Sejarah kegemilangan sungai mesti dikembalikan
APABILA dicatatkan bahawa sebanyak 50 tan sampah dikutip sehari daripada Sungai Klang, kesedaran pelbagai pihak terhadap pentingnya menjaga sungai mesti ditingkatkan.
Jumlah itu sangat besar walaupun jarak atau keluasan kutipan sampah tersebut melibatkan 56 kilometer .
Pihak bertanggungjawab membersihkan sungai tersebut mengakui bahawa adalah sukar untuk menangani kerja-kerja tersebut sekiranya tiada kesedaran orang ramai terhadap pembuangan sampah.
Menurut catatan dan kajian juga, kebanyakan sungai di negara kita menghadapi pencemaran yang serius. Kesannya dirasai oleh penduduk setempat terutamanya yang menjadikan sungai sebagai tempat mencari rezeki dan sebagainya.
Di Malaysia, 17 peratus sungai dikatakan tercemar dan semakin banyak sungai akan menghadapi masalah yang sama jika tidak diberi perhatian serius.
Kajian juga menunjukkan bahawa sungai-sungai di pantai barat Semenanjung Malaysia lebih tercemar dengan terdapatnya logam berat seperti raksa berbanding sungai-sungai di pantai timur. Peningkatan aktiviti perindustrian telah mengakibatkan bertambahnya pelepasan air buangan dan bahan-bahan lain ke dalam sungai.
Kempen Cintai Sungai telah dijalankan sejak beberapa lama. Walau bagaimanapun, kesan positif hasil daripada kempen yang diadakan seolah-olah tidak berhasil. Pencemaran sungai terus berlaku di mana-mana sahaja sehingga menimbulkan pelbagai masalah dan reaksi. Hakikatnya, pelbagai langkah yang lain boleh dilakukan untuk menyelamatkan sungai di negara kita.
Salah satunya adalah dengan mengadakan kempen secara bersepadu di seluruh negara. Hal ini bermakna tanggungjawab kita terhadap sungai menjadi lebih besar supaya keadaan sungai sentiasa terkawal.
Kempen bersepadu mengenai pentingnya penjagaan ke atas sungai perlu dilakukan secara berterusan. Ini bermakna kempen ini tidak boleh dibuat secara bermusim. Dengan cara ini, orang ramai sentiasa diingatkan tentang pentingnya menjaga sungai.
Menyedari hakikat ini, semua pihak mesti berganding bahu dalam menangani masalah pencemaran sungai yang semakin kritikal.
Jika langkah yang lebih berkesan tidak diambil oleh pihak yang terbabit, kita pasti akan berdepan dengan pelbagai kesan negatif dalam jangka masa yang panjang.
Tidak ketinggalan juga, skop pendidikan di sekolah sebagai usaha mendidik generasi muda agar mencintai sungai perlu diperluas. Generasi muda kini mungkin tidak menyedari akan kepentingan sungai apatah lagi bagi mereka yang tidak menjadikan sungai sumber rezeki atau sumber air yang paling utama.
Oleh hal demikian, generasi muda mesti dijelaskan mengenai kesan-kesan negatif jika sungai tidak dijaga dengan baik.
Salah satu kesan negatif yang perlu dijelaskan kepada mereka adalah banjir kilat. Sungai yang dipenuhi sampah-sarap tentunya menyekat pengaliran air terutama ketika berlaku hujan lebat.
Mereka juga perlu diberitahu bahawa di sungai boleh dilakukan pelbagai aktiviti seperti ternakan ikan dalam sangkar dan sungai juga sebagai destinasi pelancongan.
Seharusnya, sungai sebagai sumber alam perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Lantaran itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas mesti dilaksanakan supaya tindakan yang sewajarnya dapat dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan sungai. Denda paling maksimum mesti dikenakan supaya pencemaran ini tidak terus dilakukan sewenang-wenangnya.
Rondaan oleh pihak-pihak berwajib mesti dilakukan dengan lebih kerap supaya pencemaran sungai tidak dilakukan oleh mana-mana pihak. Di samping itu, penghuni kawasan setinggan mesti dipantau kerana mereka ini dikatakan sebagai golongan yang gemar membuang sampah ke dalam sungai.
Dalam pada itu, kempen mengenai pencemaran sungai mesti diperluas sehingga ke kilang-kilang kerana mereka ini juga dikatakan penyebab pencemaran sungai.
Kilang-kilang yang tidak mempunyai tanggungjawab terhadap sungai akan membuang sisa-sisa kilang mereka ke sungai dan sudah tentu menyukarkan usaha membersihkan sungai di samping kos yang terpaksa ditanggung oleh sebab sikap negatif tersebut.
Sebelum nasi menjadi bubur, kerjasama pelbagai pihak sangat penting untuk menangani pencemaran sungai. Sejarah kegemilangan sungai mesti dikembalikan. Sungai mesti dijadikan tempat tumpuan sama ada untuk beriadah, mencari rezeki dan menaikkan imej negara.
Oleh : M Jasni Majed
No comments:
Post a Comment