nuffnang

Sunday, July 17, 2011

DAP Lebih Berprinsip Berbanding Pas

SELAMA ini sudah banyak pihak yang beranggapan bahawa Pas tidak akan memperolehi apa-apa keuntungan dalam kerjasamanya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pas hanyalah pak turut kerana apa juga yang mereka lakukan harus mendapat restu kedua-dua parti tersebut terlebih dahulu. Tetapi Pas menafikan tanggapan berkenaan dan menganggap teguran seumpama itu hanyalah bertujuan untuk memecah belahkan kerjasama dengan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, isu Kerajaan Pas Kedah melarang 13 jenis pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan nanti sekali lagi menjadi bukti bahawa Pas tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam apa juga perkara, termasuk di Kedah - biar pun menjadi peneraju pemerintahan.

Walaupun Kerajaan Pas Kedah bertindak berdasarkan kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 namun itu bukanlah perkara yang dipedulikan oleh DAP.

Sebaliknya DAP melalui Pengerusinya, Karpal Singh menggesa Pas menarik balik larangan berkenaan kerana menganggap kerajaan Pas Kedah tidak boleh bertindak sendiri dan membuat keputusan yang memberi kesan terhadap ahli-ahli parti komponen dalam pakatan pembangkang.

Malahan Karpal secara jelas menyatakan bahawa, ‘‘DAP tidak akan mengenepikan prinsip-prinsip perjuangannya dan parti itu berada di barisan depan sejak dahulu lagi dalam menentang hasrat Pas menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.’’

Kenyataan itu jelas menunjukkan ketegasan DAP yang akan menentang apa sahaja usaha Pas untuk melaksanakan peraturan Islam. Kita juga tidak harus lupa bagaimana DAP yang turut memerintah Selangor bersama PKR dan DAP menentang keputusan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka yang dibuat oleh exco kerajaan negeri daripada Pas, hinggakan arak yang dirampas dikembalikan berikutan tekanan DAP.

Pas tidak perlu kesal dengan sikap DAP kerana mereka yang membuat keputusan untuk terus bekerjasama dengan parti berkenaan demi kepentingan politik kekuasaan. Sebab itulah Pas sanggup menggugurkan perjuangan negara Islamnya dan digantikan dengan negara berkebajikan.

Pengguguran itu dilakukan kerana Pas adalah parti yang sanggup menggadaikan prinsipnya berbanding DAP yang sudah menegaskan tidak akan mengenepikan prinsip perjuangannya. Pas sedar selama ini perjuangan negara Islam telah menjadi bagaikan ‘duri dalam daging’ kepada hubungan dengan PKR dan DAP.

Gugur
Sebab itulah pada 25 Jun 1999, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyatakan bahawa, ‘‘Pas Sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu, setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan tak apa...”

Ertinya sejak dulu lagi sudah ada kecenderungan di kalangan pemimpin Pas untuk tidak akan bersungguh-sungguh mempertahankan perjuangan Islam mereka.

Apa yang mereka buru dan kejar ialah merebut kekuasaan melalui cara menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hasil kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Bagi Pas, dalam tindakan apa sekali pun, segala-galanya berpaksikan kepada keuntungan politik, sebab itulah dalam isu perhimpunan haram Bersih, seorang penyokong Pas menulis dalam blognya bahawa, ‘‘Ana (saya) dah kata, siapa yang mulakan perjuangan tak penting. Agama Ambiga tak penting. Siapa Ambiga tak penting. Yang lebih penting adalah sama ada ia membawa keuntungan politik kepada Pas atau tidak. Itu lebih penting.’’

Sentimen inilah yang memungkinkan DAP tidak mempunyai rasa hormat kepada Pas sehingga bersedia menentang apa sahaja usaha Pas untuk menegakkan syariat Islam.

Penentangan terhadap keputusan Kerajaan Pas Kedah itu sudah menjadi bukti sikap sebenar DAP terhadap Pas. Biarpun selama ini Pas begitu menjaga hati DAP dan PKR tetapi kedua-dua parti itu tidak pernah mahu menghormati apa juga pendirian Pas.

Sepatutnya, DAP menghormati keputusan Kerajaan Pas Kedah yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Sebagai peneraju utama, Pas berhak membuat apa juga keputusan kerana yang memerintah itu adalah Pas bukannya DAP.

Namun DAP tidak mempunyai perasaan hormat tersebut kerana memahami Pas tidak akan mampu melawan kehendak mereka, sebaliknya akan mengikut sahaja.

Dan ternyata DAP benar dalam percaturan politik mereka, apabila Kerajaan Pas Kedah bersedia membincangkan semula keputusan larangan berkenaan dengan alasan demi kebaikan semua pihak.

Semua orang faham kenapa Azizan terpaksa mengubah fikiran, apatah lagi selepas pemilihan parti itu baru-baru ini, golongan yang menyanjung kerjasama dengan PKR dan DAP cukup ramai.

Kini kita mahu mendengar apa pula kata Dewan Pemuda Pas Pusat yang sebelum ini cuba mengalih isu dengan mencabar UMNO menyatakan pendirian berhubung penentangan MCA dan Gerakan dalam kes yang sama.

Hakikatnya, UMNO tidak perlu campur tangan kerana itu urusan kerajaan negeri pimpinan Pas dengan rakan sekutunya, DAP. Kenapakah Pemuda Pas hanya berani mencabar UMNO? Kenapakah Pemuda Pas yang dilihat semakin tidak konsisten dalam perjuangannya tidak berani menegur DAP? Sepatutnya, Pemuda Pas membantah sikap DAP bukannya cuba menyeret pihak lain dalam kemelut tersebut.

Mungkin Pemuda Pas juga amat memahami bahawa mereka tidak ada kekuatan menentang DAP. Dalam bahasa mudah bagi Pemuda Pas ‘‘mengalah dengan DAP, tak apa tetapi jangan sesekali tunduk kepada UMNO.’’

Namun Pas tidak perlu bermuram durja dengan telatah DAP kerana Pas kini adalah pejuang negara berkebajikan bukannya negara Islam, maka dengan perubahan dasar perjuangan itu maknanya segala keputusan boleh diubah bila-bila masa asalkan ia menguntungkan politik Pas.

Zulkiflee Bakar - utusan malaysia

No comments:

Post a Comment