Friday, October 28, 2016

Terpadamkah Legasi Tun Dr Mahathir Dengan Wawasan Baharu Najib?


SEJAK timbul isu untuk memadam legasi Tun Dr Mahathir Mohamad melalui jawapan balas seorang menteri yang tak perlulah disebut namanya kerana apa yang dikatakan itu boleh memalukan dirinya, Pedang sudah mengagak sesungguhnya apa yang dibina dan diasaskan bekas Perdana Menteri itu tak mungkin boleh dipadam di ataskanvas sejarah Malaysia.

Tidak mungkin pemerintahan Datuk Seri Najib Razak boleh merobohkan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang terus menjadi mercu tanda utama negara. Tak mungkin Kompleks Pentadbiran Kerajaan Putrajaya, mahu dijadikan muzium, begitu juga rumah Perdana Menteri sekarang, selain Lapangan Terbang Antarabangsa KualaLumpur (KLIA) di Sepang.

Proton boleh ditukar nama, dijual kepada syarikat asing. Namun, selagi ada kereta jenis Proton di atas jalan raya di negara ini, rakyat akan kekal mengingati Tun Dr Mahathir. Kita tidak ingat lagi kepada orang yang memberi nama SAGA, tetapi orang akan tetap ingat ‘Proton ialah Tun Dr Mahathir’; ‘Putrajaya ialah Tun Dr Mahathir’; ‘Cyberjaya ialah Tun Dr Mahathir’; ‘KLCC ialah Tun Dr Mahathir’; KLIA ialah Tun Dr Mahathir’.

Semua itu didirikan menerusi ilham Tun Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri. Semua itu, adalah antara legasi ditinggalkan beliau, walau tidak diminta untuk diingati, namun seluruh rakyat Malaysia pasti tahu siapa yang membina tempat-tempat berkenaan.

Namun, ada juga apa yang diasaskan dan menjadi harapan Tun Dr Mahathir serta rakyat Malaysia yang boleh dipadamkan.

Wawasan 2020 yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir pada 1991, menjadi mangsa. Sesungguhnya, ‘perang’ Mahathir-Najib, menyebabkan Perdana Menteri sekarang bersungguh-sungguh mahu mamadam legasi Tun M. Keengganan meneruskan wawasan yang ditinggalkan dan hanya berbaki empat tahun lagi untuk dicapai, adalah buktinya.

Menurut laporan sebelum ini, Najib pada 19 Julai 2010 menjelaskan kepada Dewan Rakyat bahawa Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir telah diterima sebagai dasar dan wawasan negara.

Sehubungan itu, katanya, sesiapa jua yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas Tun M akan komited untuk menjayakan wawasan itu, sekali gus memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

“Walaupun Wawasan 2020 diilhamkan oleh Dr Mahathir tetapi ia diterima sebagai dasar wawasan negara dan siapa sahaja pemimpin selepas beliau akan komited untuk menjayakannya. Oleh itu, kerajaan pada setiap masa sedia menerima pendapat semua pihak bagi menjayakan wawasan itu termasuk daripada Dr Mahathir sendiri.”Demikian kata Najib. Namun, kita harus menerima hakikat bahawa ‘anak sungai pun berubah…

Daripada ucapan Bajet 2017 Jumaat lalu, kita sudah mengetahui hasrat Najib untuk memadam legasi Tun M.

“TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui. Biarlah TN50 jadi saksi, kita adalah bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab mewariskan (masa depan) yang terbaik dan terhebat kepada generasi hari muka (akan datang)”. Itu kata Najib.

Pedang tidak nafikan, setiap Perdana Menteri mempunyai wawasan dan visinya sendiri. Begitu juga Najib.

Najib berkata bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan bapanya berjaya mencapai sasaran dalam tempoh 30 tahun (1970, 1980, 1990) dan TN50 juga dijangka mengambil tempoh sama untuk proses dan gerak kerja.

Ketika tamatnya DEB pada tahun 1990, Tun Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara (DPN) pada 1991. Serentak itu, beliau memperkenalkan Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Yang dimaksudkan dengan sepenuhnya, terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga politik, sosial, kerohanian, psikologi, perpaduan nasional dan sosia. Semuanya membabitkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta keyakinan.

Sembilan matlamat utama Wawasan 2020 ialah:
1.Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara;

2.Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain;

3.Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun;

4.Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.;

5.Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;

6.Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan;

7.Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh;

8.Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi; dan

9.Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.


Tun Dr Mahathir telah menggariskan sembilan cabaran strategik yang mesti diatasi bagi mencapai Wawasan 2020.

Cabaran 1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Cabaran 2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.
Cabaran 3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.
Cabaran 4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.
Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.
Cabaran 7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.
Cabaran 8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.
Cabaran 9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.

Yang pasti wawasan dibina Najib juga akan diingati, tetapi secara negatif. Syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya meninggalkan legasi positif, namun sebaliknya ia dipenuhi skandal kerana ‘kehilangan’ dana berbilion-bilion ringgit. - Kata Pedang

No comments:

Post a Comment