Saturday, September 27, 2014

Isu Bahasa Asing Di Danga Bay, Siapa Salah PBT Atau DBP?

Bagaikan Berada Di Negara Asing
Matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) adalah seperti berikut:

-untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi;

-untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan;

-untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain;

-untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;

untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan

-untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Sumber kuasa DBP ialah  Perlembagaan Persekutuan dan Akta A930 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan 1995).

Visi DBP ialah menjadikan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dalam dunia ini. Namun perkara yang berlaku di Danga Bay, Johor Bahru sangat mengejutkan saya. Sebagai sebuah negara yang merdeka dengan mempunyai undang-undang bahasa, saya amat terkejut mengapa di dalam negara sendiri Bahasa Melayu diketepikan dengan begitu tragis, menyedihkan dan memalukan. Ianya pula berlaku di negeri Johor, yang disebut-sebut dengan bangganya sebagai ibu budaya kepada negara kita.

Misi DBP pula ialah meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu. Ianya suatu yang amat lucu apabila di dalam negara sendiri Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipulihara, dikuatkuasa penggunaannya dan paling malang ianya seolah-olah tidak bernilai.

Wawasan DBP pula dinyatakan hendak menjadi peneraju utama pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu dalam pembinaan negara bangsa.

Dengan perkembangan terbaharu di Danga Bay, jelas membuktikan DBP tidak lagi mempunyai kekuatan untuk melaksanakan wawasan mereka. Pada pandangan saya, kesilapan yang berlaku di Danga, Bay di atas perlu diambil tindakan segera oleh pihak DBP sebagai pemegang teraju utama dalam pengembangan bahasa kebangsaan negara kita. Yang jelas bahasa China, bahasa Mandarin, bahasa Inggeris bukan bahasa Kebangsaan negara kita walau apapun alasannya hatta alasan ekonomi.

Manakala Falsafah DBP ialah 'Bahasa Jiwa Bangsa'. Jika bahasa kebangsaan tidak digunakan di tempat awam di dalam negara sendiri, sebaliknya bahasa asing boleh pula diletakkan dengan megah, cantik dan menarik, apakah ertinya sebuah kata-kata 'Bahasa Jiwa Bangsa' itu?

Sebagai sebuah negara yang merdeka, kita mesti menyelesaikan isu ini dengan segera. Janganlah kita berdiam diri dan berpeluk-tubuh sahaja kerana jika kita berdiam diri, kelak ianya akan menjadi perkara lumrah, dan kesannya generasi akan datang sudah tidak lagi melihat bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama, bahasa perhubungan dan bahasa perpaduan. Bagaimana hendak bercakap hal nation building jika hal bahasa kebangsaan pun tidak mampu ditangani.

Saya merayu Parlimen Malaysia melakukan sesuatu untuk memulihara martabat bahasa Kebangsaan di dalam negara sendiri. Barangkali DBP tidak ada kekuatan untuk menerobos isu ini. Amat sedih untuk berkata DBP tidur atau mati. Bangunlah.

Sumber : mymassa

No comments:

Post a Comment