Sunday, July 3, 2011

Apabila Manusia Tidak Faham Bahasa

ORANG Melayu, Cina, India dan semua kaum lain di negara ini faham bahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan saja digunakan sebagai bahasa pertuturan setiap hari, malah ia adalah bahasa rasmi negara dan difahami sebahagian besar rakyat.

Sebagai warga negara, tidak ada seorang pun yang sepatutnya tidak tahu atau jahil terhadap bahasa Melayu. Jika pekerja asing boleh belajar bahasa Melayu dalam masa singkat dan menggunakannya dengan baik, tidak ada sesiapa yang boleh memberi sebarang alasan untuk tidak menggunakan bahasa Melayu, walau dari mana sekali pun asal usul keturunan mereka. Mereka yang tidak tahu menggunakan bahasa Melayu adalah rakyat yang tidak patriotik kepada negaranya. Malah, mereka juga sanggup merosakkan negaranya dengan cara apa sekali pun. Bahasa Inggeris, Mandarin Hokkien, Tamil dan bahasa etnik lain terus digunakan mengikut fungsi-fungsi tertentu. Selain bahasa Inggeris yang turut digunakan untuk tujuan pertuturan, perniagaan dan hubungan antarabangsa, penggunaan bahasa lain terbatas oleh penutur daripada kelompok kaum itu saja.

Di Malaysia, bahasa komunikasi paling meluas dan berkesan ialah bahasa Melayu. Jarang orang membeli ikan atau sayur di pasar menggunakan bahasa lain jika pembeli dan penjualnya berbeza kaum.

Mereka hanya bercakap bahasa ibunda jika pembeli daripada kaum yang sama. Kerajaan tidak melarang penggunaan bahasa ibunda kaum sebagai bahasa pertuturan dan komunikasi termasuk menerusi media cetak, elektronik dan segala bentuk saluran penyaluran maklumat.

Isunya ialah masih ada rakyat negara ini tidak tahu atau tidak faham bahasa, tidak kiralah menerusi bahasa apa sekali pun. Mereka tidak faham mesej yang disampaikan secara bertulis atau lisan, seolah-olah pada mereka bahasa yang ditujukan kepada mereka mempunyai simbol makna yang berbeza.

Jika mereka anak kecil sikap ini mungkin mudah difahami terutama anak-anak yang membuat kerenah untuk menarik perhatian ibu-bapa mereka. Anak kecil ini memberontak kerana ibu bapa mereka tidak mahu membelikan mereka sesuatu yang tidak baik untuk kesihatan atau perkembangan mental mereka.

Anak kecil itu terus menangis meronta selagi tidak mendapat apa yang dihajatkan. Ibu bapa mereka bukan tidak mahu melayan kerenah anak mereka tetapi mereka tahu kesan daripada mengikut saja permintaan anak mereka itu. Mudah difahami, anak-anak bersikap demikian kerana mereka tidak faham bahasa.

Sikap anak-anak ini tidak ubah seperti sikap kumpulan manusia yang beriya-iya mahu mengadakan perhimpunan haram di beberapa tempat 9 Julai ini. Bezanya mereka bukan anak-anak kecil lagi tetapi mereka juga tidak tahu bahasa. Mereka tidak peduli apa juga yang akan berlaku dan kesannya kepada orang ramai dan negara. Bezanya, mereka adalah orang dewasa yang sepatutnya mempunyai akal budi. Pemimpin mereka perasan kononnya mereka adalah manusia terbaik dan tidak ada cacat celanya. Seandainya diberi kuasa, mereka akan merosakkan negara ini.

Jika mereka menjadi pemimpin perhimpunan haram, seandainya diberi kuasa, mereka tidak boleh menghalang perhimpunan menentang mereka kelak. Akhirnya, rakyatlah yang menjadi mangsa. Ramai pihak sudah menyatakan pendirian, malah membuat laporan polis membantah perhimpunan haram itu.

Penganjur tidak faham maksud amaran pasukan keselamatan. Mereka tidak faham erti kemungkinan berlakunya pergaduhan dan rusuhan. Mereka tidak faham apa yang mereka mahu lakukan itu adalah tindakan ‘tidak perlu’. Tidak perlu bermakna tidak ada sebab perhimpunan itu perlu diadakan.

Tidak ada jaminan perhimpunan yang bermotif dan ditentang pelbagai pihak, boleh berjalan lancar. Untuk mengawal sekumpulan kecil manusia, contohnya di sebuah asrama, juga menimbul banyak masalah, inikan pula ribuan manusia yang mempunyai niat dan tujuan yang pelbagai. Motif perhimpunan ini sebenarnya tidak jelas. Segelintir pemimpin mereka sengaja mahu menimbulkan kekecohan kerana mereka yakin jika melalui proses pilihan raya biasa, mereka tidak mungkin diterima rakyat.

Dalam perhimpunan seperti ini, banyak pihak akan menangguk di air keruh. Pihak luar juga mahu mengambil kesempatan untuk memburukkan keadaan. Mereka berbuat demikian kerana tidak faham bahasa dan budaya kita.

Mereka hanya tahu erti konflik dan keuntungan yang boleh mereka peroleh jika berlaku kekacauan di negara ini. Ada antara penganjur perhimpunan haram itu memang tidak mendalami simbol bahasa. Mereka tidak faham isyarat bahawa tindakan mereka itu adalah cubaan mencabar kerajaan.

Mereka mencabar pelbagai pihak untuk meningkatkan ketegangan. Mereka mahu menunjuk berani kerana mahu menempa nama. Mereka juga mahu mengalih perhatian kepada isu sebenar. Amat sedih bila orang Melayu sendiri tidak faham bahasa. Mereka mahu menyertai perhimpunan haram itu sedangkan mereka tidak tahu tujuan sebenarnya perhimpunan itu diadakan.

Apakah tidak terlintas langsung dalam fikiran mereka apa yang akan terjadi. Kalau tidak mahu menghadapi bahaya, jangan pergi ke tempat yang berbahaya. Jangan harap kalau hidup mereka terhimpit hari ini, pemimpin pembangkang boleh mengubah nasib mereka sekelip mata. Jika apa-apa berlaku, tanggung sendiri.

Kaji personaliti setiap penganjur perhimpunan itu. Apakah sumbangan besar mereka kepada bangsa dan negara ini. Yang jelas, mereka memperalatkan rakyat untuk menonjolkan diri. Setiap peserta perhimpunan perlu ingat pihak berkuasa keselamatan mempunyai had dan batasan yang mereka boleh bertahan. Bila tiba waktu mereka terpaksa bertindak, macam-macam boleh berlaku. Peserta perlu ingat bahawa perhimpunan itu tidak boleh mengubah nasib mereka.

Perhimpunan tidak boleh memberi jaminan bahawa selepas perhimpunan itu, yang miskin terus menjadi kaya. Di Malaysia, kejayaan terletak kepada usaha individu. Mereka yang berusaha akan berjaya. Pendatang asing juga boleh hidup senang, inikan pula rakyat tempatan. Tetapi jika mahu senang dengan menjatuhkan kerajaan, mereka sebenarnya mencari kemusnahan.
 
Oleh : Mior Kamarul Shahid

1 comment:

  1. saya mewakili pihak mykmu.net ingin menarik perhatian pihak tuan
    bahawasanya...laman web mykmu.net akan mengadakan Majlis Himpunan penulis penulis maya pada november ini, Insya'Allah ..Perdana Menteri Malaysia turut akan menghadiri majlis tersebut tarikh resmi akan diberitahu kelak...

    Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu majlis berkemungkinan diadakan di lembah klang dan penginapan akan disediakan bagi peserta yang datang dari luar lembah klang...


    andai berminat sila beri nama, blog anda dan no tel untuk dihubungi..


    Tuan boleh menghubungi saya di email dkds@mykmu.net

    ReplyDelete