Saturday, September 20, 2014

PAS Kini : Marxisme-Leninisme-Sosialisme

Pas Mengenepikan Perjuangan Negara Islam
AWANG terpegun dan terkejut dengan tindakan wakil Pas Wilayah Persekutuan Dr. Azhari Ariffin membaca doa berkisar mengenai musuh dalam selimut di dalam parti itu.

Ia memperlihatkan, Pas yang kini diterajui oleh dua ideologi yang berbeza sedang bergolak.
Bagi Awang apa yang berlaku adalah sesuatu yang amat malang.

Pas sepatutnya, dalam sistem negara ini, harus wujud sebagai parti Melayu kedua selepas UMNO. Kedua-dua parti yang menjadi musuh tradisional itu harus kuat.

Kedua-dua parti ini sepatutnya menentang musuh-musuh yang lain, terutamanya DAP yang membawa ideologi sosialis yang sama sekali bertentangan dengan dua parti Melayu itu.

Ini tidak, dalam keadaan kecelaruan mereka mengetepikan perjuangan negara Islam dan sebaliknya menerima konsep negara berkebajikan yang jelas sekali merupakan anutan Marxisme-Leninisme berlandaskan sosialisme.

Malang sungguh kerana ego agaknya, atau kerana terlalu teringinkan kekuasaan, mereka telah menggadaikan falsafah mereka sendiri.

Bukan sahaja DAP yang terlalu menebal cauvinis sifatnya, PKR yang turut dipegang oleh Pas pula tiada mempunyai falsafah perjuangan yang jelas.

Maka Pas kini tersepit di antara kepercayaannya dan juga nafsu-nafsinya sendiri. Diparahkan lagi keadaan, ada antara pemimpinnya terlalu memuja pemimpin lain sehingga menderhaka kepada kepemimpinan dalam partinya sendiri.

Parti Pas kini sudah menjadi Keluarga 69.

Bisik-Bisik Awang Selamat
......................................................................................................................................................................
Doa Wakil Pas Wilayah Persekutuan Dr. Azhari Ariffin
Allah tahu niat setiap daripada kita, saya mohon kepada semua, pimpinan, ahli, pemerhati bentang segala masalah kepada Allah, munajat, doa dan bentangkan masalah dengan khusyuk dan tawaduk dan biarkan Dia selesai masalah kita.

Saya mohon izin dan doa, harap dilindungi kami semua daripada individu yang curang kerana Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui isi hati setiap ahli.

Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami di atas segala kelalaian kami, janganlah hukum jika kami terlupa, jangan beri beban terlalu berat. Kami tidak bimbang akan perpecahan yang berlaku dalam kalangan musuh kami (UMNO) tetapi kami bimbang akan perpecahan yang berlaku dalam kalangan kami yang bukan sahaja khilaf pendapat tetapi khilaf hati yang mendorong perpecahan sehingga berlaku kejadian boikot, benci, dendam, geram dan marah.

Yang muda tidak hormat yang tua, yang tua tidak kasih kepada yang muda, Presiden diperlekeh, akhlak jemaah mula menjadi bahan tawa seperti daun ketum yang mengkhayalkan ahli daripada pemimpin.

Ya Allah, kami perlu jadikan isu UMNO di Terengganu sebagai contoh, krisis Menteri Besar berakhir dengan Presiden parti sahaja yang bercakap, mengarah dan membuat keputusan.
 Tiada bantahan oleh Timbalan Presiden. Kami lihat ahli majlis tertinggi mereka tidak kemaruk keluarkan kenyataan bercanggah, tak buat kenyataan akhbar secara melulu.

Apakah mereka yang faham sikap patuh kepada pemimpin, kami malu kepada musuh, kami tuduh mereka sekular, tidak mengikut ajaran Islam tetapi mereka dilihat lebih patuh kepada-Mu. Betapa koroknya akhlak kami, kami malu, rupa-rupanya kami jengkel dalam akhlak berjemaah.

Kajang Move merupakan keputusan daripada tahaluf siyasi, ia permain rakyat dalam memilih pemimpin. Apa hikmahnya, keputusan dangkal itu disambut dengan ceria ahli bawahan biarpun bercanggah dan tidak dibawa berbincang. Ahli dan kepimpinan UMNO lebih patuh dan taat berbanding kami yang tidak ikut arahan Presiden dan Majlis Syura Ulama. Jangan hina kami, Ya Allah berbanding mereka, didiklah pemimpin kami untuk lebih cermat dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ya Allah, bencana boleh berlaku bergantung kepada percakapan, simpan rahsia dan jangan bocorkan. Kami bersyukur kerana mempunyai pemimpin seperti Allahyarham ustaz Datuk Fadzil Mohd. Noor.

Ahli Pas perlu dididik bahawa tiada acuan lain selain Pas, tiada usrah selain Pas, tiada tamrin selain Pas, tiada lagi kepatuhan lain selain kepada Majlis Syura Ulama, apatah lagi mencipta kepatuhan kepada parti lain.

Ya Allah, jauhilah individu khianat daripada parti kami kerana nila setitik rosak susu sebelanga, sekarang ini di dalam pas ada dua titik nila iaitu nila cap Hulu Klang dan nila cap Morib. Ambil tindakan disiplin terhadap mereka, ambil tindakan kepada siapa-siapa yang khianat. Kita perlu kukuhkan pakatan rakyat untuk kalahkan UMNO kerana matlamat hanya satu, seperti kucing matlamatnya hanya untuk menangkap tikus.

Istiqamah dan berprinsip me­lalui tahaluf siyasi, kami tidak mahu tahaluf siyasi tapi agama Islam dirobek oleh pemikiran Islam liberal, kami tidak mahu dengan tahaluf siyasi yang tidak menghormati raja.

Ya Allah, dengan senang rakan pakatan memancing ahli kami, buka hati untuk kaji semula tahaluf siyasi. Jika ia wajar, biarkan ia untuk terus memperjuang agenda Islam, Melayu dan negara, jika tidak, tunjukkan jalan keluar.

Ahli-ahli kami bukan hampas bagi mereka, sewaktu tempoh berkempen minta kami bantu tetapi pemimpin kami dilayan seperti itu. Jika perjuangan ini betul, kukuhkan tahaluf siyasi, tetapi sekarang terpalit dengan fitnah.

Ahli parti perlu memberikan sokongan kepada tiga individu di dalam parti, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.Tetapi kini apa yang berlaku adalah ijtihad salah, fundamental perjuangan yang salah dan kewujudan Pasma yang tidak seharusnya berlaku serta satu sidang akhbar yang diadakan di dewan perniagaan Cina baru-baru ini.
Ya Allah, berilah kebahagiaan dunia dan akhirat, jauh kami seksa api neraka.

Oleh : Dr. Azhari Ariffin 

1 comment: