BARU-BARU ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Presiden UMNO menyebut sekali lagi mengenai pentingnya umat Melayu-Islam bersatu di negara ini. Secara umumnya, ahli UMNO pada peringkat kepemimpinan dan akar umbi tidak ada masalah dengan prospek ini. Kita berpegang kepada sabda Nabi Muhammad SAW bahawa golongan yang menolak dan menyulitkan usaha ke arah perpaduan akan menerima pembalasan. Rasulullah pejuang perpaduan yang tidak meletakkan syarat dan batasan dalam usaha murninya.
Meskipun mendukung permuafakatan dengan penganut agama lain, teras kepemimpinan Baginda adalah mendahulukan perpaduan sesama umat Islam. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 46 bermaksud: “Dan taatilah Allah SWT dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berselisih yang menye-babkan kamu menjadi gentar dan kekuatanmu hilang dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah SWT berserta dengan orang yang sabar.” Dalam PAS, ada pihak yang nampaknya berminat, tapi ada juga puak yang amat menentang cadangan ini. Sebenarnya, perpecahan pendapat dalam PAS semakin ketara sejak 2008. Dalam banyak isu termasuk prospek penyatuan UMNO dan PAS, berlaku percanggahan pendapat ketara antara pemimpin utama PAS sehingga menimbulkan keresahan di kalangan ahli. Presiden PAS pernah melahirkan idea kerajaan perpaduan, yakni penubuhan kerajaan campuran PAS dan UMNO di beberapa negeri selepas mendapat keputusan PRU-12. Idea ini disokong bekas Timbalan Presidennya, tapi ditentang hebat Mursyidul Am dan konconya. Pemimpin PAS lain juga begitu. Ada yang menyokong Datuk Seri Hadi Awang dan ada juga yang berada di belakang Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Pada muktamar PAS ke-57 baru-baru ini, mesej ini diulang. Beberapa pemimpin PAS menyatakan kesanggupan meminggirkan agenda perpaduan Melayu untuk terus berada dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR.
Alasan Nik Aziz menentang penyatuan dua parti Melayu ini kerana serik dengan pengalaman dalam Barisan Nasional (BN) pada 1970-an. Dalam ceramahnya, Nik Aziz selalu sebut ‘hablum minnal nas’, iaitu hubungan sesama manusia seagama dan tidak Islam andainya kita memutuskan silatulrahim. Walaupun senario politik sudah berlainan dan kepemimpinan parti juga berubah beberapa kali sejak 40 tahun lalu, Nik Aziz masih berkeras tidak menyetujui penyatuan PAS- UMNO.
Jika dia boleh berdoa bala diturunkan ke atas pemimpin UMNO dan mata mereka dibutakan, kenapa dia tak boleh berdoa untuk buka hati sendiri kepada perpaduan umat Melayu-Islam di negara ini? Sebaliknya, pelbagai alasan dan syarat dia letak, termasuk hanya mahu bertemu Perdana Menteri atau menteri besar, royalti minyak kepada Kelantan dan lesen akhbar harian kepada Harakah.
Sikap antiperpaduan sebegini tentu tidak Islamik dan tidak mempamerkan ciri orang tinggi ilmu agama seperti yang dituntut ayat 103 surah al-Imran dan ayat 9-10 surah al-Hujurat. Apakah nilai perpaduan bangsa seagama kepada Nik Aziz?
Apakah kerana dendam di hatinya seorang, maka perpaduan yang boleh mendatangkan kebaikan kepada jutaan umat Melayu-Islam di negara ini dinafikan? Jelas, perpaduan Melayu-Islam tidak ada dalam konsep negara berkebajikan PAS.
Ada berpendapat penyatuan UMNO dan PAS bukan kerja mudah. Lebih 50 tahun, ahli dan penyokong PAS disogok dengan persepsi segala keburukan dan penyakit politik yang ada pada UMNO. UMNO diludah, dicerca, dilabel kafir dan pemimpinnya diberi pelbagai gelaran yang buruk dan hina. Realistikkah penyatuan dapat dicapai dalam waktu terdekat?
Jika kuasa Melayu benar-benar terhakis, maka harga ini mestilah ditanggung oleh PAS umumnya dan khususnya Nik Aziz serta konco-konconya. Tapi ketika itu, sudah terlambat. Nasi sudah jadi bubur. Ada orang kata 10 atau 50 tahun pun belum tentu PAS dapat bersatu dengan UMNO. Demikian mahalnya harga yang terpaksa dibayar bila politik kepartian dimainkan secara melampau dan jumud.
Oleh : Dr Mashitah Ibrahim
No comments:
Post a Comment