Thursday, September 18, 2014

Malaysia Gagal Sebagai Negara Berbilang Kaum

Tan Sri Zaman Khan yang pernah menjawat jawatan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkata, generasi sekarang tidak lagi menghayati makna sebenar kemerdekaan.

"Bagi saya, sungguhpun kita sudah 57 tahun Merdeka, dengan lantang saya katakan harapan dan impian kita untuk menjadi sebuah negara berbilang kaum tidak tercapai.

"Generasi muda terlupa apa yang dilalui negara kita termasuk orang Melayu sebelum kita Merdeka dulu," katanya ketika ditemui The Malaysian Insider baru-baru ini.

Walaupun pelbagai kempen dan inisiatif diambil untuk menaikkan semangat serta memupuk perpaduan semasa bulan Kemerdekaan, beliau tidak merasakan matlamat tersebut berjaya dicapai.

"Kita ingat 57 tahun Merdeka dengan inisiatif dan kempen ini untuk tujuan bersatu padu dan sebagainya, tetapi saya perhatikan kita tidak berjaya mencapai matlamat itu," katanya.

Mengimbas kembali semasa berada di dalam Stadium Merdeka menyaksikan pengisytiharan Kemerdekaan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957, Zaman yang berusia 13 tahun pada ketika itu berkata, sambutan Kemerdekaan setiap tahun lebih berunsurkan politik daripada penyatuan rakyat.

"Sungguhpun ramai orang menghadiri sambutan Kemerdekaan setiap tahun, saya dukacita kerana suasananya tidak sama.

"Sekarang lebih kepada politik, buat pentas dan bendera sebagainya," katanya.

Malah, katanya, pembabitan kaum lain semasa sambutan Kemerdekaan tidak menggalakkan, sebaliknya Zaman berkata lebih ramai orang Melayu berbanding kaum India dan Cina.

Zaman yang pernah berkhidmat di bawah 4 perdana menteri berkata, punca kepada perkara tersebut berlaku ialah kerana penekanan ilmu sejarah yang lemah di kalangan generasi muda sekarang.

"Silap kita akerana tidak memberikan penekanan kepada fakta sejarah, di sekolah sepatutnya pembelajaran sejarah ini dititikberatkan," katanya.

Selain itu, katanya, suasana semasa situasi perkauman di dalam negara lebih teruk pada zaman sekarang.

"Kebelakangan ini, berdasarkan pemerhatian saya dalam media sosial, akhbar dan kenyataan ahli politik serta NGO, saya rasa rangka perkauman kita lagi teruk.

"Berbanding dulu, penyatuan antara kaum lebih kukuh dan bermakna," katanya.

Zaman berkata, selain faktor sejarah, sikap terlupa perjanjian kontrak sosial yang dibuat pada zaman dulu juga menyebabkan perpaduan antara kaum semakin renggang.

"Kita terlupa janji yang kita buat, misalnya janji berkenaan kontrak sosial.

"Sungguhpun orang terdahulu sudah bersetuju jalan itu, tetapi ia tidak dijadikan panduan rakyat kita yang majmuk untuk mematuhi kepada perjanjian itu," katanya.

Zaman berkata, tuntutan daripada kumpulan tertentu yang menyentuh kontrak sosial dan sensitiviti majoriti kaum Melayu juga dikatakan punca melemahkan perpaduan rakyat.

Selepas dua pilihan raya umum pada 2008 dan 2013, di mana pemerintah Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga, isu menyentuh sensitiviti kaum dan agama timbul.

Beberapa tindakan provokasi dan ancaman daripada kumpulan tertentu mengancam perpaduan dan kestabilan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Malaysia menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-57 baru-baru ini dan meraikan Hari Malaysia semalam, bersempena penubuhan Persekutuan Malaysia di antara Malaya, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (kini Sabah) pada 1963.

Melayu dan Bumiputera membentuk majoriti penduduk Malaysia hampir kira-kira 67.4% daripada jumlah penduduk 28.3 juta, diikuti Cina sebanyak 24.6%, menurut bancian yang paling terkini yang dikeluarkan pada 2010. – the malaysian insider

No comments:

Post a Comment