“PEMIMPIN Melayu juga, jangan begitu cepat mencu
rah air daripada tempayan, kerana mendengar dentuman guruh di langit. Anak Melayu yang sudah tinggi pengajiannya, sudah tinggi ilmunya, sudah tinggi jawatannya, berhentilah daripada bersifat kacang lupakan kulit. Janganlah ilmu dan pengetahuan, status dan pangkat, yang membolehkan anak Melayu sudah pandai bersarapan keju dan sosej, menjadikan anak Melayu terlupa daratan.
“Justeru, memberikan martabat dan kemuliaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah sebahagian daripada semangat perjanjian kemerdekaan yang perlu terus dihidupkan dan obor memperjuangkannya hendaklah dinyalakan sepanjang masa”. Begitulah antara titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Majlis Titah Diraja di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.
Apa yang dititahkan oleh Sultan Nazrin adalah satu saranan yang perlu diberikan perhatian serius agar bahasa Melayu terus dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan yang semestinya menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Dan dalam mengejar arus pembangunan dan pemodenan, inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh seluruh masyarakat Malaysia iaitu untuk terus mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan.
Pada suatu ketika dahulu, ketika Kerajaan Melayu Melaka terkenal di serata dunia, bahasa Melayu juga telah dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa undang-undang serta ketatanegaraan, manakala elemen kesusasteraan bahasa Melayu yang tinggi telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang paling unggul di rantau ini.
Namun ini adalah senario beratus-ratus tahun dahulu. Kini tidak salah jika ada pihak yang beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak lagi berfungsi dengan sebaik-baiknya untuk dijadikan sebagai bahasa tamadun. Mungkin kenyataan ini dianggap keterlaluan tetapi pada masa sama kemungkinan itu boleh berlaku jika kita membiarkan bahasa Melayu terus tenggelam di bawah arus kemajuan dan pemodenan.
Lihat sahaja ibu bapa hari ini yang terus mendidik anak-anak sejak dari kecil lagi supaya pandai berbahasa Inggeris. Tidak ada salahnya usaha ini. Bahkan ia adalah usaha yang baik. Apatah lagi jika seseorang itu mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik, maka pastinya akan membuka peluang yang lebih luas untuk mendapatkan pekerjaan.
Namun apa yang menyedihkan apabila bahasa Melayu dianaktirikan oleh sebilangan masyarakat kita termasuklah mereka yang berbangsa Melayu. Mungkin ada yang beranggapan masyarakat akan lebih memandang tinggi pada mereka yang fasih dalam bahasa Inggeris.
Penulis bernasib baik kerana pernah berbual kosong dengan pakar bahasa Melayu dan Inggeris, Adibah Amin tentang isu bahasa Melayu ini. Daripada pengalaman yang Adibah lalui, beliau ada menceritakan bagaimana orang kita lebih suka menggunakan alasan “kalau gunakan bahasa Inggeris senang sikit dan lagi sedap bunyinya, tapi kalau gunakan bahasa Melayu, janggal sungguh bunyinya” apabila kehilangan idea untuk berkarya dalam bahasa Melayu.
Dalam hal ini, Adibah pernah memberikan nasihat supaya kita rajin sedikit mencari ayat dalam bahasa Melayu yang boleh menandingi mahupun lebih baik daripada bahasa asing. Orang kita lebih suka mengambil jalan mudah dan menyalahkan bahasa Melayu yang dikatakan tidak cukup hebat. Rasanya tidak perlu diingatkan bahawa bahasa Melayu ini kaya dengan perbendaharaan dan kiasannya. Kehalusan bahasa Melayu mampu meruntun jiwa mereka yang mendengarnya manakala sindirannya pula sukar untuk ditandingi oleh bahasa asing lain.
Penulis juga pernah membaca temuramah Prof. Madya Dr. Lim Sweet Tin dengan sebuah akhbar tempatan tentang isu bahasa Melayu. Swee Tin ialah penyair, penulis dan pakar bahasa Melayu yang hebat dan pernah dianugerahkan SEA Write Award 2000 iaitu satu penghargaan tertinggi dalam bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan diraja Thailand.
Dan ada juga antara karya beliau dalam bahasa Melayu yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Thailand, Jerman, Portugis serta beberapa lagi bahasa dunia yang lain. Kejayaan beliau membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah milik semua bangsa di Malaysia. Bahasa kebangsaan inilah yang merapatkan lagi perhubungan dan keharmonian sesama kaum di Malaysia.
Sebagaimana maklum, Oktober adalah bulan bahasa Kebangsaan. Difahamkan juga banyak program yang telah dirancang dan dilaksanakan untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita ini. Janganlah program yang telah diatur ini hanya bersemarak pada bulan ini sahaja dan kemudian terus menyepi sehingga tahun depan.
Bahasa Melayu pernah merasai zaman gemilangnya dan terpulang kepada kita semua untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bahasa Melayu di rantau ini.
Oleh : Shahbudin Embun
No comments:
Post a Comment