nuffnang

Tuesday, July 19, 2011

Kaji Jual Saham Syarikat Berkaitan Kerajaan

KERAJAAN perlu mengkaji semasak-masaknya sebelum melupuskan 23 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai tahun ini dan tahun depan. Bilangan ini adalah sebahagian daripada 33 GLC yang dikenal pasti oleh kerajaan bagi rasionalisasi GLC.

Pelupusan GLC seharusnya mengambil kira kriteria pegangan bumiputera dalam sektor ekonomi. Melupuskan pegangan GLC merupakan satu tindakan yang boleh mengurangkan pegangan kaum bumiputera dalam ekonomi.

Ini kerana kaum bumiputera yang merupakan pemegang saham utama GLC sama ada menerusi individu mahupun melalui institusi-institusi pelaburan seperti Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Merasionalisasikan GLC boleh menambahkan kecairan di pasaran modal, namun tindakan ini hanya memberi kesan jangka pendek berbanding jangka panjang.

Hujahnya, ketidaktentuan ekonomi dunia yang masih lagi tidak boleh dipandang sepi. Malahan, krisis ekonomi yang berlaku pada 2007 masih berlanjutan.

Tidak mustahil juga, krisis ekonomi terbaru akan melanda ekonomi dunia dan Malaysia tidak terkecuali akan menerima tempiasnya.

Satu lagi perkara yang cukup penting, pegangan kerajaan ke atas saham-saham GLC yang terlibat dengan perniagaan strategik seperti tenaga, perbankan dan telekomunikasi seharusnya dikekalkan.

Ini kerana, perniagaan-perniagaan ini merupakan perniagaan teras ekonomi Malaysia dan ia juga melibatkan keselamatan negara.

Namun, jika kerajaan masih memikirkan pelupusan GLC boleh memberi manfaat kepada keseluruhan ekonomi Malaysia, penulis ingin mencadangkan agar tidak kesemua 23 GLC dijual.

Jumlah 23 GLC yang ingin dijual merupakan satu jumlah yang cukup besar. Lihatlah kesannya terlebih dahulu kepada ekonomi negara. Dikhuatiri nanti penjualan GLC secara besar-besaran tidak memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Tidak kurang juga, wang yang diperolehi hasil daripada penjualan pegangan GLC sewajarnya digunakan untuk membeli syarikat-syarikat berkualiti di Malaysia.

Satu perkara yang menarik mengenai syarikat-syarikat di Malaysia adalah kebanyakannya dikategorikan sebagai milik keluarga. Penulis berpendapat, syarikat senaraian awam yang dimiliki keluarga dibuka seluas-luasnya kepada kaum bumiputera dengan mengehadkan pegangan ahli keluarga.

Ini seterusnya membeli ruang kepada kaum bumiputera memasuki perniagaan yang dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu.

Selain itu, penulis mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu dasar ekonomi bumiputera dalam tempoh 10 tahun mendatang dan dasar ini mestilah mengambil kira aspek kemapanan.

Begitu juga, dasar ini mestilah jelas, terperinci dan telus serta melibatkan keseluruhan kaum bumiputera di Malaysia. Dasar ini merangkumi agenda-agenda ekonomi berteraskan kekuatan kaum bumiputera.

Umpamanya, segala bantuan diberikan kepada keseluruhan rantaian nilai ekonomi bumiputera terutamanya melibatkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Dengan cara ini, tidaklah hanya segelintir golongan bumiputera yang mengecapi kenikmatan bantuan daripada kerajaan.

Sebab itulah ada kebenarannya bagi golongan yang berpendapat Program Keusahawanan Bumiputera yang bakal diumumkan penubuhannya pada 21 Julai ini dikhuatiri boleh mencetuskan monopoli dan tidak telus.

Justifikasinya ia tidak diuar-uarkan kepada semua golongan yang terlibat. Siapakah yang terpilih umpama satu rahsia besar. Adakah sudah ada perbincangan secara terbuka dengan pihak-pihak berkenaan terutama dengan persatuan-persatuan peniaga bumiputera?

Janganlah nanti pada kemudian hari, kerajaan dipersalahkan kerana ia melibatkan golongan tertentu yang terpilih kerana mempunyai hubungan rapat dengan orang-orang tertentu. Dengan kata lain, mereka yang terpilih mestilah yang benar-benar layak dan tidak boleh dinafikan kelayakannya.

Di sini pertimbangan ekonomi bumiputera melebihi pertimbangan perkara-perkara lain. Ambil kira juga kesilapan-kesilapan yang terdahulu seperti banyak projek bumiputera dialibabakan kepada kaum lain.

Perlu diingat, kajian mendalam mengenai ekonomi bumiputera tidak langsung mendatangkan manfaat jika cara pelaksanaan masih boleh memberi ruang untuk dimanipulasikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Natijahnya sampai bila-bila pun ekonomi Bumiputera tidak mampu duduk sebaris dengan ekonomi kaum bukan bumiputera.

Satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan ialah hak eksklusif sewajarnya disebarkan untuk keseluruhan eko-sistem ekonomi bumiputera.

Hindarilah campur tangan tangan-tangan ajaib yang sebenarnya kita semua maklum, kesan jangka panjang boleh memudaratkan ekonomi bumiputera. Inilah yang dikatakan sebagai ketelusan dan keadilan yang saksama.

Bantulah syarikat-syarikat bumiputera dan individu-individu yang berpotensi tinggi. Pengukurannya mestilah jelas mengikut hala taju dasar ekonomi bumiputera. Justeru, bukalah pintu seluas-luasnya kepada keseluruhan eko-sistem ekonomi bumiputera agar komuniti bumiputera mendapat manfaatnya secara holistik.

Dengan cara ini, komuniti bumiputera tidak perlu lagi khuatir meskipun kerajaan bercadang untuk menjual saham GLC kepada kaum lain.

Oleh : Rohami Shafie

1 comment:

  1. Assalam Bro

    Nampak sangat cara pengurusan zaman Tun Dollah diguna pakai oleh Najib terutama CEO Pemandu yang direcycle dari zaman dollah yg menjual bangunan MAS.. CEO ni akan jual apa saja kepentingan yang ada kaitan dengan orang Melayu/bumiputra... Zaman siapakay Syarikat Agusta dijual dengan 1 Euro...?

    ReplyDelete