RAKAN penulis yang baru pulang dari United Kingdom sungguh terkejut dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia. Setelah bermastautin selama lima tahun di luar negara, dia cukup terasa dengan kenaikan itu. Menurutnya, ada antara barangan tersebut mengalami kenaikan 100 peratus dalam tempoh lima tahun. Baginya, kenaikan itu cukup mendadak. Ditambah lagi, rakan penulis ini berlatarbelakangkan jurusan perakaunan, pastilah setiap sen kenaikan harga barangan dan perkhidmatan diambil peduli secara serius.
Umum mengetahui, situasi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan seolah-olah sukar dibendung sama sekali. Bagi rakyat Malaysia yang tidak pernah bermastautin di mana-mana negara di dunia dalam tempoh terdekat ini, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah menjadi sebati sehinggakan seolah-olah tidak begitu terasa sebagaimana rakan saya tersebut. Sebenarnya, di mana-mana pun, ramai yang mengeluh akan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang meningkatkan kos sara hidup mereka. Jadi, tidak hairanlah kebanyakan rakyat Malaysia terpaksa berhati-hati dalam berbelanja pada masa ini.
Sabtu lalu, penulis berkesempatan menghantar kereta untuk diselenggara. Bayangkan, pada waktu tengah hari, bengkel tersebut masih lengang tanpa ada sebuah kereta pun. Penulis ingatkan semasa cuti hujung minggu, sudah tentulah banyak kereta dihantar untuk diselenggara, namun sebaliknya berlaku. Sepanjang 10 tahun menjadi pelanggan setia bengkel tersebut, jarang sekali situasi sebegini berlaku. Penulis bertanya kepada pemilik bengkel akan hal ini. Jawapannya, pelanggan kini sanggup menunggu sehingga di saat-saat kenderaan amat memerlukan penyelenggaraan, baharulah dihantar ke bengkel.
Walhal, perbelanjaan pengguna amat penting dalam merancakkan ekonomi domestik Malaysia. Bagi penulis, perkara ini tidaklah mengejutkan ekoran pengguna semakin hari semakin berhati-hati berbelanja. Faktornya tidak lain tidak bukan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang melebihi peningkatan pendapatan mereka. Jadi, kuasa beli mereka pun semakin kurang. Semakin kurang bermaksud jika dahulu mereka mampu membeli dua barang, kini untuk membeli barangan yang sama hanya satu kuantiti sahaja yang mampu dibeli. Inilah yang semakin meresahkan rakyat Malaysia.
Jadi, usahlah terkejut apabila ada pakar hartanah menyatakan jika golongan muda tidak membeli rumah sebelum tahun 2020, maka mereka tidak mampu lagi membeli rumah. Kecualilah yang sudah bergelar jutawan pada ketika itu. Dengan kata lain, hanya yang kaya-raya sahaja mampu membeli rumah selepas tahun 2020. Jika ini berlaku, maka lebih ramailah rakyat Malaysia yang terpaksa menyewa sepanjang hidup mereka. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat negara maju. Majoriti rakyat hanya mampu menyewa.
Adakah trend yang sama akan berlaku di Malaysia? Walhal, tanah-tanah di Malaysia masih banyak. Sebenarnya apa yang berlaku kerana kerakusan segelintir pihak yang memiliki wang yang banyak. Menjana kekayaan tanpa mengambil peduli orang lain. Misalnya, sudah menjadi lumrah golongan sebegini membeli rumah di bandar-bandar besar seperti di Lembah Klang. Tujuannya, untuk dijual kembali atau disewakan dengan harga yang cukup tinggi. Ada antara mereka mengambil peluang menyewakan rumah dengan harga ribuan ringgit sebulan kepada ekspatriat. Alasan diberi, majikan ekspatriat ini sanggup dan mampu membayar sewa rumah yang tinggi.
Akhirnya, harga rumah sebegini akan meningkat tinggi. Inilah sikap segelintir rakyat Malaysia yang terlalu memikirkan diri sehingga tidak ambil peduli kesan tindakan mereka kepada masyarakat dan generasi akan datang.
Ini baru satu tindakan, belum lagi mengambil kira hal lain. Maka, semakin ramailah yang dikategorikan miskin bandar selain miskin luar bandar. Apa yang memeritkan, mereka yang tergolong sebagai miskin bandar ini tangga gajinya seumpama berpendapatan sederhana tinggi namun hakikatnya pendapatan sebanyak RM6,000 sebulan hanya cukup-cukup makan.
Natijahnya, semakin ramai terpaksa menjalankan dua kerja untuk menambah pendapatan dan meningkatkan kuasa beli mereka. Ada yang sanggup bekerja sehingga lewat malam sehinggakan memberi kesan terhadap kesihatan mereka. Apa yang membimbangkan, kesan tersebut memudaratkan kerja hakiki mereka pada sebelah siang ekoran tidak cukup rehat. Walhal rehat itu juga sebenarnya “pendapatan”. Dengan rehat yang mencukupi barulah produktiviti dapat ditingkatkan. Sekali gus, memberi kesan yang positif terhadap kerja, majikan dan ekonomi negara.
Situasi menang-menang sebeginilah yang diinginkan oleh semua pihak. Namun, realitinya semakin hari situasi sebegini jauh daripada jangkauan semua pihak. Ramai yang tertanya-tanya apakah episod sebegini akan berpanjangan setelah Malaysia bergelar negara maju pada tahun 2020? Apakah ada jalan penyelesaian untuk mengukuhkan kuasa beli rakyat Malaysia sehingga benar-benar mampu membeli apa yang perlu dimiliki sebagai rakyat negara maju?
Kedua-dua soalan ini hanya boleh dijawab oleh tukang rangka strategi kewangan negara. Menjelang pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat minggu hadapan, rakyat benar-benar mengharapkan strategi ampuh dalam meningkatkan pendapatan mereka. Segeralah “redakan” kos sara hidup rakyat dengan memperkenalkan insentif-insentif ampuh dalam Bajet 2017. Pastikan kuasa beli rakyat ditingkatkan agar kesejahteraan tidak sekadar dinikmati oleh segelintir golongan elit dan mewah sahaja.

Oleh : DR. Rohami Shafie
No comments:
Post a Comment