau di mana-mana tempat kerja pun, ada juga lelaki yang membiarkan wanita membuat kerja lebih. Ada segelintir yang mengambil kesempatan dengan kerajinan dan kecekapan wanita berkenaan. Mereka mengakui kekuatan wanita yang telah merasai kesakitan melahirkan anak, menjaga anak siang malam, menjaga hal-hal rumahtangga, boleh berdikari dengan membuat pelbagai urusan harian, maka hal-hal kerja di pejabat ini, apalah sangat bagi wanita.
Itu saya belum sentuh lagi, bab-bab bagaimana wanita didera dari segi fizikal dan mental oleh suami atau pasangan, dipukul, ditengking dan dimaki di khalayak ramai, wanita yang sudah bercerai pula dibiarkan menanggung segala keperluan menjaga anak-anak sendirian manakala bekas suami berkahwin lain dan tidak mahu ambil tahu apa-apa. Ada pula yang mengambil kesempatan menipu wanita untuk menanggung kehidupan mereka. Gentleman sangatkah perangai seperti itu?
Tulisan saya di sini bukan mahu mencungkil segala kelemahan lelaki. Bukan semua lelaki berperangai buruk begitu. Ramai lagi yang bertanggungjawab, rajin membantu, membimbing dan menunjukkan sikap seorang lelaki sejati. Tetapi itulah, ini adalah berdasarkan kejadian yang hari-hari kita boleh dilihat dan dengar ceritanya.
Jika tidak dapat melayan wanita, sama seperti melayan seorang ibu, isteri atau kakak dan adik perempuan, layanlah wanita sama seperti manusia lain yang ada hati, perasaan, kelemahan dan kekurangan.
Oleh : Fauziah Arof
No comments:
Post a Comment