Apa yang hendak penulis ceritakan di sini bukan mengenai budak-budak sekolah rendah, tetapi penulis hendak fokuskan kepada peniaga-peniaga yang mencari makan dengan budak sekolah, apatah lagi budak sekolah rendah.
Apa yang penulis lihat, ramai juga peniaga dari Indonesia yang menggunakan peluang berniaga pelbagai jenis makanan ringan untuk murid-murid sekolah rendah ini.
Mereka ini bukannya membuka warung di depan atau di kiri kanan sekolah, tetapi menggunakan motosikal, tunggu di luar pintu pagar sekolah selepas selesai sesi persekolahan.
Mudah sahaja mereka berniaga, letak sebiji tong papan di belakang motosikal, kemudian ketuk paku keliling tong dan sangkut pelbagai jenis makanan ringan di paku itu.
Ini tidak termasuk bahan-bahan jualan yang terdapat di dalam tong papan itu.
Pelbagai jenis jajan dijual termasuk sate ikan yang menjadi kegemaran anak-anak sekolah. Ada dalam kalangan mereka yang menjual ais krim dan menjadi tumpuan anak-anak sekolah.
Maka tidak hairanlah peniaga-peniaga ini boleh bertahan dengan cara niaga mereka kerana sambutannya menggalakkan.
Oleh itu, tidak hairanlah juga budak-budak sekolah rendah yang mudah terpengaruh ini membawa lebih wang saku ke sekolah kerana banyak tempat yang boleh mereka berbelanja untuk mengisi perut.
Di sekolah ada kantin, di luar pula ada lagi peniaga yang menunggu dengan pelbagai jenis makanan ringan.
Di kantin sekolah, makanan dan minumannya dipantau walaupun sekali-sekala ada yang terlepas pandang sampai ada yang keracunan. Sekolah juga mensyaratkan agar apa yang dijual kepada anak-anak sekolah ini berkhasiat, mengenyangkan dan harganya pula berpatutan.
Soalnya, makanan dan minuman yang dijual di luar mampukah dipantau? Anak-anak sekolah yang pulang dari sekolah kebanyakannya terus menyerbu peniaga-peniaga tepi-tepi jalan ini tanpa menimbangkan baik buruk apa yang mereka beli. Apa yang penting, hulur duit, dapat makanan atau minuman. Sebelum ibu bapa atau bas datang, makanan sudah habis.
Anak-anak sekolah jarang memikirkan soal kebersihan makanan yang dijual kerana apa yang penting bagi mereka adalah soal mengisi perut kalau wang saku lebih selepas membeli di kantin. Kebanyakan sekolah tidak menjual ais krim yang mahal-mahal tetapi di luar ada.
Apa yang perlu dipersoalkan adalah, orang asing pandai berniaga di negara orang. Kadang-kadang, orang tempatan pun kalah dibuatnya. Mereka ini bijak mencari peluang untuk mencari rezeki di tempat orang. Apa yang orang tempatan tidak buat, mereka buat dan boleh mendatangkan duit.
Mereka ini bukan hanya berniaga di depan sekolah, malah bergerak ke serata kawasan terutamanya ke tapak-tapak pembinaan atau ke rumah-rumah kongsi dengan menggunakan kaedah sama.
Pelbagai jenis minuman dan kuih-muih digantung di tepi tong kemudian mereka masuk ke kawasan-kawasan pembinaan dan menjualnya kepada pekerja-pekerja di situ.
Daripada apa yang dinyatakan tadi jelas menunjukkan makin bertambahlah cara orang asing memperoleh rezeki di negara kita. Sebelum ini, mereka hanya bekerja sebagai buruh kemudian mula menapak dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan tetapi menguntungkan.
Di sesetengah tempat, terutamanya di kawasan padat penduduk, memang mereka sudah mula menguasai bidang niaga termasuklah warung-warung yang bukan sahaja dipenuhi oleh warga asing, tetapi orang tempatan pun tumpang sekaki.
Kita sebenarnya tidak boleh menidakkan sesiapa sahaja mencari rezeki di negara kita asalkan cara mereka sah di sisi undang-undang. Lagipun, sambutan daripada pelanggan menjadikan setiap jenis perniagaan akan bertahan lama, tidak kira siapa yang berniaga.
Apa yang perlu dipersoalkan adalah, mengapa orang kita tidak boleh memikirkan kaedah-kaedah untuk mencari rezeki di tanah air sendiri, seperti mana orang lain yang mampu mengaut keuntungan sedangkan kita pun boleh melakukannya.
Anak-anak muda di negara kita dilihat masih memilih pekerjaan, hendak cari wang dan kekayaan dengan jalan mudah. Bukan tidak boleh. Tetapi, masih banyak ruang yang boleh diisi daripada direbut orang lain.
Dalam bidang pertanian pun, jenuh hendak memujuknya. Malah, yang lulus dalam bidang pertanian pun lebih suka bekerja di kedai, jadi jurujual, angkut barang dari lori masuk ke gudang, atau paling tinggi pun dapatlah menjaga kaunter di gedung-gedung perniagaan.
Persepsi itu mesti diubah! Mulakan daripada sekarang!
Oleh : M. Jasni Majed
No comments:
Post a Comment