Sunday, July 10, 2011

Kaji Semula Pelupusan 33 GLC

KUALA LUMPUR 6 Julai - Kerajaan diminta mengkaji semula cadangan melupuskan pegangannya dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) sehinggalah satu strategi baharu mengenai Agenda Ekonomi Melayu/Bumiputera digubal dan dipersetujui oleh kaum itu.

Timbalan Presiden Majlis Perunding Melayu, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, adalah tidak munasabah pelupusan pegangan dilakukan atas alasan untuk memenuhi keperluan para pelabur swasta dalam pasaran modal.

Katanya, dengan berbuat demikian, kerajaan memindahkan hak milik ekuiti amanah rakyat Malaysia yang miskin dan berpendapatan rendah untuk meningkatkan kekayaan golongan pelabur saham swasta yang umumnya berpendapatan tinggi.

''Langkah ini jelas bertentangan dengan semangat "Rakyat didahulukan''.

''Tambahan pula, setelah GLC berjaya merekod prestasi menggalakkan dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara",'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan kerajaan untuk melupuskan pegangannya dalam 33 GLC.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, pelupusan itu termasuk mengurangkan pegangan atau menjual pegangannya kerajaan dalam GLC.

Menurut Idris, langkah itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Pembaharuan Strategik yang membabitkan peranan kerajaan dalam sektor swasta.

Muhammad Ali turut mengingatkan bahawa kebocoran besar hak milik ekonomi Melayu telah berlaku sebelum ini setelah kerajaan menswastakan pegangan hak milik ekuiti GLC.
''Sekalipun GLC bukan milik individu Melayu, ia adalah milik amanah yang harus dipegang untuk manfaat generasi masa depan.

Lebih membimbangkan, tanpa strategi ekonomi Melayu baharu yang mapan, langkah pelupusan ini pasti akan diikuti oleh tindakan lebih besar melupuskan GLC-GLC serta syarikat GLC seperti FELDA, Lembaga Tabung Haji, Khazanah Nasional Bhd., Permodalan Nasional Bhd., Johor Corporation Bhd. dan Petroliam Nasional Bhd. yang disifatkan sebagai tonggak serta benteng terakhir dalam mempertahankan keadilan hak milik ekonomi negara.

Sebaliknya, beliau menegaskan, syarikat GLC sewajarnya diiktiraf sebagai korporat amanah negara untuk menegakkan keadilan ekonomi dan melindungi kepentingan golongan miskin dan lemah.

Muhammad Ali turut menegaskan pemilikan kerajaan ke atas GLC bukan penghalang kepada pembangunan ekonomi.

Sebagai contoh, katanya, China dan Singapura menjadikan GLC sebagai strategi besar dalam memperkasakan ekonomi negara masing-masing sehingga ke peringkat global.

Justeru, Malaysia tidak harus terburu-buru melupus atau menswastakan syarikat GLC miliknya, jelasnya.

Beliau menambah, biarpun kerajaan mempunyai sebab untuk melupuskan syarikat tertentu GLC, ia tidak harus dilakukan secara ad hoc dan arbitrari.

''Keputusan seperti ini cuma harus diambil setelah strategi ekonomi Melayu dan Bumiputera yang menyeluruh lagi meyakinkan orang Melayu dibentuk dan Malaysia menerapkan dasar yang jelas adil dan saksama.

''Selagi ia tidak dilakukan, dikhuatiri kelemahan berpanjangan ekonomi Melayu akan mengancam kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi masa depan,'' tambah beliau.

utusan

No comments:

Post a Comment