MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam menyamakan perang jenayahnya dengan pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi oleh diktator Jerman, Adolf Hitler.
Duterte berkata, beliau ‘gembira jika dapat membunuh’ berjuta-juta penagih dadah.
Pemimpin itu turut membidas Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) kerana hipokrit dalam mengutuk tindakan kerasnya. Perang dadah Duterte telah meragut lebih 3,000 nyawa sejak beliau tiga bulan lalu.
“Hitler membunuh tiga juta orang Yahudi. Sekarang ada tiga juta penagih dadah (di Filipina). Saya gembira untuk membunuh mereka semua,” kata Duterte di bandar Davao, selatan Filipian selepas pulang dari lawatan ke Vietnam.
“Saya mahu menghapuskan semua penjenayah di negara ini demi generasi akan datang.” tambahnya.
Duterte, 71, memenangi pilihan raya Presiden pada Mei lalu selepas berjanji akan menghapuskan gejala dadah dalam masyarakat. Beliau juga ikrar melancarkan perang untuk menghapuskan seramai 100,000 penjenayah.
Perang dadah Duterte bagaimanapun mengundang kritikan Barat dan kumpulan hak asasi manusia yang memberi amaran bahawa ia menyebabkan pembunuhan di luar undang-undang yang semakin berleluasa di Filipina.
Kebimbangan tersebut antara lain diutarakan oleh Presiden AS, Barack Obama, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan Parlimen Eropah.
Duterte, bagaimanapun, membalas semua kritikan itu dengan kasar.
“Saya digambarkan seperti sepupu Hitler dan kamu (Barat) tidak peduli untuk menyelidik dan menyiasat. Ini sememangnya bodoh,” katanya.
Duterte juga membidas EU dan AS kerana gagal menangani krisis imigran dari Asia Barat. – AFP-KOSMO
No comments:
Post a Comment