Tiada lagi perjuangan Umno, hanya perut dan kuasa, kata Nakhaie
Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, beliau meninggalkan Umno kerana parti nasionalis Melayu itu sudah tidak ada perjuangan lagi melainkan untuk kepentingan diri masing-masing saja.
Nakhaie, 71, mengumumkan keluar Umno selepas kira-kira 25 tahun berada dalam parti itu setelah meninggalkan PAS pada 1989.
"Konsep kejayaan dalam Umno sudah tidak lagi mengenai tujuan Umno tetapi kejayaan seseorang di dalam Umno adalah kejayaan mendaki hierarki kuasa.
"Berapa banyak wang yang dikumpul, berapa tinggi hierarki kuasa dia dapat dan masing-masing menggunakan wang untuk dapat kuasa.
"Kuasa membuat wang, wang membeli kuasa, untuk perut saja," katanya dalam temubual khas dengan The Malaysian Insider di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Nakhaie pada 20 Ogos lalu menulis di Facebooknya, “Saya bukan Umno lagi” dan kenyataan itu mengejutkan ramai pihak.
"Mengapa saya harus keluar Umno? Saya menyertai Umno untuk perjuangan menegakkan agama, memartabatkan bangsa dan negara.
"Perjuangan itu sudah tiada lagi dalam Umno kini. Tidak wajar lagi saya berada dalam parti yang sudah korup perjuangannya. Saya bukan Umno lagi," tulis Nakhaie dalam posting itu.
PAS kehilangan seorang pemikir apabila Nakhaie yang juga bekas naib presiden PAS meninggalkan parti itu 25 tahun lalu.
Antara jasanya dalam PAS ialah membentuk Chiness Consultatif Council (CCC) menghubungkan parti Islam itu dengan bukan Islam khasnya orang Cina.
Beliau bagaimanapun dikritik hebat susulan PAS kalah teruk dalam pilihan raya umum 1986 selepas CCC ditubuhkan.
Nakhaie keluar PAS dan menyertai Umno selepas beberapa ideanya bertentangan dengan pemimpin PAS.
Beliau disambut baik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi namun tidak dihiraukan selepas Datuk Seri Najib Razak menjadi pemimpin utama Umno.
Beliau ditamatkan khidmat sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) apabila Najib mengambil alih tampuk kuasa.
Kini beliau adalah salah seorang naib yang dipertua Perkim di mana Dr Mahathir ialah yang dipertua Perkim.
Nakhaie berkata, perjuangan pemimpin Umno sekarang jauh berbeza dengan generasi awal Umno dulu.
"Kalau dulu, Umno berjuang, pemimpinnya berjaya apabila dia berjaya memenuhi cita-cita Umno. Sebab itulah ahli di bawah terasa mereka juga menang apabila pemimpin berjaya," kata Nakhaie.
Beliau memberikan contoh perjuangan untuk mendapat kemerdekaan negara.
"Bukan saja pemimpin yang rasa berjaya, tetapi orang bawah juga terasa mereka berjaya apabila kemerdekaan dicapai. Pemimpin berkorban, orang bawah juga berkorban.
"Sekarang perjuangan ini sudah tiada. Saya hendak berjuang. Kalau sudah tidak ada perjuangan buat apa saya duduk di situ (dalam Umno)," katanya.
Nakhaie mencabar mana-mana pemimpin Umno untuk menerangkan dengan penuh keyakinan perjuangan yang mereka katakan untuk agama, bangsa dan negara itu.
Katanya, tidak ada lagi pemimpin Umno yang yakin sepenuhnya dengan perjuangan mereka sekarang termasuk presiden atau naib presiden Umno.
"Boleh atau tidak mereka jelaskan perjuangan Umno untuk agama, bangsa dan negara itu dengan penuh yakin.
"Slogan itu masih digunakan tetapi bagaimana mereka menghuraikannya dan meyakinkan orang mereka berjuang untuk agama, dengan roh dan kekuatan jasad mereka.
"Bagaimana hendak perjuang bangsa dengan roh dan jasad mereka. Begitu juga untuk negara, mungkin ada sikit tetapi itu pun dipersoalkan," katanya.
Katanya, ini kerana negara sekarang berada dalam keadaan pincang dengan hubungan etnik yang makin kacau dan pelbagai masalah lagi.
Nakhaie berkata, Islam datang bukan untuk umat Islam saja tetapi membawa keadilan kepada semua.
“Bukan setakat itu, Islam datang membawa rahmat kepada seluruh alam, bukan kepada manusia saja tetapi tumbuh-tumbuhan, pokok dan juga alam sekitar,” katanya.
Katanya, Islam yang dibawa Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di awal kemerdekaan negara lebih jelas berbanding dengan yang berlaku sekarang.
"Tunku bercita-cita untuk satukan rakyat dengan Islam bukan atas paksaan tetapi dakwah tanpa paksaan. Hasrat beliau supaya majoriti rakyat Islam.
"Beliau mendapat sokongan Cina dan India. Lihatlah berapa ramai yang masuk Islam. Kita tidak sampai ke tahap itu," katanya.
Atas dasar itulah, Nakhaie memilih untuk tidak lagi terikat dengan parti politik tetapi bergerak menyampaikan Islam yang syumul dan lengkap.
Sumber : the malaysian insider
No comments:
Post a Comment