Kumpulan militan Negara Islam (IS), muncul secara tiba-tiba dan terus membina kekuatan tanpa disedari sehingga mampu menguasai sebahagian besar wilayah Iraq dan Syria, serta menewaskan tentera kerajaan yang terlatih dan dilengkapi senjata canggih.
Mereka ini dahulunya merupakan sebuah kumpulan pemberontak yang bangkit untuk menggulingkan kerajaan Presiden Bashar al-Assad di Syria, serta beberapa kumpulan jihad Islam dan bersenjata di Iraq yang bergabung bagi melindungi pengikut Sunnah di bumi Iraq, sebelum terbentuk menjadi satu pasukan bersenjata yang digeruni, bukan sahaja oleh tentera di kedua-dua negara berkenaan, malah oleh negara-negara Barat.
Pada awalnya, IS lebih dikenali sebagai Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Iraq atau ISIS di Syria sebelum pemimpinnya, Abu Bakr al-Baghdadi mengisytiharkan pembentukan sebuah Negara Islam (IS) yang merangkumi Syria dan Iraq. Abu Bakr mahu mengembalikan sistem pemerintahan Khalifah dengan menjadikan undang-undang Syariah sebagai panduan, seterusnya menentang penindasan Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS) ke atas negara-negara Asia Barat.
Pada awalnya, penubuhan ISIL diterima oleh negara-negara Arab, termasuk Arab Saudi, Yemen dan Qatar yang menyokong perjuangan kumpulan ini untuk menggulinkan Presiden Assad di Syria. Namun, selepas IS menjadi semakin kuat dan kawasan yang mereka kuasai semakin meluas, kehadiran mereka menjadi kebimbangan semua pihak terutama pihak Barat.
Kerajaan Arab Saudi pada mulanya menyumbang dana kepada ISIL bagi menggerakkan kempen menjatuhkan kerajaan Assad di Syria.
Tetapi apabila pembentukan IS diisytiharkan, Arab Saudi menarik sokongan selepas kumpulan tersebut mengancam untuk menggulingkan kerajaan negara tersebut dan seterusnya menjadikan Arab Saudi sebagai sebahagian daripada IS.
IS diketuai oleh Abu Bakr al-Baghdadi yang pernah menjadi pemimpin ranting al-Qaeda di Asia Barat. Dengan pengalamannya yang luas dalam kempen menentang tentera AS di Afghanistan dan Iraq, maka tidak hairanlah sekiranya beliau mengetahui secara mendalam taktik serangan serta strategi pertempuran yang berkesan untuk menumpaskan tentera kerajaan di Syria dan Iraq.
Hal ini diakui pakar pertahanan yang menyifatkan kemampuan IS menumpaskan tentera kerajaan yang lebih canggih dan profesional sebagai sesuatu yang luar biasa.
Abu Bakr merupakan warga kelahiran Iraq di Bandar Sammara dikenali sebagai Awwad Ibrahim al-Badri al-Sammari, dan beliau dipercayai menerima pendidikan sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (Phd) dari sebuah universiti di Baghdad dalam bidang Pengajian Islam.
Taraf pendidikannya menjadi faktor yang berjaya menarik minat ramai anggota untuk berada di bawah kepimpinannya.
Namun, bekas kontraktor Agensi Keselamatan Negara (NSA), Edward Snowden pernah mendedahkan, pemimpin IS itu pernah mendapat latihan ketenteraan di Israel dan juga merupakan bekas anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Abu Bakr juga dilaporkan pernah berganding dengan perisikan Israel, Mossad menubuhkan organisasi bagi mengumpulkan semua kumpulan pelampau agama bagi tujuan menghancurkan kestabilan di negara-negara Arab.
Kini IS dilabelkan sebagai kumpulan pengganas dan agensi risikan AS didakwa mengalami kesukaran untuk menghalang pergerakan kumpulan militan ini, memandangkan masih banyak maklumat yang belum diperolehi mengenai kumpulan militan ini.
Keanggotaan IS bukan sahaja terdiri daripada penduduk Syria dan Iraq, tetapi juga dari negara-negara Arab yang lain serta dari Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan Asia Tenggara,
Kini kekuatan dan tindak-tanduk IS menjadi kebimbangan Barat dengan laporan-laporan mendedahkan kumpulan militan ini terlibat melakukan pembunuhan kejam terhadap sesiapa yang dianggap musuh mereka termasuk wartawan AS, tentera Syria, Iraq dan penduduk awam yang menentang mereka.
Walaupun AS menghantar penasihat pertahanan bagi memberi latihan dan tunjuk ajar kepada tentera Iraq bagi menumpaskan IS, namun hal itu tidak sedikitpun menjejaskan IS, sebaliknya kumpulan militan IS terus berjaya menumpaskan tentera kerajaan Syria dan Iraq, sekali gus memperluaskan penguasaan mereka ke atas wilayah-wilayah di Syria dan Iraq.
Kedaaan ini menyebabkan AS dan negara-negara Barat menjadi gerun sehingga Presiden Barack Obama merancang untuk membentuk pakatan tentera antarabangsa bagi menggempur IS habis-habisan seterusnya menghancurkan mereka.
AS sudahpun memulakan kempen ketenteraan bagi menumpaskan IS di Iraq dengan melancarkan operasi ketenteraan di utara Iraq sejak Ogos lalu dan kini meningkatkan kempennya dengan melancarkan serangan ke atas ketumbukan IS di wilayah Anbar, operasi pertama tentera AS di barat Iraq.
Apa yang menjadi kebimbangan AS dan Barat kini ialah IS terus mendapat sokongan daripada banyak pihak terutama daripada kumpulan-kumpulan jihad yang mendokong misi sama, termasuk bekas pemimpin Jemaah Islam (JI) di Indonesia Abu Bakar Bashir yang menyeru umat Islam seluruh dunia menyokong perjuangan IS.
Oleh : Nurul Azwa Haris
No comments:
Post a Comment