Thursday, July 21, 2011

Inilah Padahnya Kalau Sudah Lembik!

Suasana di Malaysia sebenarnya tidak tenteram. Itu adalah kebenaran yang tidak boleh ditolak-tolak. Tak perlulah lagi berselindung dengan mengatakan negara berada dalam keadaan aman damai dan tidak ada sebarang ancaman yang sangat serius. Rakyat negara ini sedang berhadapan dengan bahaya yang lebih besar daripada serangan atau perbuatan pengganas komunis yang bermaharajalela menzalimi rakyat yang tidak menyokong mereka pada zaman darurat dahulu.


Ancaman terhadap keselamatan rakyat, bukan datangnya daripada organisasi pengganas seperti di negara-negara jiran, sebaliknya ancaman terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat datangnya dari dalama negara. Lebih tepat lagi dari kalangan orang politik yang sudah tidak sabar-sabar untuk menakluki dan menguasai Putrajaya.

Rakyat diperjudikan dengan pelbagai risiko semata-mata untuk memenuhi tembolok puak-puak ini. Dan pada masa yang sama, kerajaan yang dipilih oleh rakyat juga, memilih untuk menjadi popular dan sangat takut untuk mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan rakyat berlangsung tanpa sebarang cubaan mengganggu-gugatnya.

Sekarang, kita dapat melihat bagaimana para pemimpin Pakatan Rakyat menimbulkan pelbagai isu secara bebas dan tanpa rasa gerun sedikit pun kepada undang-undang. Mereka seperti golongan yang sudah tidak tertakluk dengan sebarang undang-undang di negara ini lagi. Dilarang memakai baju T kuning bertulis BERSIH, itu jugalah yang mereka pakai. Mereka sekadar dipanggil ke balai polis untuk memberi keterangan dan selepas itu dibebaskan, sebelum mengulanginya berkali-kali dan dengan penuh perasaan bongkak.

Anehnya, mereka ini adalah pemimpin. Malah sebahagian besar daripada mereka adalah wakil rakyat, sama ada yang berstatus ADUN mahupun Ahli Parlimen. Undang-undang negara ini bagi mereka hanyalah perkara yang boleh dibuat main-main. Secara tidak langsung, orang-orang politik ini telah mengajar rakyat agar jangan menghormati undang-undang dan boleh melanggarnya dengan sesuka hati.

Kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kesejahteraan rakyat adalah Kementerian Dalam Negeri. Bagaimanapun, selepas Kementerian Dalam Negeri dipegang oleh bekas Perdana Menteri yang lalu, pelbagai kelembikan, pelbagai kelemahan dan pelbagai pencerobohan dilakukan tanpa sebarang undang-undang, meskipun dia sangat terkenal dengan ungkapan, ‘Saya Pantang Dicabar!’.

Dan jejak langkahnya diikuti pula oleh menteri yang ada sekarang.

Apabila KDN menguatkuasakan undang-undang yang sudah lama terpakai terhadap penerbitan majalah, akhbar, tabloid dan sebagainya, orang yang paling kuat melenting adalah Lim Kit Siang. Sebelum ini, puak-puak Kit Siang jugalah yang mahukan Akta Percetakan, Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri dihapuskan kerana kononnya negara sudah maju dan akta-akta atersebut dilihat sebagai mengongkong perjalanan negara.

Kit Siang dalam perkembangan terbaru memperolok-olokkan tindakan KDN menapis dan menyaring artikel daripada majalah Economist yang menurutnya menjadi bahan lawak jenaka seluruh dunia. Pada masa yang sama, Kit Siang menyarankan Hishamuddin digantikan dengan orang lain di KDN yang lebih bermaklumat dan lebih berkaliber untuk menjalankan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri!

Dan sebenarnya kata-kata Kit Siang tentang Hishamuddin Hussein Onn ada benarnya. Hishamuddin dilihat tidak berkemampuan langsung untuk menggalas tugas selaku Menteri Dalam Negeri. Terlalu lambat bertindak. Terlalu playsafe. Terlalu tidak mengambil berat dan terlalu memandang ringan.

Contoh terbaik adalah tentang masalah kad pengenalan di Sabah yang sehingga kini menjadi api dalam sekam. Aduan serta kemarahan penduduk Sabah tentang kad pengenalan palsu yang sewenang-wenangnya boleh diperolehi dari tangan pendatang asing, terutama dari Filipina, langsung tidak dipedulikan.

Dan sehingga kini, tiada sebarang tindakan yang lebih berkesan digunakan atau diambil untuk menangani masalah tersebut. Menteri Dalam Negeri seperti sudah pekak dan tuli.

Keselamatan negara sebenarnya sedang terancam kerana negara ini sedang ditadbir oleh pembesar-pembesar yang tidak hidup dengan suasana Malaysia, tetapi sebaliknya hidup dengan dunia halimunan dan balan-balan yang berterbangan!

Sumber :  http://www.rontogdaily.com

No comments:

Post a Comment