MINGGU ini Kunta Kinte nak bincang sikit pasal demokrasi dan apa yang dalam bahasa Inggeris disebut ‘tyranny of the majority’.
Macam Kunta Kinte dah banyak kali sebut, demokrasi adalah kerajaan oleh rakyat di mana bilangan yang teramai perintah. Dari sudut etimologi atau asal usul pembentukan bahasa, demokrasi adalah daripada bahasa Perancis, démocratie, Latin democratia dan Greek (Yunani) demokrati. Demos dalam bahasa Yunani bererti orang ramai atau rakyat jelata dan krati bermaksud pemerintahan atau pentadbiran. Jadi, demokrasi adalah pemerintahan oleh rakyat jelata, sama ada secara langsung atau melalui wakil.
Banyak pengkaji politik kata demokrasi adalah sistem yang cacat. Tapi, cacat atau tidak, inilah sistem yang paling lama dan paling luas dipakai oleh tamadun manusia. Malah manusia sanggup mati atas nama demokrasi macam kita tengok sedang berlaku di negara-negara Arab dan di China.
Sebelum merdeka, negara kita diperintah ikut sistem feudal. Sistem itu kita ubah jadi sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen apabila kita merdeka pada 1957. Kita pilih kerajaan melalui pilihan raya.
Pengkaji politik kata demokrasi cacat pasal pilihan raya tidak semestinya hasilkan kerajaan yang baik. Macam kata bekas Ahli Parlimen Parti Buruh Inggeris, Ken Livingstone: “Kalau mengundi betul-betul mengubah keadaan, ia sudah lama dihapuskan.” Maksudnya, buat apa mengundi berulang kali kalau sekali mengundi sudah hasilkan kerajaan yang unggul.
Hari ini, kita tengok ada negara yang buat pilihan raya tiap dua tiga tahun sekali kerana kerajaan yang dipilih jatuh. Ada yang jatuh kerana rakyat dah tak percaya atau kerana wakil rakyat bergaduh sesama sendiri. Ada negara tukar perdana menteri dua tiga kali setahun kerana undi tak percaya.
Alhamdulillah, kita di Malaysia setakat ini tidaklah macam itu. Malah, secacat mana pun demokrasi kita, ia berfungsi dan bawa kebaikan kepada rakyat jelata.
Ini ada kena mengena dengan sifat dan sikap orang Melayu. Walaupun orang Melayu kaum majoriti dan terajui pemerintahan, mereka tidak amalkan ‘tyranny of the majority’ atau kekejaman oleh majoriti.
Sebaliknya, Kunta Kinte rasa keadaan dah terbalik. Orang Melayu terlalu sangat tolak-ansur dengan kaum-kaum minoriti sampai orang Melayu pula yang jadi mangsa.
Pasal takut sangat dituduh tidak adil, kejam dan menganiaya atau kerana kemaruk undi, orang Melayu sanggup tolak-ansur sampai mereka jadi mangsa kepada ‘tyranny of the minority’ (tirani oleh minoriti).
Minta ampun kalau Kunta Kinte silap. Tapi itulah yang Kunta Kinte tengok dan rasa. Orang Melayu mengalah sangat. Ada yang kaum minoriti tak minta dan tak tuntut pun kita bagi.
Jadi Kunta Kinte sikit pun tidak hairan dengan bermacam-macam jenis tuntutan, kata dua, ancaman dan tunjuk perasaan oleh berbagai-bagai kelompok minoriti yang makin menjadi-jadi hari ini.
Kunta Kinte tak kata kita tak boleh tolak-ansur, tapi janganlah tolak-ansur sampai abaikan kaum majoriti. Kunta Kinte dah banyak kali dan dah lama kata, mana-mana dasar atau rancangan yang tidak utamakan majoriti adalah tidak bijak dan tidak sah dari segi moral.
Di negara kita ini, majoriti penduduk adalah Bumiputera. Majoriti yang susah dan miskin pun Bumiputera juga. Jadi, mana-mana dasar dan rancangan yang hendak dibuat wajiblah dahulukan Bumiputera, tapi dengan tidak menekan minoriti.
Jadi Kunta Kinte terkejut dan susah hati bila baca berita BERNAMA yang petik Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, kata kerajaan perlu masa yang lebih panjang untuk majukan ekonomi Bumiputera di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Bukanlah maksud Kunta Kinte nak pertikai ETP, tapi berapa lama lagi Bumiputera kena tunggu? Takkanlah orang pandai-pandai macam Husni dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, tak fikir awal-awal transformasi Bumiputera?
Kita semua dah lama tahu Bumiputera ketinggalan. Kita tahu kemiskinan Bumiputera meningkat. Kita tahu jurang pendapatan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera tambah luas.
Jadi, logiknya bila kita nak transformasikan ekonomi daripada baik kepada lebih baik, kita kenalah dahulukan kepentingan Bumiputera kerana mereka adalah majoriti dan merekalah yang tercicir.
Itulah yang Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein buat bila dia rangka dan laksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dia buat serentak matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dengan menyusun semula masyarakat.
Yang buat Kunta Kinte lagi pening ialah bila Idris kata kerajaan nak kurangkan pegangan saham dalam 33 buah GLC. Malah, dia kata mungkin ada GLC akan ditutup.
Kalau macam Husni kata, kerajaan perlu masa lebih panjang untuk majukan ekonomi Bumiputera, Kunta Kinte nak tanya siapa nak beli saham-saham GLC itu?
Yang kita tahu, saham Bumiputera dalam sektor korporat hanya 20 peratus. Itu pun 18 peratus adalah saham GLC dan agensi-agensi amanah macam Permodalan Nasional Berhad dan Yayasan Hartanah Bumiputera. Saham milik orang perseorangan Bumiputera hanya dua peratus.
Akhir kalam, Kunta Kinte harap kita semua faham dan berjaga-jaga mengenai ancaman tirani oleh minoriti ini kerana bukan saja ia bercanggah dengan amalan demokrasi, tetapi juga boleh ancam kestabilan dan keselamatan negara kita.
Kalaupun kita tunduk, biarlah kita tunduk kerana hormat bukan tunduk supaya orang naik dan pijak kepala kita. Orang Melayu mesti terus menjadi orang baik, tapi jangan lupa pesanan nenek moyang kita: “Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”
Kita boleh bertolak-ansur tapi jangan sampai umpama bagi tanah kepada Belanda, dibagi seinci diambil sehasta, diberi betis diambil paha. Wallahualam.
Oleh : Kunta Kinte
No comments:
Post a Comment