SENANGNYA mahu beli arak, macam beli gula-gula pula. Itu pemandangan biasa setiap kali memasuki sebuah pasar raya 24 jam di waktu malam di Seksyen 9, Shah Alam.
Memang ada amaran atau peringatan ditampal di situ, orang Islam dilarang membeli minuman keras. Tetapi yang tidak ada segan-silu membuka peti sejuk di bahagian yang dikhaskan untuk minuman tidak halal itu ialah remaja Islam juga.
Dan di kawasan tersebut serta keseluruhan bandar raya Shah Alam, rata-ratanya ialah orang Melayu, maka ‘siapa’ yang membelinya memanglah nampak ketara sangat, tidak boleh lagi hendak diselindung-selindung.
Lebih berani lagi, remaja-remaja ini dengan selamba meneguk air itu, di depan kedai berkenaan atau ada yang mahu privasi sedikit mereka menikmatinya dengan duduk berkumpulan di tepi-tepi longkang, atau di celah-celah kereta di tempat meletak kenderaan. Maka apabila mereka beredar, akan bersepah-sepah botol atau tin arak tersebut.
Bagaimana dengan penguatkuasaan undang-undang berhubung pembelian arak oleh orang Islam dan bawah umur ini? Siapa yang hendak menegah mereka daripada membelinya? Pekerja di pasar raya 24 jam itu? Mereka kebanyakannya warganegara asing, hendak bercakap bahasa Melayu pun payah, diminta ‘minyak cap kapak’ (minyak angin), dihulur pula ubat batuk!
Apa langkah yang dilakukan oleh Jabatan Agama pula? Berapa ramai remaja kita yang telah ditahan kerana minum arak? Pemantauannya? Setahu saya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) begitu menjaga kawasan-kawasan Tasik Shah Alam pada waktu malam, agar ia tidak dijadikan lokasi untuk berkhalwat.
Maka sudah sewajarnya perkara yang sama, perlu dilakukan dengan memantau remaja atau umat Islam lain yang membeli dan minum arak di khalayak ramai ini.
Saya percaya, kegiatan ini bukan sahaja membabitkan Shah Alam, tetapi di kawasan-kawasan lain.
Bagi sesetengah negara Barat, untuk membeli minuman keras perlu menunjukkan dokumen pengenalan diri yang pembeli berusia 21 tahun ke atas dan ada juga negara yang tidak menjualnya di kedai-kedai serbaneka, mereka hanya membenarkan minuman beralkohol itu dijual di kedai-kedai tertentu yang diberikan lesen khas.
Penjualan arak kepada umat Islam terutamanya remaja, akan memberikan banyak impak buruk. Sebab itu Islam mengharamkannya.
Mereka ini memandu atau menunggang motosikal semasa dalam pengaruh alkohol, yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi akan mengundang tragedi kepada orang lain. Arak juga membawa kepada jenayah lain seperti pergaduhan, rogol dan bunuh.
Tidak dapat dibayangkan dalam usia sebegitu muda, ramai remaja kita sudah terjebak dengan arak dan menjadi penagih minuman keras ini.
Fauziah Arof
No comments:
Post a Comment