Sebahagian besar dan majoriti rakyat Malaysia membesar dengan melihat era kepimpinan Tun Dr Mahathir. Legasi pemerintahannya menyumbang kesan yang sangat hebat kepada era permodenan pentadbiran negara dan tamadun bangsa. Beliau dilihat begitu gigih dalam segala perancangan dan tindakan menjayakan agenda kejayaan bangsa Melayu dan negara Malaysia dengan cemerlang. Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum menumpang tuah di atas usaha kerasnya membentuk pencapaian negara selama 22 tahun. Perdana Menteri selepasnya menerima 'dulang emas' sebuah kerajaan yang hampir berjaya. Tun Dr Mahathir pernah berkata untuk tidak campurtangan atau menganggu pentadbiran negara selepas bersara. Namun naluri seorang negarawan bukan seperti seorang persara kerajaan biasa. Di tengah kemelut Kerajaan Negeri Selangor, Tun Dr Mahathir memilih untuk menerjah serangan terbuka terhadap Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najib Tun Hj Abd Razak. Serangan Tun Dr Mahthir kali ini tidak berani diulas secara semberono oleh penasihat dan orang sekelilingnya. Bimbang kesan yang lebih besar melanda maka pendekatan hikmah dan tenang cuba diguna. Dan jawapan dari YAB Perdana Menteri juga dilihat cuma memindahkan isu ini kepada tanggungjawab UMNO, sedangkan Tun Mahathir secara jelas menegur 'dasar Najib dan beberapa tindakannya'. Bagi penulis, bila Tun Mahathir bersuara, pasti ada yang tak kena. Jika Tun Mahathir berkata, akan ada yang terasa. Seandainya Tun Mahathir mengkritik, sudah pasti untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
Pemikiran dan tindakan beliau amat sukar dibaca hingga kesan segala ucapannya dan mata penanya sering mengemparkan rakyat Malaysia. Coretan Tun Dr Mahathir membuka cerita baru yang mengundah-gulanakan memanda Perdana Menteri dan barisan kepimpinan negara. Dalam keadaan sebenar, kocakan dan hentaman Tun Dr Mahathir memberikan kesan sangat besar kepada DS Najib yang kelihatan lemah dan amat tak bermaya. Sudah terlalu lama Tun Dr Mahathir memendam rasa kecewa. Seingat penulis ketika pertemuan tertutup selama lebih 2 jam pada 29 November 2011 di tingkat 86 KLCC, Tun Dr Mahathir telah mengulas tentang kepimpinan DS Najib apabila ditanya Kelab Che Det (KCD). Rahsia perbincangan ketika itu tidak pernah dibuka kepada umum dan intipati sebahagian jawapan Tun Dr Mahathir pada hari itu telah diluahkan secara jelas dalam blognya baru-baru ini.
Mahathir & Mukhriz
Penulis terbaca kata-kata nakal yang menyindir Tun Dr Mahathir kononnya kecewa apabila anaknya Mukhriz tidak mendapat kedudukan dalam UMNO lalu memilih untuk menyerang memanda Perdana Menteri. Bagi yang belum cukup mengenalinya pasti mencari-cari sebab untuk menghentam beliau. Penulis sendiri penah bertanya isu ciri kepimpinan Mukhriz yang tidak selari dengan gaya Tun Dr Mahathir ketika pertemuan di KLCC tersebut. Tun tidak berminat mencampuri urusan politik anaknya dan mahukan Mukhriz belajar sendiri sepak terajang politik. ‘Kalau dia datang minta nasihat, saya bagilah nasihat’ itulah jawapan Tun Dr Mahathir kepada kami. Jika Tun Dr Mahathir mahu menjaga periuk nasi politik Mukhriz sudah tentu tindakan yang paling baik adalah mendiamkan diri dan tidak membuat komen terhadap memanda Perdana Menteri. Malah jika Tun berhasrat membina kekuatan Mukhriz, sudah pasti ditempatkan lebih awal dalam kepimpinan negara seperti yang dilakukan olah ramai pemimpin negara dan dunia hari ini.
Tun Dr Mahathir bukan boleh dibeli dengan sogokan jawatan untuk anaknya atau memakan umpan semudah itu. Beliau berani bersuara kerana kebenaran dan tidak bimbangkan sesiapa. Seorang pemimpin harus berani membuat keputusan yang tegas tanpa bergantung kepada orang sekelilingnya. Pemimpin yang terlalu banyak bergantung kepada sokongan tanpa kekuatan diri sendiri akan kelihatan lemah dan tidak berwibawa. Tun Dr Mahathir telah membuktikannya dengan rekod yang cemerlang, dan kerana sikap itulah negara Malaysia masih selamat dan aman makmur sehingga hari ini.
Dulu lain sekarang lain
Lihatlah kegagalan penguatkuasa dalam menguruskan kebiadapan di laman sosial oleh dasar baru yang sangat liberal dan terlalu terbuka. Apakah kita mahu melihat tercetus huru hara seperti tragedi 13 Mei sekali lagi?. Sedarkah memanda Perdana Menteri akan ancaman api perkauman yang semakin tidak dapat dikawal akibat dasar keterbukaan yang mengundang bahaya.
Ada pula yang menyatakan berkata zaman sudah jauh berbeza. Biarkanlah PM DS Najib mentadbir mengikut acuan dan citarasanya. Penulis mempunyai sisi pandangan sebaliknya. Analogi mudah untuk difikirkan: Sebuah rumah yang telah didirikan oleh si ayah diserahkan kepada anaknya yang dicintai. Lalu si ayah yang masih bertenaga kekal tinggal bersama. Bezanya cuma pencari nafkah dan pengurus hal kekeluargaan adalah anaknya. Apakah perasaan si ayah apabila anaknya mengubahsuai rumah kediaman tersebut tanpa melibatkan langsung pandangan bapanya yang dianggap sudah tidak mempunyai citarasa. Jika mahu melakukan dekorasi sekali pun, kekalkan apa yang sedia ada. Letakkan diri kita sebagai bapa dan fikirlah dengan rasional apakah perasaan kita kelak.
Kontasi ini jika diletakkan dalam situasi negara Singapura adalah amat berbeza. Dari kepimpinan Goh Chok Tong hingga Lee Hsien Loong, mereka meneruskan agenda Lee Kuan Yew tanpa banyak mengubah dasar negara. Malah undang-undang yang dilaksanakan oleh Lee Kuan Yew masih kekal relevan di Singapura. Ceduklah kebaikan dan kejayaan mereka membina negara. Dalam persoalan ini mengapa memanda PM tidak berkiblatkan Singapura untuk membina agenda bangsa yang lebih berjaya.
Ketika era Tun Dr Mahathir, beliau menjadikan Singapura sebagai jiran yang tidak langsung diberikan ‘muka’. Tun Dr Mahathir sangat tegas melayan Singapura dan ianya terkandung di dalam buku Doktor Umum ’Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad’. Ketika zaman Pak Lah, sikapnya yang lembut dan beralah menyebabkan beliau kalah. Manakala di zaman DS Najib pula, kemesraan yang ditonjolkan kelihatan sangat luarbiasa dan layan yang diberikan kepada Singapura terlalu istimewa.
Kedatangan Obama yang menyaksikan PM bersama Presiden USA itu di dalam kereta khasnya menimbulkan suatu perasaan kurang selesa. Malah penulis juga kurang gembira bila melihat gambar-gambar di media sosial hubungan Malaysia- Singapura yangb akhir-akhir ini semakin ketara baiknya. Jika hubungan ini amat diperlukan, kita patut mengambil pendekatan meniru kebanyakkan sistem bernegara yang menjamin kemajuan dan kejayaan Singapura. Sebagai contoh PLKN di Malaysia sepatutnya digantikan dengan Sistem Kerahan Tenaga. Begitu juga dengan sistem satu aliran pendidikan dan pemberhentian bantuan kepada sekolah verikular yang sangat jelas menghalang perpaduan kaum. Memanda Perdana Menteri perlu berani dalam soal ini sementara masih berkuasa walaupun keputusan ini tidak popular dan menjejaskan undi kaum cina. Ketegasan Singapura dalam isu penguatkuasaan mereka sepatutnya sudah lama dipraktikkan di Malaysia. Jika Tun Dr Mahathir telah mengisi segala insfrasuktur, maka agenda memanda Perdana Menteri ada membetulkan minda warga Malaysia kepeda pemikiran tahap dunia. Justeru itu ‘cara Singapura’ mentarbiah rakyatnya boleh dipelajari untuk pembangunan negara bangsa yang berjaya.
Ketam mengajar anaknya
Slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ masih belum dapat dihadamkan oleh pegawai tertinggi juga penjawat awam. Dalam isu ini penulis ingin berkongsi pengalaman berurusan secara rasmi melalui surat kepada Ketua Setiausaha Negara, juga KSU sebuah kementerian dan Ketua Pengarahnya melalui surat secara berdaftar. Isunya adalah sangat penting tetapi pihak berkenaan tidak menjawab surat berkenaan sehingga hari ini. Jika perkara sekecil dan semudah menjawab surat pun gagal dilaksanakan oleh pentadbiran Perdana Menteri maka agak sukar untuk kita berbicara perkara yang lebih besar lagi. Ketika zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, penulis pernah beberapa kali mengutus surat, alhamdulilah semuanya mendapat maklumbalas segera dan dijawap oleh mereka. Sebaliknya bermula era Pak Lah hingga Dato Seri Najib penulis melihat kelemahan demi kelemahan yang tidak langsung dipedulikan dan diambil perhatikan. Bagaimana acuan,,begitulah kuihnya.
Kecelaruan konsep 1 Malaysia hingga asas perlembagaan disalahtafsir mengwujudkan kesan perkauman yang semakin menebal. BR1M pula merupakan satu pemikiran ke belakang yang akan megwujudkan lebih ramai rakyat Malaysia yang malas berusaha. Penulis melihat bukti ramai orang Melayu belajar menipu untuk melayakkan mereka menerima BR1M. Di kampung-kampung ada peraih getah dan mereka yang mempunyai berpuluh ekar tanah tanah menadah tangan meminta sedekah dari Kerajaan Malaysia. BR1M mematikan semangat persaingan untuk mendapat pendapatan yang lebih tinggi dan akan terus melemahkan daya saing bangsa Melayu untuk maju.
Memanda Perdana Menteri sering kali dikaitkan dengan peranan isterinya. Pada suatu soalan ketika ditanya tentang Tun Dr Siti Hasmah, beliau memberitahu bahawa isterinya tidak pernah terlibat atau mengambil tahu tindakan dan keputusannya. Kembalikan ingatan kita saat Tun Dr Mahathir mengumumkan persaraannya. Isteri kesayangannya tidak dimaklumkan akan rencana penting yang bakal diumumkan beliau. Di mana mana acara dan majlis, isterinya Tun Dr Siti Hasmah amat jarang kelihatan mendahului mahupun campurtangan dalam urusan program suaminya. Ciri ini hampir sukar dibuktikan pada kepimpinan DS Najib. Sumber dalaman yang sangat rapat dengan memanda PM sudah tidak mampu lagi menutup mulut dan bukan lagi cerita dongeng di kalangan rakyat Malaysia. Maka serangan Tun Dr Mahathir pasti ada asas yang kukuh untuk membetulkan segala kepincangan yang sangat jelas di mata beliau dan akan merugikan negara.
Dalam keadaan ini, kita melihat beberapa tindakan dan perencanaan gagal membangkitkan keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional. Apakah semua perencanaan dan penjenamaan tersebut untuk masa depan Malaysia atau masa depan populariti Perdana Menteri? Hanya keikhlasan dan kejujuran akan membantu Perdana Menteri mengatasi segala kemelut yang sedang beliau hadapi. Cuba kita lihat semua slogan yang Tun Dr Mahathir lancarkan dahulu, hampir semuanya untuk kepentingan masa depan dan wawasan jangka panjang negara. Kerana itu segala perancangan beliau mendapat pertolongan Allah Yang Maha Berkuasa.
Nasihat paling berharga
Penulis ingin berkonsi momen yang sangat terkesan petang itu apabila salah seorang ahli kumpulan telah meminta Tun Dr Mahathir menitipkan nasihat khas untuk kami. Sambil mengetuk jari di meja, Tun Mahathir berkata : Bacalah Al Quran dan fahamilah maknanya dalam bahasa yang kita faham. Saya tak faham bahasa Arab sebab saya orang Melayu. Bismillah saya tahulah. Saya menkaji hampir banyak kitab terjemahan Al Quran dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Di dalamnya terkandung seluruh rangka kehidupan yang lengkap. Allah telah memberikan panduan yang sempurna di dalamnya dan ikutlah panduanNya’. Kata-kata itu benar-benar menyentuh hati penulis sehingga hari ini. Ianya dititipkan oleh seorang yang kelihatan ‘jahil agamanya’. Penulis teringat pesan guru yang berkata “Berjubah berserban, berceramah guna hadis dan al Quran, Ulang alik pergi Mekah bawa kawan-kawan, itulah ulama yang diprogram dan diiklankan’ Tun Dr Mahathir yang sangat sederhana disisi luarnya tanpa berjubah dan berserban tetapi memberikan ilmu yang tidak pernah pun dinasihatkan oleh para alim ulama atau tok guru kepada kami. Bagi penulis, kejayaan Tun Dr Mahathir adalah bersebab dari sepenuh keikhlasan yang dicurahkannya. Biarpun banyak cabaran namun pertolongan Allah sangat dekat dengan melepasi semua ujian kepimpinan dengan jayanya.
Masih ramai pimpinan dan rakyat tidak dapat menilai dari mata hati akan kata-kata Tun Mahathir yang dianggap seolah-olah mencampuri urusan kerajaan selepas persaraannya. Tun Mahathir bukan sebarang orang dan pandangannya selalunya lahir dari keikhlasan kerana sayangkan bangsanya. Beliau antara pemimpin yang paling hebat menerima kecaman, hinaan, dan kata nista yang tidak terbayang akan dilemparkan berbanding apa yang diterima oleh memanda Perdana Menterti selepasnya. Penulis sendiri tidak dapat melupakan tindakan bodoh yang pernah dilakukan ketika amat membenci Tun Dr Mahathir. Memetik kata-kata seorang ahli politik legasi Tun Mahathir, beliau antara seorang dari begitu ramai pemimpin yang dilahirkan dalam 100 tahun untuk melonjakkan tamadun sesuatu bangsa. Sesungguhnya jika benar kata-kata keramat itu maka kehendak dan teguran Tun Mahathir adalah sangat perlu diberikan perhatian khususnya dasar-dasarnya yang tegas dan berwibawa sekalipun tidak popular.
Tun Mahathir bagi saya adalah ‘Keramat Hidup’ yang berbisa kata-katanya, selalu betul dalam segala tindakannya, terlalu mendalam pandangannya dan jarang dari kita membaca gerak hatinya. Pengalaman panjang sebagai seorang negarawan yang ikhlas jiwanya tidak seharusnya diketepikan. Dengan keikhlasan Tun Mahathir pasti kita dapat memulihkan kekuatan bangsa. Pandangan Tun Dr Mahathir bukan sekadar ucapan biasa kerana setiap lontaran ucapannya mengandungi azimat yang beliau nampak dari firasatnya sebagai bekas pemimpin ulung bangsa Melayu. Fikirkan sejenak duhai pimpinan dan rakyat Malaysia beliau bukan calang-calang orang kerana Tun Dr Mahathir ialah seorang pemikir, penulis, pengkaji, pénelaah, tidak tamak kuasa, memiliki daya intuitif yang sangat tinggi, tidak mudah percaya dan menerima segala maklumat dengan membuat kajian, tidak mudah berjanji tetapi jika berjanji akan ditepati. Beliau sangat menghormati masa, tiada kepentingan diri apatah lagi kroni, tidak khianat kepada sesiapa kerana keikhlasan sepenuhnya dicurahkan kepada negara yang amat disayanginya. Malanglah bagi kita jika membiarkan teguran dan nasihat Tun Mahathir berlalu tanpa desakan untuk mengubah kecuaian yang terang di depan mata. Rugilah untuk kita jika masih gagal menilai isu ini secara matang dan terbuka.
Oleh : Cr Lukman Moidin
No comments:
Post a Comment