ENAM ratus lima puluh sembilan (659) pasangan dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan sejenis di New York pada Ahad lalu, mencatatkan rekod jumlah perkahwinan gay dan lesbian yang terbanyak dalam sehari.
New York adalah negeri yang keenam di Amerika Syarikat (AS) yang 'menghalalkan' perkahwinan sejenis. Ini bermakna 44 negeri sahaja lagi di negara pengeskport ideologi demokrasi, kebebasan dan hak asasi itu yang belum mengiktiraf seks dan perkahwinan sejenis.
Lambat-laun negeri-negeri lain juga akan mengikut jejak langkah New York. Logiknya hanya masa yang menunda pelaksanaan kebebasan yang amat bertentangan dengan syariat agama Islam ini.
Berita ini mungkin dibaca dengan senyum sinis oleh umat Islam di Malaysia. Pada akal kita, tidak mungkin budaya kuning yang Allah kutuk di dalam al-Quran itu akan menular ke Malaysia suatu hari nanti. Persoalannya adakah semua umat Islam benar-benar menjiwai dan beriman dengan al-Quran?
Senyumlah atau ketawalah. Syaitan-syaitan juga sedang ketawa. Banyak perkara yang dulu kita ketawakan sudah menjadi budaya tiruan di Malaysia. Lihatlah betapa ada kumpulan wanita Islam di Malaysia yang mahu menghapuskan poligami walaupun ia dibenarkan Allah SWT.
Apabila nilai-nilai budaya itu datangnya dari masyarakat yang lebih maju dari segi keduniaan, akan mudahlah masyarakat yang kurang maju terkeliru dan meniru.
Seks sejenis sebenarnya turut diamalkan oleh segelintir kalangan masyarakat Malaysia termasuk mereka yang dilahirkan sebagai orang Islam. Secara senyap-senyap ia mungkin merebak. Cuma mereka yang mengamalkannya masih menyorok daripada pengetahuan umum. Malu kepada manusia atau malu kepada Allah?
Bayangkan jika bilangan pengamal seks sejenis bertambah dan turut menular di kalangan yang berpengaruh. Betapa jika terdapat kalangan pemimpin politik yang juga melakukan seks sejenis. Jangan lupa bahawa Malaysia juga mengamalkan demokrasi berpilihan raya sama seperti di AS.
Lazimnya dalam pilihan raya, kemenangan ditentukan oleh puak majoriti. Tetapi di Malaysia sendiri kita dapat melihat betapa suara minoriti boleh mempengaruhi suara majoriti apabila kalangan yang bertanding dalam pilihan raya mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada puak majoriti. Akhirnya satu demi satu kehendak minoriti disuarakan secara terbuka dan lambat-laun terpaksa diterima oleh kalangan ahli politik yang memburu undi sokongan.
Peluang
Itulah yang berlaku di AS. Perebutan kuasa yang sengit antara parti Demokrat yang lebih liberal dengan parti Republikan yang konservatif akhirnya memberikan peluang kepada golongan minoriti untuk bersuara. Tuntutan mereka dipenuhi setelah bilangan mereka bertambah dan suara mereka semakin lantang melalui demonstrasi di jalan raya.
Wahai orang-orang yang beriman, berwaspadalah! Allah telah menauliahkan nabi demi nabi dan menurunkan kitab demi kitab untuk membimbing manusia ke jalan yang betul, tetapi manusia mudah lupa, lekas tewas kepada nafsu dan tunduk kepada kemewahan dunia.
Nabi yang terakhir ialah Muhammad SAW dan kitab terakhir ialah al-Quran. Tiada lagi pembimbing manusia ke jalan yang lurus selepas Muhammad dan al-Quran. Jika kita tergelincir daripada cara hidup yang Allah perintahkan, rasailah akibatnya di dunia dan akhirat sebagaimana yang menimpa umat-umat dahulu termasuk kaum Nabi Lut, Nabi Nuh, Tsamud, Aad dan Madyan yang dinyatakan dalam al-Quran sebagai peringatan kepada manusia sepanjang zaman.
Berhati-hatilah dengan sebarang nilai yang sedang dieksport dengan agresif dari Amerika Syarikat ke negara-negara yang penduduk majoritinya beragama Islam. Janganlah mudah terperangkap dengan apa jua yang disuakan atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka yang ghairah menerima fahaman ciptaan nafsu manusia ini juga termasuk orang-orang yang dilahirkan beragama Islam.
Yang berserban dan menuntut di Universiti Al-Azhar juga sudah terjebak sebelah kaki. Di mana iman mereka? Ini semua adalah gara-gara mahukan kejayaan di dunia, bukan kejayaan di akhirat yang Allah janjikan untuk orang-orang yang beriman. Jika ditanya, mereka akan memberikan dalil yang palsu. Disebabkan mereka ini berkelulusan tinggi agama, ramai yang turut percaya.
Dulu ramai yang tertarik dengan fahaman sosialis yang diasaskan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels, sekalipun mereka berteori bahawa agama itu adalah candu yang boleh merosakkan kehidupan manusia. Daripada teori mereka lahirlah fahaman komunisme yang menganjurkan keadilan sosial dan ekonomi sama rata untuk semua manusia.
Akhirnya komunisme runtuh dan tinggal sisa cebisan di beberapa buah negara sahaja. Bangkit pula demokrasi, kebebasan dan hak asasi. Apa bezanya fahaman komunisme yang menentang agama dengan fahaman kebebasan bawaan Amerika yang turut mengizinkan seks sejenis? Tidakkah fahaman yang dieksport dari Amerika ini juga menghancurkan institusi agama?
Fahaman
Bezanya, hanyalah dari segi pendekatan. Komunis menggunakan pendekatan yang lebih keras, tetapi fahaman kebebasan dan hak asasi dari Amerika menghancurkan agama melalui proses demokrasi yang penuh manipulasi dan penipuan. Betapa ada pemimpin-pemimpin politik yang dulu menganut fahaman sosialisme, sekarang beralih kepada demokrasi, kebebasan dan hak asasi sebagai 'agama baru' mereka.
Allah menyuruh orang-orang beriman supaya berdoa memohon kebahagiaan di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad juga menyuruh kita bekerja seolah-olah akan hidup selama-lamanya, tetapi beribadatlah seolah-olah akan mati esok.
Bagaimanapun, matlamat kebanyakan manusia hanyalah mencari kekayaan dan berseronok dengan kekayaan itu. Budaya kebendaan ini turut meresap ke segenap sendi kehidupan masyarakat Islam. Zahirnya majoriti umat Islam menunaikan solat dengan menghadap ke Mekah, tetapi dalam banyak hal kehidupan kita berkiblat ke Amerika dan Eropah.
Betul tidak semua yang datang dari Barat itu bertentangan dengan nilai Islam, tetapi realitinya semakin ramai umat Islam yang sudah kelabu dan tidak tahu membezakan yang benar dan tidak benar. Puncanya kerana terlalu cintakan kehidupan dan kemajuan dunia. Seolah-olah mahu hidup selama-lamanya dan tidak akan mati.
Kejayaan masyarakat dan individu tidak lagi dilihat dari segi pegangan agamanya, tetapi kekuatan ekonominya. Apabila mencapai tahap ekonomi yang dihajati, mereka menuntut pula kebebasan yang dalam beberapa hal sangat bertentangan dengan ajaran agama.
Inilah agama baru yang turut diimport ke Malaysia oleh badan-badan dakyah yang menyamar atas nama pelbagai NGO yang sebilangan besar hanya mempunyai beberapa kerat ahli. Malangnya suara mereka sangat mendapat tempat di media. Turut menyokong penyebaran agama baru ini ialah tokoh-tokoh politik yang dilahirkan beragama Islam dan mendakwa berjuang untuk Islam.
Maka senyum dan ketawalah membaca laporan perkahwinan sejenis beramai-ramai di Amerika. Dan syaitan-syaitan pun turut ketawa kerana mereka yang berserban juga sudah berjinak-jinak dengan agama baru bertopengkan kebebasan dan hak asasi ini.
Maulana Arrif-Utusan
Sunday, July 31, 2011
Friday, July 29, 2011
Awasi ‘Tyranny Of The Minority’
MINGGU ini Kunta Kinte nak bincang sikit pasal demokrasi dan apa yang dalam bahasa Inggeris disebut ‘tyranny of the majority’.
Macam Kunta Kinte dah banyak kali sebut, demokrasi adalah kerajaan oleh rakyat di mana bilangan yang teramai perintah. Dari sudut etimologi atau asal usul pembentukan bahasa, demokrasi adalah daripada bahasa Perancis, démocratie, Latin democratia dan Greek (Yunani) demokrati. Demos dalam bahasa Yunani bererti orang ramai atau rakyat jelata dan krati bermaksud pemerintahan atau pentadbiran. Jadi, demokrasi adalah pemerintahan oleh rakyat jelata, sama ada secara langsung atau melalui wakil.
Banyak pengkaji politik kata demokrasi adalah sistem yang cacat. Tapi, cacat atau tidak, inilah sistem yang paling lama dan paling luas dipakai oleh tamadun manusia. Malah manusia sanggup mati atas nama demokrasi macam kita tengok sedang berlaku di negara-negara Arab dan di China.
Sebelum merdeka, negara kita diperintah ikut sistem feudal. Sistem itu kita ubah jadi sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen apabila kita merdeka pada 1957. Kita pilih kerajaan melalui pilihan raya.
Pengkaji politik kata demokrasi cacat pasal pilihan raya tidak semestinya hasilkan kerajaan yang baik. Macam kata bekas Ahli Parlimen Parti Buruh Inggeris, Ken Livingstone: “Kalau mengundi betul-betul mengubah keadaan, ia sudah lama dihapuskan.” Maksudnya, buat apa mengundi berulang kali kalau sekali mengundi sudah hasilkan kerajaan yang unggul.
Hari ini, kita tengok ada negara yang buat pilihan raya tiap dua tiga tahun sekali kerana kerajaan yang dipilih jatuh. Ada yang jatuh kerana rakyat dah tak percaya atau kerana wakil rakyat bergaduh sesama sendiri. Ada negara tukar perdana menteri dua tiga kali setahun kerana undi tak percaya.
Alhamdulillah, kita di Malaysia setakat ini tidaklah macam itu. Malah, secacat mana pun demokrasi kita, ia berfungsi dan bawa kebaikan kepada rakyat jelata.
Ini ada kena mengena dengan sifat dan sikap orang Melayu. Walaupun orang Melayu kaum majoriti dan terajui pemerintahan, mereka tidak amalkan ‘tyranny of the majority’ atau kekejaman oleh majoriti.
Sebaliknya, Kunta Kinte rasa keadaan dah terbalik. Orang Melayu terlalu sangat tolak-ansur dengan kaum-kaum minoriti sampai orang Melayu pula yang jadi mangsa.
Pasal takut sangat dituduh tidak adil, kejam dan menganiaya atau kerana kemaruk undi, orang Melayu sanggup tolak-ansur sampai mereka jadi mangsa kepada ‘tyranny of the minority’ (tirani oleh minoriti).
Minta ampun kalau Kunta Kinte silap. Tapi itulah yang Kunta Kinte tengok dan rasa. Orang Melayu mengalah sangat. Ada yang kaum minoriti tak minta dan tak tuntut pun kita bagi.
Jadi Kunta Kinte sikit pun tidak hairan dengan bermacam-macam jenis tuntutan, kata dua, ancaman dan tunjuk perasaan oleh berbagai-bagai kelompok minoriti yang makin menjadi-jadi hari ini.
Kunta Kinte tak kata kita tak boleh tolak-ansur, tapi janganlah tolak-ansur sampai abaikan kaum majoriti. Kunta Kinte dah banyak kali dan dah lama kata, mana-mana dasar atau rancangan yang tidak utamakan majoriti adalah tidak bijak dan tidak sah dari segi moral.
Di negara kita ini, majoriti penduduk adalah Bumiputera. Majoriti yang susah dan miskin pun Bumiputera juga. Jadi, mana-mana dasar dan rancangan yang hendak dibuat wajiblah dahulukan Bumiputera, tapi dengan tidak menekan minoriti.
Jadi Kunta Kinte terkejut dan susah hati bila baca berita BERNAMA yang petik Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, kata kerajaan perlu masa yang lebih panjang untuk majukan ekonomi Bumiputera di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Bukanlah maksud Kunta Kinte nak pertikai ETP, tapi berapa lama lagi Bumiputera kena tunggu? Takkanlah orang pandai-pandai macam Husni dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, tak fikir awal-awal transformasi Bumiputera?
Kita semua dah lama tahu Bumiputera ketinggalan. Kita tahu kemiskinan Bumiputera meningkat. Kita tahu jurang pendapatan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera tambah luas.
Jadi, logiknya bila kita nak transformasikan ekonomi daripada baik kepada lebih baik, kita kenalah dahulukan kepentingan Bumiputera kerana mereka adalah majoriti dan merekalah yang tercicir.
Itulah yang Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein buat bila dia rangka dan laksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dia buat serentak matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dengan menyusun semula masyarakat.
Yang buat Kunta Kinte lagi pening ialah bila Idris kata kerajaan nak kurangkan pegangan saham dalam 33 buah GLC. Malah, dia kata mungkin ada GLC akan ditutup.
Kalau macam Husni kata, kerajaan perlu masa lebih panjang untuk majukan ekonomi Bumiputera, Kunta Kinte nak tanya siapa nak beli saham-saham GLC itu?
Yang kita tahu, saham Bumiputera dalam sektor korporat hanya 20 peratus. Itu pun 18 peratus adalah saham GLC dan agensi-agensi amanah macam Permodalan Nasional Berhad dan Yayasan Hartanah Bumiputera. Saham milik orang perseorangan Bumiputera hanya dua peratus.
Akhir kalam, Kunta Kinte harap kita semua faham dan berjaga-jaga mengenai ancaman tirani oleh minoriti ini kerana bukan saja ia bercanggah dengan amalan demokrasi, tetapi juga boleh ancam kestabilan dan keselamatan negara kita.
Kalaupun kita tunduk, biarlah kita tunduk kerana hormat bukan tunduk supaya orang naik dan pijak kepala kita. Orang Melayu mesti terus menjadi orang baik, tapi jangan lupa pesanan nenek moyang kita: “Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”
Kita boleh bertolak-ansur tapi jangan sampai umpama bagi tanah kepada Belanda, dibagi seinci diambil sehasta, diberi betis diambil paha. Wallahualam.
Oleh : Kunta Kinte
Durian Termahal Di Dunia
Sekarang ni tengah musim kegilaan memakan durian, bersepah pondok-pondok di tepi jalan didirikan menjual durian. Sememangnya berpesta makan durian. Tapi anda tau tak pasal durian termahal didunia?
Tau tak anda terdapat durian yang termahal di dunia dan ianya berada di Malaysia, dan paling menghangatkan ialah durian ini adalah melalui proses yang agak menjijikkan.
Durian nieh mahal sebab durian yang mahal tersebut dikeluarkan dari perut gajah atau bahasa kasarnya dikeluarkan bersama dengan tahi gajah.
Masyarakat Jakun di hutan-hutan Malaysia akan mengikuti gajah yang baru lepas menelan banyak durian.
Mereka mengambil risiko mengikuti binatang mamalia ini sekurang-kurangnya selama empat jam – tempoh yang diperlukan haiwan itu untuk mencerna durian – sebelum buah yang tak tercerna itu keluar bersama kotoran.
Penasihat Malaysia Nature Society cawangan Johor, Vincent Chow yang mendengar kewujudan durian unik ini dari temannya seorang tauke balak dan penduduk orang asli.
Tauke balak ini selalu menempah durian tahi gajah ini pada Orang Asli selama musim durian.
Kerana stoknya yang sedikit dan sukar didapati, taipan ini sanggup membayar RM1,000 demi memenuhi selera mereka.
“Orang Asli semestinya sanggup mengikuti jejak para gajah kerana mereka tahu akan dibayar mahal,” kata Chor, seperti dimuatkan di New Straits Times, Jumaat 22 Oktober 2010.
“Menurut warga tempatan, bau kotoran gajah seperti teh, tidak busuk seperti haiwan lain.”
Durian yang belum tercerna itu juga dikatakan tidak mengandungi kotoran dan bakteria.
Tauke balak itu mendakwa durian itu akan menjadi makanan pembangkit ghairah seksual – setelah melalui proses pencernaan gajah.
Meski tak ada bukti saintifik yang menyokong dakwaanya itu, permintaan ‘Durian Tahi Gajah’ semakin tinggi dan harganya terus meningkat.
MalaysiaRia
Thursday, July 28, 2011
Menilai Keberanian Pas
Itulah persoalan yang perlu dijawab oleh kepimpinan baru parti itu yang dilihat begitu teruja menjadi 'jaguh' kepada pakatan pembangkang apabila sejak kebelakangan ini begitu lantang bersuara.
Jika pada 9 Julai lalu, kepimpinan Pas telah menunjukkan keberaniannya dengan mengerahkan ahli-ahlinya turun ke jalanan menyertai perhimpunan haram Bersih, terbaru mereka menolak pula mentah-mentah cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai penggunaan sistem biometrik dalam pilihan raya umum akan datang.
Mungkin kerana keterujaan selepas mengubah dasar perjuangan daripada negara Islam kepada negara berkebajikan, istilah berunding dan berbincang seolah-olah tidak wujud lagi dalam kamus politik kepimpinan Pas, justeru mereka tidak mahu berbincang atau mendengar dahulu penjelasan SPR.
Corak berpolitik Pas sejak terbentuknya barisan harapan pilihan raya parti berkenaan selepas muktamar baru-baru ini, kini lebih menjurus kepada konfrantasi dan demonstrasi bukanlah lagi bertoleransi.
Oleh itu, ia menimbulkan kekeliruan dan persoalan apakah penolakan terhadap penggunaan sistem biometrik itu benar-benar dilakukan setelah membuat kajian atau ia lebih bermotif politik semata-mata.
Mungkin Pas ingin menunjukkan kepada sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bahawa mereka hebat berpolitik.
Namun persoalannya apakah Pas hanya berani berhadapan dengan SPR, berani bertelingkah dengan UMNO, berani menyerang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berani berbalah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi apakah Pas akan benar-benar berani untuk menjadi dominan dalam pakatan pembangkang?
Kalau kepimpinan baru Pas merasakan mereka sudah cukup hebat berpolitik maka mereka juga perlu menunjukkan 'kehebatan' itu apabila berunding dengan PKR dan DAP dalam pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Ketika ini sudah ada cabaran kepada Pas untuk bertanding antara 120 hingga 130 kerusi Parlimen bagi membolehkan parti tersebut menjadi peneraju utama dalam pakatan pembangkang.
Cabaran berkenaan bukan sahaja dilontarkan oleh Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Daerah Kota Setar, Datuk Yusof Ismail, malahan oleh blogger-blogger yang mungkin sudah muak dengan 'keberanian tidak bertempat' Pas.
Mereka melihat Pas begitu bercita-cita tinggi untuk menggantikan UMNO malahan di mana-mana pun pemimpin Pas 'menjaja' bahawa parti itu jauh lebih baik daripada UMNO.
Tetapi malangnya 'nafsu besar' itu tidak seiring dengan persoalan apakah Pas benar-benar berani hendak memberitahu PKR dan DAP bahawa Pas perlu dominan dalam pakatan pembangkang.
Setakat ini, pemimpin Pas meletakkan sasaran untuk bertanding 80 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum akan datang, lebih 14 kerusi daripada jumlah pada tahun 2008 iaitu 66 kerusi.
Maknanya, Pas mahu bertanding lebih kerusi daripada PKR dan DAP. Pada tahun 2008, PKR bertanding di 97 kerusi dan menang 31 kerusi manakala DAP bertanding 47 kerusi dan menang 28 kerusi.
Soalnya, daripada mana Pas akan mendapat 14 lagi kerusi Parlimen bagi meletakkan calon-calonnya? Apakah DAP akan memberi laluan? Atau apakah Pas hendak mengambil semula kerusi yang diberikan kepada PKR?
Beranikah Pas yang kini dilihat begitu ghairah untuk berkongsi kuasa dengan kedua-dua parti itu berkeras dan menunjukkan kejaguhan seperti mana mereka berhadapan dengan UMNO, BN, SPRM, SPR dan PDRM?
Penulis percaya hasrat untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen atau menjadi dominan dalam pakatan pembangkang hanyalah mimpi indah yang mengasyikkan bagi Pas.
Cita-cita itu tidak akan tercapai dan ia sekadar impian seperti mana mereka diperdayakan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam 'impian 16 September'.
'Keberanian' pemimpin-pemimpin Pas hanya terbatas di luar lingkungan pakatan pembangkang sahaja tetapi dalam kerjasama dengan PKR dan DAP, Pas sekadar menjadi 'pak turut'.
Jika berhadapan dengan UMNO, BN dan agensi kerajaan, Pas begitu bermati-matian melakukan serangan tetapi percayalah keberanian berkenaan tidak akan sampai ke mana apabila berhadapan dengan PKR dan DAP.
PKR sudah pasti tidak akan menyerahkan kembali kerusi Pas yang mereka tandingi pada tahun 2008 kerana ia melibatkan banyak kawasan selamat, begitu juga DAP yang tidak akan sesekali menyerahkan kerusi mereka kepada Pas.
Semangat setiakawan seperti mana ditunjukkan oleh UMNO yang bersedia menyerahkan kerusi kawasan selamat kepada MCA atau MIC sama sekali tidak akan berlaku dalam pakatan pembangkang.
Dalam pakatan berkenaan masing-masing ingin berkuasa apatah lagi PKR dan DAP amat memahami keghairahan Pas untuk berkongsi kuasa bersama mereka.
Kerana itulah Pas menjadi satu-satunya parti pembangkang dalam sejarah politik negara sanggup mengorbankan dasar perjuangannya - satu tindakan yang sama sekali tidak akan dilakukan oleh PKR apatah lagi DAP.
Oleh itu PKR dan DAP tidak akan melayan tuntutan Pas apabila tiba masa perundingan pembahagian kerusi dilakukan kerana percaya serta yakin bahawa keberanian Pas bertempat.
Pas hanya berani terpekik terlolong di jalanan, menunjuk hebat di hadapan rakyat dengan membuat pelbagai tohmahan kepada kerajaan BN tetapi pasti akan tunduk kepada kehendak PKR dan DAP.
Justeru adalah diharapkan kepimpinan baru Pas tidak terlalu ghairah hendak menjadi jaguh dalam berhadapan dengan UMNO, BN dan agensi kerajaan kerana kesudahannya bukan Pas yang akan meraih keuntungan sebaliknya PKR dan DAP.
Dan paling malang bagi Pas pula keberanian tidak bertempat parti itu hanya akan menyebabkan rakyat terutamanya orang Melayu menolak mereka dalam pilihan raya nanti.
Malahan orang Melayu juga tahu Pas tidaklah seberani mana apabila berhadapan dengan PKR dan DAP. Isu penjualan arak di Selangor dan larangan beroperasi kepada 13 pusat hiburan di Kedah pada bulan Ramadan sudah menjadi bukti sejauh mana keberanian Pas dalam berpolitik.
Oleh : Zulkiflee Bakar
Wednesday, July 27, 2011
Siapa ‘Kaki Botol’ Itu?
SENANGNYA mahu beli arak, macam beli gula-gula pula. Itu pemandangan biasa setiap kali memasuki sebuah pasar raya 24 jam di waktu malam di Seksyen 9, Shah Alam.
Memang ada amaran atau peringatan ditampal di situ, orang Islam dilarang membeli minuman keras. Tetapi yang tidak ada segan-silu membuka peti sejuk di bahagian yang dikhaskan untuk minuman tidak halal itu ialah remaja Islam juga.
Dan di kawasan tersebut serta keseluruhan bandar raya Shah Alam, rata-ratanya ialah orang Melayu, maka ‘siapa’ yang membelinya memanglah nampak ketara sangat, tidak boleh lagi hendak diselindung-selindung.
Lebih berani lagi, remaja-remaja ini dengan selamba meneguk air itu, di depan kedai berkenaan atau ada yang mahu privasi sedikit mereka menikmatinya dengan duduk berkumpulan di tepi-tepi longkang, atau di celah-celah kereta di tempat meletak kenderaan. Maka apabila mereka beredar, akan bersepah-sepah botol atau tin arak tersebut.
Bagaimana dengan penguatkuasaan undang-undang berhubung pembelian arak oleh orang Islam dan bawah umur ini? Siapa yang hendak menegah mereka daripada membelinya? Pekerja di pasar raya 24 jam itu? Mereka kebanyakannya warganegara asing, hendak bercakap bahasa Melayu pun payah, diminta ‘minyak cap kapak’ (minyak angin), dihulur pula ubat batuk!
Apa langkah yang dilakukan oleh Jabatan Agama pula? Berapa ramai remaja kita yang telah ditahan kerana minum arak? Pemantauannya? Setahu saya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) begitu menjaga kawasan-kawasan Tasik Shah Alam pada waktu malam, agar ia tidak dijadikan lokasi untuk berkhalwat.
Maka sudah sewajarnya perkara yang sama, perlu dilakukan dengan memantau remaja atau umat Islam lain yang membeli dan minum arak di khalayak ramai ini.
Saya percaya, kegiatan ini bukan sahaja membabitkan Shah Alam, tetapi di kawasan-kawasan lain.
Bagi sesetengah negara Barat, untuk membeli minuman keras perlu menunjukkan dokumen pengenalan diri yang pembeli berusia 21 tahun ke atas dan ada juga negara yang tidak menjualnya di kedai-kedai serbaneka, mereka hanya membenarkan minuman beralkohol itu dijual di kedai-kedai tertentu yang diberikan lesen khas.
Penjualan arak kepada umat Islam terutamanya remaja, akan memberikan banyak impak buruk. Sebab itu Islam mengharamkannya.
Mereka ini memandu atau menunggang motosikal semasa dalam pengaruh alkohol, yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi akan mengundang tragedi kepada orang lain. Arak juga membawa kepada jenayah lain seperti pergaduhan, rogol dan bunuh.
Tidak dapat dibayangkan dalam usia sebegitu muda, ramai remaja kita sudah terjebak dengan arak dan menjadi penagih minuman keras ini.
Fauziah Arof
Jangan Beri Mesej Salah Kepada Rakyat
BANYAK bantahan dikemukakan oleh rakyat di seluruh negara terhadap peserta demonstrasi 9 Julai lalu. Dan mereka menyokong agar polis mengambil tindakan terhadap pemimpin dan penyokong perhimpunan haram Bersih itu.
Oleh kerana sudah lebih dua minggu peristiwa yang mencemarkan imej negara itu berlaku tanpa tindakan berkesan, maka kian kuat desakan supaya polis mendakwa pemimpin pembangkang terbabit dengan kadar segera.
Ada pihak kesal kerana sehingga hari ini tiada tindakan diambil oleh kerajaan ke atas kumpulan penganjur perhimpunan haram Bersih. Yang nampak ialah usaha polis terpaksa memberi penjelasan mengenai provokasi para penyokong Bersih.
Selagi tiada tindakan undang-undang terhadap peneraju perhimpunan Bersih yang mencetus huru-hara di ibu negara baru-baru ini, nampaknya mereka terus bebas menyebarkan tohmahan dalam ceramah politik masing-masing.
Kita percaya pihak polis sendiri mempunyai maklumat dan bukti terdapat unsur-unsur dalaman dan asing yang mahu mencetuskan huru-hara sewaktu perhimpunan itu. Bahkan usaha terancang sudah dilakukan dalam demonstrasi itu dengan memuat naik video yang diubah untuk memburukkan polis.
Apa yang kita bimbang persepsi yang salah akan timbul jika pihak berkuasa terlalu berhati-hati dan lambat mengambil tindakan ke atas pihak berkenaan. Sebaliknya ia memberi peluang kepada golongan tersebut untuk memanipulasi isu demonstrasi Bersih seperti yang sedang berlaku sekarang.
Pihak Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan polis kena mengambil langkah segera ke atas individu atau kumpulan yang terang-terang melanggar titah Yang di-Pertuan Agong dan tidak menghormati titah Sultan Selangor.
Sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil. Yang ada sekadar merekodkan kenyataan mereka yang ditahan polis, diberi layanan makan dan minum, kemudian dibebaskan.
Hasilnya cerita tindakan 'tunjuk baik' polis tenggelam dan dibalas pihak pembangkang dengan memutar belitkan cerita sebenar.
Kerajaan perlu ambil pengajaran daripada peristiwa ini. Untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin, pihak berkuasa harus segera bertindak ke atas kumpulan pengacau itu.
Jangan disia-siakan sokongan lebih 4,000 badan bukan kerajaan dan individu yang membuat laporan polis terhadap Bersih.
Kelewatan mengambil tindakan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan haram pada 9 Julai itu, boleh menghakis sokongan rakyat kerana kerajaan akan dilihat tidak berupaya melaksanakan undang-undang.
Oleh itu, jangan kerajaan beri mesej yang salah kepada rakyat - takut mengambil sebarang tindakan ke atas pemimpin pembangkang dan penganjur Bersih.
Kita juga bimbang semakin ramai lagi kumpulan akan berani menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara kerana tiada tindakan yang menggerunkan mereka untuk berdemonstrasi pada masa depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar kelmarin memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh berhubung perhimpunan itu dijangka selesai minggu ini. Yang penting sekarang ialah ambil tindakan segera termasuk mendakwa mereka yang terlibat.
Jangan kerajaan terperangkap dengan mainan dolak-dalih pembangkang.
utusan
Tuesday, July 26, 2011
Mengapa Negara Berkebajikan?
SUATU hal yang amat mengejutkan bagi perjuangan Pas adalah perubahan mendukung negara Islam ke arah mendukung negara berkebajikan. Umum mentafsirkan, ia adalah suatu strategi menyesuaikan diri dengan aliran perjuangan pakatan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Sepatutnya perubahan yang harus berlaku adalah penyesuaian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP terhadap maksud negara Islam yang seharusnya dilihat secara ketamadunan. Pas sangat memahami bahawa PKR memperjuangkan faham liberal dan pluralis dan tidak lagi bertunjang ke arah Melayu-Islam sebagai kekuatan teras.
DAP dengan pendekatan Malaysian-Malaysianya dengan orientasi sosialis-demokratnya tidak melihat agama itu relevan dalam proses bernegara. Cita-citanya adalah menjadikan pendekatan sosialis-demokrat sebagai jawapan terhadap perubahan Malaysia hari ini.
Apakah selama ini Pas tidak mempunyai keupayaan tinggi untuk memberikan kefahaman yang luas maksud negara Islam yang menyebabkan PKR dan DAP merasakan bahawa jalan perjuangan yang dibawa oleh Pas adalah rigid, sempit dan tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam realiti politik Malaysia.
Keupayaan ulama Pas yang cenderung mengulangi retorik dan pendekatan yang amat tradisional menyebabkan Anwar Ibrahim cuba menekankan pentingnya faham liberal dan pluralis dikembangkan supaya ia relevan dengan suasana sosio-politik Malaysia kini.
Memperjuangkan negara Islam dalam kecenderungan memperkasa tamadun pada hemat penulis tidaklah salah. Kerajaan juga sedang melakukan pendekatan sebegini tanpa heboh-heboh tentang cita-cita negara Islam.
Sejarah Andalusia adalah bukti jelas bagaimana tamadun itu boleh tegak dan menjadi pelindung adil terhadap kehadiran kelompok Kristian-Yahudi. Kepimpinan Pas terdahulu tidak memiliki formula praktis bagaimana kelompok majmuk dapat disantuni supaya natijah perjuangan Islam membawa kebaikan kepada umat manusia.
Memang salah satu ciri penting negara Islam ialah mendukung maksud kebajikan yang luas. Kebajikan boleh ditafsirkan sebagai tema dalam orientasi sosialis-komunis dan ia juga dicanang oleh pihak kapitalis. Tetapi menjadi fokus negara berkebajikan sebagai landasan perjuangan, apakah ia sebagai pertanda mengecilkan lagi skop perjuangan Pas tanpa membawa sama pendekatan hukum dan syariah yang menjadi inti perjuangan Pas berdekad-dekad yang lalu.
Hal ini penting dijadikan isu kerana apa makna sebuah negara berkebajikan tanpa faktor syariah mendasarinya. Sweeden, Findland, New Zealand adalah antara contoh negara kebajikan yang memberi fokus tentang kebajikan rakyat tetapi fahamnya adalah liberal-sekular-demokratik.
Apakah ini menjadi landasan perjuangan Pas yang baru mengikut rentak PKR dan DAP supaya berlaku suatu sinergi politik sekadar ingin menumbangkan parti yang memerintah. Kalau namanya negara berkebajikan Kerajaan Malaysia sudah sekian lama menjadikan pendekatan ini sebagai agenda utamanya.
Apakah ini sebagai strategi untuk memberikan titik-kesamaan terhadap keperluan masyarakat majmuk untuk memenangi pilihan raya akan datang atau Pas tetap bertahan dengan kekuatan Islam sebagai sumber perjuangannya.
Kalau ini terjadi Pas semakin pragmatik dalam pendekatannya, meskipun mengorbankan prinsip fundamental perjuangan ke arah negara Islam dulunya. Kalau inilah hakikat yang diperjuangkan sejarah akan mengadili perjuangan Pas sebagai perjuangan yang tidak sampai ke hujung.
Ia terbantut di pertengahan jalan kerana hambatan-hambatan kuasa, dan melaksanakan dendam kesumat terhadap UMNO harus berlaku walaupun terpaksa menelan kembali label kafir, taghut, jahiliah yang telah sekian lama menjadi bahasa basahan mereka tanpa menyedari bahawa label sebegitu akan juga berpulang kepada mereka suatu hari nanti.
Oleh : Tok Ki
Pas Cukup Profesional Bohongi Rakyat
Monday, July 25, 2011
Dakwa Ekonomi Lemah, 62 NGO Bentuk Majlis Ekonomi Melayu
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Sebanyak 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan ekonomi Melayu hari ini bersetuju menubuhkan Majlis Ekonomi Melayu (MEM) bagi mengkaji kedudukan ekonomi orang Melayu di Malaysia.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Syed Ali Alattas berkata MEM akan menjadi forum bersama untuk berbincang dan mengkaji semua kepentingan ekonomi Melayu dan menyimpulkan satu suara yang mewakili 62 NGO itu di dalam semua bidang.
Dipetik Bernama Online, kata beliau, MEM ditubuhkan bagi meningkatkan maruah bangsa Melayu dalam memastikan hak dan peranan serta peluang ekonomi negara bukan sahaja diberi sama rata bahkan adil dalam mengambil kira faktor populasi masyarakat di negara ini.
“Kedudukan ekonomi kita sangat lemah walau pun negara sudah mencapai 54 tahun kemerdekaan dan dikhuatiri ini akan menjejaskan jurang perbezaan Melayu dan bukan Melayu. Ini harus dielakkan,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat pertama majlis itu di sini, beliau mendakwa NGO yang hadir pada majlis ini mewakili 60 hingga 68 peratus daripada para usahawan Melayu di negara ini.
Ini, katanya kerana 60 peratus warganegara Malaysia terdiri daripada orang Melayu, dan jika peratusan ini rata-ratanya berpendapatan rendah, ia akan menimbulkan imej yang tidak baik.
Sasaran mencapai sekurang-kurangnya 3.0 peratus ekuiti dan peranan ekonomi orang Melayu dalam Dasar Ekonomi Baru 1971 jelas kelihatan gagal, katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Haji Mokhtar Samad berkata banyak projek besar diumumkan oleh Perdana Menteri di dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti My Rapid Transit (MRT) perlu diagihkan juga kepada kontraktor Melayu agar mereka tidak terus ketinggalan.
Syed Ali berkata MEM akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai majlis ekonomi Melayu itu pada Ogos ini dan turut menyampaikan memorandum yang berkaitan bagi memastikan orang Melayu tidak ketinggalan dalam usaha negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
the malaysian insider
Sunday, July 24, 2011
Majlis Perkahwinan Mewah Beri Impak Negatif
Dari segi sosial pula, kebanyakan majlis perkahwinan mewah besar-besaran yang dianjurkan di negara ini sudah dicampur aduk dengan pelbagai elemen selain dimanipulasi sesetengah pihak bagi mendapat keuntungan khususnya membabitkan selebriti dalam memastikan barangan yang ditaja mendapat publisiti meluas. Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata apa yang lebih membimbangkan adalah aliran berbelanja mewah akhirnya menjadi ikutan hingga ada pasangan sanggup berhutang bagi memastikan majlis berlangsung dengan gilang gemilang yang akhirnya memberikan kesan jangka masa panjang selepas perkahwinan. “Ia juga tergelincir daripada matlamat sebenar perkahwinan yang sepatutnya dilaksanakan dengan cara sederhana. Bila rumah tangga dibina atas niat mahu popular hingga sanggup berhabis dan mengetepikan asas utama perkahwinan yang sepatutnya sederhana dan berteraskan agama, tidak mustahil ia boleh jadi faktor menyebabkan perceraian,” katanya.
Bekas Penasihat Agama Istana Negara yang juga pendakwah bebas, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, pula berkata kesan lebih buruk jika majlis itu lari daripada matlamat dan akhirnya mengakibatkan pembaziran, malah lebih teruk lagi ikatan yang dibina dengan perbelanjaan jutaan ringgit tidak mampu bertahan lama.
“Perkahwinan dalam Islam adalah sunnah Nabi yang sangat dituntut malah kenduri atau majlis itu harus dibuat hanya bagi mereka yang berkemampuan. Perkara paling penting jangan sampai majlis jadi perkara boleh menimbulkan riak (sifat menunjuk-nunjuk).
“Islam mengunjurkan pernikahan dalam suasana paling mudah dan ringkas kerana itu yang terbaik dan paling diberkati. Untuk apa kita melaksanakan majlis yang bermegah dan bermewah tetapi tidak mendatangkan keberkatan, kerana apa yang penting majlis diberkati,” katanya.
Semalam akhbar melaporkan majlis resepsi perkahwinan pasangan pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza pada 28 September ini di Hotel Crowne Plaza Mutiara, di sini yang mendapat tajaan Rafflesia The Pearl Centre dianggar menelan kos lebih RM12 juta.
Rafflesia turut memaklumkan akan menyediakan dua persalinan bertatahkan mutiara yang setiap satunya bernilai RM500,000, dua set barang kemas masing-masing bernilai RM2.8 juta berupa anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara.
bharian
Saturday, July 23, 2011
Keanehan Politik Pas
SEBENARNYA, kita terutama umat Islam tidak perlu terkejut dengan tindakan Kerajaan Pas Kedah yang mengubah pendirian berhubung larangan ke atas 13 jenis pusat hiburan di negeri itu sempena Ramadan.
Tindakan mengubah pendirian itu hanyalah contoh kecil bagaimana Pas kini sanggup mengorbankan apa sahaja demi kepentingan politik merebut kekuasaan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Hakikatnya, perubahan keputusan yang dibuat tidak sampai 24 jam itu juga adalah antara beberapa tindakan ‘aneh’ Pas dalam politik sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
Dalam perbualan penulis dengan beberapa penyokong Pas, mereka yang semakin tidak berpuas hati dengan corak kepimpinan dan hala tuju parti itu menggariskan beberapa tindakan Pas yang mereka lihat semakin ‘aneh’.
Keadaan itu berlaku kerana Pas kini sudah benar-benar beriltizam untuk berkongsi kuasa memerintah negara bersama-sama dengan PKR dan DAP, biar pun terpaksa mengorbankan prinsip perjuangan sendiri.
Berikut penulis paparkan beberapa tindakan dan sikap Pas yang dianggap ‘aneh’ dan tidak lagi mencerminkan perjuangan dan identiti parti itu sebagai pejuang Islam – satu pendekatan yang suatu ketika dulu membantu Pas sampai ke tahap sekarang.
* Mengubah haluan Perjuangan – jika suatu ketika dulu Pas begitu beria-ia hendak menubuhkan negara Islam tetapi kini ia sudah berubah kepada negara berkebajikan.
Perubahan dasar ini menurut sumber dilakukan kerana kepimpinan Pas percaya perjuangan menegakkan negara Islam akan membantut impian parti itu untuk berkuasa bersama-sama PKR dan DAP.
Apatah lagi Pas memahami bahawa DAP sejak dulu lagi memang menentang keras penubuhan negara Islam dan ia sekali lagi ditegaskan oleh DAP melalui Pengerusinya, Karpal Singh dalam isu pusat hiburan di Kedah baru-baru ini.
Oleh itu bagi menjaga hati dan memastikan perjuangan negara Islam tidak menjadi duri dalam daging bagi hubungan di kalangan pakatan pembangkang maka perubahan dasar perjuangan pun dilakukan kepada negara berkebajikan.
* Semakin terhakisnya kepimpinan ulama – Keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini sudah menampakkan dengan jelas bahawa keyakinan sebahagian besar penyokong Pas bahawa golongan ulama boleh membawa parti ke puncak kuasa semakin pudar.
Oleh itu mereka membuat keputusan memberi kemenangan kepada bukan ulama untuk menduduki jawatan-jawatan penting, biar pun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah seorang ulama.
Malahan pemimpin Pas termasuk Abdul Hadi sendiri tanpa berselindung menegaskan kepimpinan yang terpilih adalah barisan pilihan raya.
Ia seolah-olah menggambarkan perasaan putus asa di kalangan sesetengah pemimpin dan ahli Pas untuk menaruh harapan kepada golongan ulama bagi mengarak panji-panji parti itu meraih kemenangan menawan Putrajaya bersama-sama PKR dan DAP.
Ketika ini sudah tidak ada lagi perhitungan apatah lagi perasaan membelek kembali sejarah bagaimana Pas ditubuhkan dan siapakah yang bertanggungjawab meletakkan parti itu pada tahap sekarang.
* Menolak kerjasama dengan UMNO tetapi sedia ‘tunduk’ kepada DAP. - Sejarah perjalanan politik negara sudah membuktikan bagaimana pemimpin dan ahli Pas menolak sebarang kerjasama dengan UMNO biar pun demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.
Sebaliknya, Pas bukan sahaja membuka pintu seluas-luasnya untuk menjalin kerjasama politik dengan PKR dan DAP tetapi juga bersedia ‘tunduk’ dengan kehendak kedua-dua parti berkenaan.
Semua itu berlaku kerana berdasarkan kepada pilihan raya umum 2008, Pas terlalu yakin kedudukan pembangkang kini semakin kukuh dan mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
Namun Pas sama sekali tidak mahu memikirkan bagaimana dalam kerjasama itu parti lebih banyak ruginya daripada untung.
Malahan walaupun Pas turut berkongsi kuasa di Selangor dan Pulau Pinang namun Pas tidak ada suara untuk menegakkan perjuangan berlandaskan Islam.
Ia kerana di kedua-dua negeri itu segala-galanya ditentukan oleh DAP manakala Pas hanya mengikut sahaja.
* Bersikap ‘double standard’ - Walaupun sebagai sebuah parti Islam, Pas sepatutnya menegaskan yang benar itu benar yang salah tetap salah, namun dalam banyak perkara Pas lebih banyak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.
Ia jelas apabila Pas turut bermati-matian mempertahankan pemimpin-pemimpin pembangkang yang terlibat dalam masalah moral.
Biar pun bukti semakin jelas dan nyata namun demi kepentingan politik kekuasaan, Pas sanggup bersekongkol dan mengeluarkan pelbagai kenyataan demi mempertahankan golongan berkenaan.
* Membiarkan diri diperalat - Demi kepentingan politik kekuasaan juga, Pas sanggup diperalatkan oleh PKR dan DAP serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sehaluan dengan pembangkang.
Ia terbukti apabila Pas terlibat dalam demonstrasi haram bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Walaupun hakikatnya selama ini Pas sudah menang banyak kerusi termasuklah memerintah Kelantan sejak 21 tahun lalu, di Terengganu selama sepenggal dan kini di Kedah melalui satu pilihan raya yang telus dan adil, namun Pas tetap mahu bermain politik.
Justeru Pas bersedia berganding bahu dengan Pengerusi pertubuhan haram Bersih, Datuk S.Ambiga yang suatu dulu ditentang oleh parti itu kerana cuba menggugat kesucian agama Islam.
Tetapi Pas bersedia memaafkan Ambiga dengan menurunkan penyokong-penyokongnya ke jalanan. Jumlah penyokong Pas lebih ramai berbanding PKR dan DAP. Kedua-dua parti itu sememangnya bergantung kepada Pas sama ada dalam pilihan raya mahupun demonstrasi.
Demikianlah beberapa perkara berkaitan perjalanan politik Pas yang semakin aneh dari semasa ke semasa dan ia diketengahkan oleh kalangan mereka sendiri.
Sebagai kesimpulan fikir-fikirkanlah apa yang dicoretkan oleh seorang penyokong Pas dalam sebuah blog yang menyokong parti berkenaan.
Antara lain individu tersebut bertanya;
‘‘Kenapa Pas dah lari daripada matlamat dan perjuangan yang asal? Mana matlamat nak membentuk sebuah negara Islam? Apa yang dah berlaku?
‘‘Kenapa semuanya berubah bila bergabung dengan PKR? Adakah Islam digunakan sebagai alasan politik Pas semata-mata? DAP tetap dengan perjuangan mereka, perjuangan yg bertentangan dengan Pas, tetapi kenapa hingga hari ini Pas hanya tutup mata? Adakah ini semata-mata untuk meraih undi daripada kaum lain sehingga sanggup membelakangkan perjuangan asal… apa dah berlaku dalam Pas ni?
Terserahlah kepada pemimpin-pemimpin Pas menjawab persoalan ini, apa yang pasti pendekatan politik parti itu kini semakin merugikan mereka.
Oleh : Zulkiflee Bakar
Friday, July 22, 2011
Ungkapan Ini nyalakan Berahi Lelaki
MERASA tidak pandai merayu untuk menyenangkan pasangan saat di ranjang? Beberapa kalimat dijamin mampu menyalakan ghairahnya.
Lupakan sejenak soal senario rayuan yang menegangkan sekaligus memusingkan. Agenda ranjang tak memerlukan kalimat puitis untuk memenangi ghairah pasangan anda.
Kadang-kadang, satu-satunya hal yang dapat mengaktifkan ghairah lelaki hanyalah bermain suara anda dengan kalimat sederhana dan tepat. Ini beberapa kalimat untuk memastikan ghairahnya menyala malam ini…..
Jadikan malam ini sebagai malam istimewa bersamanya. Kejutkan dia dengan rencana tak terduga. Lakukan sesuatu perkara yang sedikit nakal. Bertinggunglah di bawah selimut dengan pasangan anda, lalu bermain bak anak-anak sambil menikmati sentuhan antara satu sama lain.
"Kamu kelihatan sangat menarik malam ini"
Tak perlu melayangkan pujian berlebihan. Katakan saja kalimat sederhana yang akan mendatangkan keajaiban bagi kepercayaan dirinya. Jika dia memang tampil lebih menarik dari biasa, tentu dia akan lebih percaya diri dan membuat prestasi ranjangnya kian memanas.
"Aku sangat bersyukur memilikimu"
Di tengah kesibukan di pejabat, ternyata dia masih menyediakan masa untuk memerhatikan buah hati. Tentu ini sebuah prestasi yang perlu dihargai. Ketika dia merasa diperlukan, ia pun jauh merasa lebih jantan. Dan, perasaan kejantanan pasti akan sangat ampuh memanaskan ghairahnya malam ini.
Kadang-kadang, lelaki hanya memerlukan kalimat sederhana untuk mengaktifkan ghairahnya. Jika ingin memenangi ghairahnya, biarkan dia tahu bahawa anda pun menginginkannya malam ini. Jaminan, dia akan terus bersiap sedia menyambut cabaran ranjang daripada anda.
Anonymous
Thursday, July 21, 2011
Inilah Padahnya Kalau Sudah Lembik!
Suasana di Malaysia sebenarnya tidak tenteram. Itu adalah kebenaran yang tidak boleh ditolak-tolak. Tak perlulah lagi berselindung dengan mengatakan negara berada dalam keadaan aman damai dan tidak ada sebarang ancaman yang sangat serius. Rakyat negara ini sedang berhadapan dengan bahaya yang lebih besar daripada serangan atau perbuatan pengganas komunis yang bermaharajalela menzalimi rakyat yang tidak menyokong mereka pada zaman darurat dahulu.
Ancaman terhadap keselamatan rakyat, bukan datangnya daripada organisasi pengganas seperti di negara-negara jiran, sebaliknya ancaman terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat datangnya dari dalama negara. Lebih tepat lagi dari kalangan orang politik yang sudah tidak sabar-sabar untuk menakluki dan menguasai Putrajaya.
Rakyat diperjudikan dengan pelbagai risiko semata-mata untuk memenuhi tembolok puak-puak ini. Dan pada masa yang sama, kerajaan yang dipilih oleh rakyat juga, memilih untuk menjadi popular dan sangat takut untuk mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan rakyat berlangsung tanpa sebarang cubaan mengganggu-gugatnya.
Sekarang, kita dapat melihat bagaimana para pemimpin Pakatan Rakyat menimbulkan pelbagai isu secara bebas dan tanpa rasa gerun sedikit pun kepada undang-undang. Mereka seperti golongan yang sudah tidak tertakluk dengan sebarang undang-undang di negara ini lagi. Dilarang memakai baju T kuning bertulis BERSIH, itu jugalah yang mereka pakai. Mereka sekadar dipanggil ke balai polis untuk memberi keterangan dan selepas itu dibebaskan, sebelum mengulanginya berkali-kali dan dengan penuh perasaan bongkak.
Anehnya, mereka ini adalah pemimpin. Malah sebahagian besar daripada mereka adalah wakil rakyat, sama ada yang berstatus ADUN mahupun Ahli Parlimen. Undang-undang negara ini bagi mereka hanyalah perkara yang boleh dibuat main-main. Secara tidak langsung, orang-orang politik ini telah mengajar rakyat agar jangan menghormati undang-undang dan boleh melanggarnya dengan sesuka hati.
Kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kesejahteraan rakyat adalah Kementerian Dalam Negeri. Bagaimanapun, selepas Kementerian Dalam Negeri dipegang oleh bekas Perdana Menteri yang lalu, pelbagai kelembikan, pelbagai kelemahan dan pelbagai pencerobohan dilakukan tanpa sebarang undang-undang, meskipun dia sangat terkenal dengan ungkapan, ‘Saya Pantang Dicabar!’.
Dan jejak langkahnya diikuti pula oleh menteri yang ada sekarang.
Apabila KDN menguatkuasakan undang-undang yang sudah lama terpakai terhadap penerbitan majalah, akhbar, tabloid dan sebagainya, orang yang paling kuat melenting adalah Lim Kit Siang. Sebelum ini, puak-puak Kit Siang jugalah yang mahukan Akta Percetakan, Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri dihapuskan kerana kononnya negara sudah maju dan akta-akta atersebut dilihat sebagai mengongkong perjalanan negara.
Kit Siang dalam perkembangan terbaru memperolok-olokkan tindakan KDN menapis dan menyaring artikel daripada majalah Economist yang menurutnya menjadi bahan lawak jenaka seluruh dunia. Pada masa yang sama, Kit Siang menyarankan Hishamuddin digantikan dengan orang lain di KDN yang lebih bermaklumat dan lebih berkaliber untuk menjalankan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri!
Dan sebenarnya kata-kata Kit Siang tentang Hishamuddin Hussein Onn ada benarnya. Hishamuddin dilihat tidak berkemampuan langsung untuk menggalas tugas selaku Menteri Dalam Negeri. Terlalu lambat bertindak. Terlalu playsafe. Terlalu tidak mengambil berat dan terlalu memandang ringan.
Contoh terbaik adalah tentang masalah kad pengenalan di Sabah yang sehingga kini menjadi api dalam sekam. Aduan serta kemarahan penduduk Sabah tentang kad pengenalan palsu yang sewenang-wenangnya boleh diperolehi dari tangan pendatang asing, terutama dari Filipina, langsung tidak dipedulikan.
Dan sehingga kini, tiada sebarang tindakan yang lebih berkesan digunakan atau diambil untuk menangani masalah tersebut. Menteri Dalam Negeri seperti sudah pekak dan tuli.
Keselamatan negara sebenarnya sedang terancam kerana negara ini sedang ditadbir oleh pembesar-pembesar yang tidak hidup dengan suasana Malaysia, tetapi sebaliknya hidup dengan dunia halimunan dan balan-balan yang berterbangan!
Sumber : http://www.rontogdaily.com
Wednesday, July 20, 2011
Wira Yang Tidak Didendang
HARI Sabtu 9 Julai lalu sepatutnya menjadi hari santai untuk berkumpul bersama keluarga, saudara mara dan sahabat handai setelah lima hari penat bekerja.
Malah, ada yang memilih hari itu untuk mengadakan majlis kahwin, sambutan ulang tahun, majlis amal dan pelbagai lagi acara santai untuk mengeratkan hubungan sesama insan.
Bagaimanapun, tanggal itu, orang ramai meluahkan rasa kecewa dan marah apabila majlis dan program yang dirancang rapi beberapa bulan lalu, akhirnya 'rosak' kerana tiada jemputan yang hadir.
Semuanya gara-gara kedegilan, keangkuhan dan sikap mementingkan diri pihak penganjur perhimpunan haram diketuai Datuk S. Ambiga yang meneruskan rancangan untuk berarak dan berhimpun secara haram di sekitar ibu negara.
Secara hipotesisnya, mereka sedia maklum jalan-jalan menuju Stadium Merdeka telah disekat selepas pihak polis mengesahkan tiada permit diluluskan untuk perhimpunan tersebut. Hipotesis kedua, segala strategi yang diatur rapi tersebut adalah semata-mata untuk mempengaruhi orang ramai bahawa ideologi mereka 'paling benar' selain untuk mendapat publisiti serta menunjukkan pengaruh, kekuatan kepada pihak berkuasa.
Hipotesis ketiga, penganjur perhimpunan haram tersebut merancang untuk ditahan bagi menunjukkan kekejaman pihak berkuasa dan menimbulkan kemarahan orang ramai kepada kerajaan.
Percaturan dan permainan psikologi mereka sudah dikesan awal oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga semua lokasi strategik dikawal rapi selain mengadakan sekatan membabitkan hampir 60 jalan raya utama ke pusat bandar.
Walaupun tanpa sebarang publisiti, pujian atau ucapan terima kasih yang menggunung tinggi, pihak polis tetap terus berdiri dalam apa jua keadaan mempertahankan tanah air tercinta daripada sebarang ancaman dan anasir yang boleh mengganggu gugat ketenteraman negara.
Hakikatnya, pejuang yang tidak dijulang itu telah berjaya melumpuhkan agenda berbaur politik dan campur tangan pihak luar penganjuran perhimpunan haram sejak berbulan-bulan direncanakan itu dalam tempoh tidak sampai enam jam.
Sepanjang perhimpunan itu, anggota polis yang ditugaskan mengawal keselamatan di Dataran Merdeka dan Stadium Merdeka banyak bersabar, meskipun mereka dihamburkan dengan kata-kata kesat oleh penunjuk perasaan.
Malah, juga perlu ingat, kebanyakan anggota dan pegawai polis yang terlibat, baik Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota dan pegawai polis biasa bertugas bukan sahaja bertugas pada tarikh 9 Julai sahaja.
Sebaliknya, mereka mula sibuk sejak petang Jumaat 8 Julai itu sehingga membawa ke awal pagi Ahad iaitu 10 Julai.
Tanpa mengharap sebarang balasan dan ucapan terima kasih, pejuang negara itu berdiri teguh dalam keadaan sejuk, panas dan dibasahi hujan seawal pukul 5 pagi di semua jalan utama menghala ke pusat bandar sehingga misi selesai.
Pihak polis bukan sahaja berjaya mengawal kesejahteraan tanah air, malah jumlah sokongan peserta tidak sampai sasaran sebenar iaitu 300,000 seperti yang dicanang pihak penganjur kerana yang hadir cuma 10,000 orang.
Jika diberi perbandingan matematik mengikut populasi penduduk Malaysia yang mencecah 27 juta dan jumlah sokongan Bersih, jelas membuktikan lebih 90 peratus rakyat negara ini mengambil keputusan untuk tidak terlibat dengan perhimpunan haram itu. Dalam erti kata lain ia adalah satu kejayaan besar pihak berkuasa.
Kebijaksanaan wira negara ini dalam mengawal keadaan sekali gus menyekat perhimpunan haram itu dilangsungkan wajar mendapat pujian.
Mereka dicaci kumpulan penunjuk perasaan, namun masih bersabar. Tindakan hanya diambil apabila kumpulan perusuh itu enggan bersurai apabila diarahkan.
Malah, semua penunjuk perasaan yang ditahan untuk dirakamkan percakapan diberi kemudahan menunaikan solat dan dijamu makanan ketika berada di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak.
Ia bukan satu perkara mudah untuk dilaksanakan. Namun, berbekalkan ketahanan mental dan fizikal serta perancangan rapi daripada pihak pucuk pimpinan dan semua warga PDRM telah membuktikan barisan pertahanan negara mampu menangani segala situasi pada hari tersebut.
Ini terbukti tiada satu lokasi yang dirancang oleh pihak penganjur tidak diberi kawalan keselamatan dan pemantauan sewajarnya, sehingga berjaya melumpuhkan misi perhimpunan haram itu.
Sebagai menghargai jasa PDRM, seluruh rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih kepada mereka. Walaupun ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan tindakan anda, namun anda tetap wira yang tidak didendang.
Tuesday, July 19, 2011
Kaji Jual Saham Syarikat Berkaitan Kerajaan
KERAJAAN perlu mengkaji semasak-masaknya sebelum melupuskan 23 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai tahun ini dan tahun depan. Bilangan ini adalah sebahagian daripada 33 GLC yang dikenal pasti oleh kerajaan bagi rasionalisasi GLC.
Pelupusan GLC seharusnya mengambil kira kriteria pegangan bumiputera dalam sektor ekonomi. Melupuskan pegangan GLC merupakan satu tindakan yang boleh mengurangkan pegangan kaum bumiputera dalam ekonomi.
Ini kerana kaum bumiputera yang merupakan pemegang saham utama GLC sama ada menerusi individu mahupun melalui institusi-institusi pelaburan seperti Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Merasionalisasikan GLC boleh menambahkan kecairan di pasaran modal, namun tindakan ini hanya memberi kesan jangka pendek berbanding jangka panjang.
Hujahnya, ketidaktentuan ekonomi dunia yang masih lagi tidak boleh dipandang sepi. Malahan, krisis ekonomi yang berlaku pada 2007 masih berlanjutan.
Tidak mustahil juga, krisis ekonomi terbaru akan melanda ekonomi dunia dan Malaysia tidak terkecuali akan menerima tempiasnya.
Satu lagi perkara yang cukup penting, pegangan kerajaan ke atas saham-saham GLC yang terlibat dengan perniagaan strategik seperti tenaga, perbankan dan telekomunikasi seharusnya dikekalkan.
Ini kerana, perniagaan-perniagaan ini merupakan perniagaan teras ekonomi Malaysia dan ia juga melibatkan keselamatan negara.
Namun, jika kerajaan masih memikirkan pelupusan GLC boleh memberi manfaat kepada keseluruhan ekonomi Malaysia, penulis ingin mencadangkan agar tidak kesemua 23 GLC dijual.
Jumlah 23 GLC yang ingin dijual merupakan satu jumlah yang cukup besar. Lihatlah kesannya terlebih dahulu kepada ekonomi negara. Dikhuatiri nanti penjualan GLC secara besar-besaran tidak memberi manfaat kepada ekonomi negara.
Tidak kurang juga, wang yang diperolehi hasil daripada penjualan pegangan GLC sewajarnya digunakan untuk membeli syarikat-syarikat berkualiti di Malaysia.
Satu perkara yang menarik mengenai syarikat-syarikat di Malaysia adalah kebanyakannya dikategorikan sebagai milik keluarga. Penulis berpendapat, syarikat senaraian awam yang dimiliki keluarga dibuka seluas-luasnya kepada kaum bumiputera dengan mengehadkan pegangan ahli keluarga.
Ini seterusnya membeli ruang kepada kaum bumiputera memasuki perniagaan yang dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu.
Selain itu, penulis mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu dasar ekonomi bumiputera dalam tempoh 10 tahun mendatang dan dasar ini mestilah mengambil kira aspek kemapanan.
Begitu juga, dasar ini mestilah jelas, terperinci dan telus serta melibatkan keseluruhan kaum bumiputera di Malaysia. Dasar ini merangkumi agenda-agenda ekonomi berteraskan kekuatan kaum bumiputera.
Umpamanya, segala bantuan diberikan kepada keseluruhan rantaian nilai ekonomi bumiputera terutamanya melibatkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Dengan cara ini, tidaklah hanya segelintir golongan bumiputera yang mengecapi kenikmatan bantuan daripada kerajaan.
Sebab itulah ada kebenarannya bagi golongan yang berpendapat Program Keusahawanan Bumiputera yang bakal diumumkan penubuhannya pada 21 Julai ini dikhuatiri boleh mencetuskan monopoli dan tidak telus.
Justifikasinya ia tidak diuar-uarkan kepada semua golongan yang terlibat. Siapakah yang terpilih umpama satu rahsia besar. Adakah sudah ada perbincangan secara terbuka dengan pihak-pihak berkenaan terutama dengan persatuan-persatuan peniaga bumiputera?
Di sini pertimbangan ekonomi bumiputera melebihi pertimbangan perkara-perkara lain. Ambil kira juga kesilapan-kesilapan yang terdahulu seperti banyak projek bumiputera dialibabakan kepada kaum lain.
Perlu diingat, kajian mendalam mengenai ekonomi bumiputera tidak langsung mendatangkan manfaat jika cara pelaksanaan masih boleh memberi ruang untuk dimanipulasikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
Natijahnya sampai bila-bila pun ekonomi Bumiputera tidak mampu duduk sebaris dengan ekonomi kaum bukan bumiputera.
Satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan ialah hak eksklusif sewajarnya disebarkan untuk keseluruhan eko-sistem ekonomi bumiputera.
Hindarilah campur tangan tangan-tangan ajaib yang sebenarnya kita semua maklum, kesan jangka panjang boleh memudaratkan ekonomi bumiputera. Inilah yang dikatakan sebagai ketelusan dan keadilan yang saksama.
Bantulah syarikat-syarikat bumiputera dan individu-individu yang berpotensi tinggi. Pengukurannya mestilah jelas mengikut hala taju dasar ekonomi bumiputera. Justeru, bukalah pintu seluas-luasnya kepada keseluruhan eko-sistem ekonomi bumiputera agar komuniti bumiputera mendapat manfaatnya secara holistik.
Dengan cara ini, komuniti bumiputera tidak perlu lagi khuatir meskipun kerajaan bercadang untuk menjual saham GLC kepada kaum lain.
Oleh : Rohami Shafie
Monday, July 18, 2011
Bahaya Neokomunisme Bercampur-Baur
KOMUNISME adalah satu ideologi dunia yang kini cuba diberi wajah baru oleh pendukungnya. Di negara di mana perjuangan komunis pernah mengalami kegagalan bukanlah jaminan bahawa fahaman terbabit sudah berkubur sama sekali. Komunisme hari ini cuba direformasikan semula mengikut perubahan zaman. Ia disebut sebagai neokomunisme. ‘Neo’ bermaksud gaya baru atau bentuk baru. Jadi, neo-komunisme itu adalah bentuk baru dari komunisme asal yang dituliskan oleh Karl Marx (1818-1883) dan Frederich Engels (1820-1895). Satu perbahasan menarik mengenai neokomunisme ialah wujudnya konsep ‘demokrasi komunis’. Namun, konsep demokrasi komunis lebih menekankan pada elemen substantif. ‘Demokrasi’ menurut komunis bermaksud mewujudkan ‘kepentingan terbaik’ bagi masyarakat. Bagi komunis ‘kepentingan terbaik’ itu adalah komunisme yang dapat mengakhiri penguasaan kapitalisme (William Ebestein, 1998).
Bagi komunis, mereka yang mengetahui ‘kepentingan terbaik’ untuk rakyat ialah minoriti kecil yang berkuasa dalam parti komunis. Justeru, dalam sistem komunis tidak wujud parti pembangkang kerana komunis adalah parti tunggal yang dianggap paling benar.
Di Indonesia gerakan neokomunisme dapat dikesan ketika Pilihan Raya Umum (Pemilu) 1999 dan 2004. Mereka cuba mengambil bahagian dalam sistem pilihan raya tetapi cubaannya itu tidak berhasil kerana masyarakat Indonesia tidak dapat menerima fahaman berjalur komunisme walaupun mereka cuba bertopengkan demokrasi.
Perlu diingat ketika era perjuangan komunis di Tanah Melayu dulu, pejuang komunis di Indonesia turut memasuki Tanah Melayu secara sulit dan membantu rakan komrad mereka di Tanah Melayu. Mereka digunakan untuk menarik sokongan orang Melayu. Justeru, tidak mustahil sejarah akan berulang kembali, apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan ini.
Di Eropah, parti berfahaman komunis mendapat sokongan tidak kurang 10 peratus. Oleh itu, tidak mustahil ejen neokomunisme antarabangsa berusaha gigih untuk menyuntik fahaman ini secara halus, terutama di negara di mana fahaman komunis pernah cuba diperjuangkan termasuk di tanah air kita sendiri. Buktinya, dalam kekalutan golongan tertentu untuk menganjurkan himpunan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), pihak keselamatan dapat menghidu penyusupan aktivis komunis luar yang turut memberikan sokongan kepada perhimpunan itu.
Penahanan ke atas mereka yang disyaki berfahaman komunis dari luar negara dan juga penahanan aktivis sosialis dalam negara membuktikan masih ada usaha pihak tertentu untuk menyemai elemen subversif di negara ini. Justeru, kebimbangan terhadap kembalinya fahaman komunis di tanah air ada asasnya. Ia bukan satu tuduhan melulu kerajaan.
Pendekatan mereka amat licik sehingga mereka yang terpengaruh dengannya tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya terperangkap dalam jerat anasir subversif itu. Pejuang neokomunisme gemar mewacanakan isu yang kononnya akan mereka perjuangkan untuk masyarakat marhaen yang kononnya diabaikan oleh kerajaan. Di antara dakyah gerak sarafnya ialah cuba menggambarkan bahawa kerajaan mengutamakan kapitalis walaupun pada realitinya kerajaan membawa program pembangunan yang meluas untuk rakyat dan negara.
Di Indonesia, ia disebarkan secara halus melalui forum dan diskusi tertutup serta program bedah buku dan penayangan filem berunsur perjuangan komunis. Hari ini penyebaran ideologi neokomunisme menjadi lebih mudah melalui jaringan media sosial. Di negara kita sendiri terdapat pelbagai media sosial yang memuatkan kritikan yang berunsur antifederalisme, antiraja berpelembagaan dan menghina Agong dan raja-raja. Mereka juga suka memperkecil-kecilkan pejuang tanah air yang banyak berkorban menentang kezaliman komunis.
Langkah pertama dalam pendekatan neokomunisme ialah mereka juga akan turut sama memperjuangkan hak kebebasan walaupun komunis sebenarnya antihak kebebasan. Tujuan sebenarnya adalah mereka mahu mengambil kesempatan untuk menyuntik fahaman komunisme secara halus sehinggalah akhirnya rakyat secara tidak sedar akan menyokong perjuangan mereka.
Satu lagi fahaman yang berkembar dengan komunisme ialah sosialisme. Bagi komunis masyarakat sosialis adalah tahap awal ke arah mewujudkan sebuah negara komunis. Justeru, dalam bukunya Manifesto Komunis, Karl Marx mengarahkan supaya semua komunis di seluruh dunia mengasaskan fahaman sosialisme kerana mewujudkan masyarakat sosialis adalah laluan penting ke arah mencipta masyarakat dan negara komunis.
Hari ini kita dapati suara sosialisme turut berkumandang di celah-celah suara yang memperjuangkan hak kebebasan. Peliknya, sejak PAS menyuarakan konsep ‘negara kebajikan’, kita dapati beberapa tulisan oleh mereka yang berfikiran sosialis memuji dan menyokong usaha PAS itu sedangkan golongan sosialis berpandangan sistem ekonomi tidak ada kaitannya dengan agama. Pelbagai persoalan timbul di sini.
Apakah mereka berpendapat bahawa PAS sudah meninggalkan kerangka agama dalam perjuangannya sehingga bersedia untuk menyokong idea ‘negara kebajikan’ PAS itu? Dulu ketika PAS memperjuangkan negara Islam mereka menentang habis-habisan. Mungkinkah mereka berpendapat apa yang diusulkan PAS itu selari dengan perjuangan sosialis? Tulisan mereka itu dimuatkan di beberapa akhbar tabloid dan media sosial yang pro pembangkang.
Melihat kepada situasi sekarang, gerakan neokomunisme seolah-olah berjaya mencampurbaurkan pelbagai kelompok ideologi politik di bawah BERSIH 2.0 dengan berselindung di sebalik tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Saya bukanlah anti kepada perhimpunan aman tetapi pada hemat saya, melalui perhimpunan seperti itulah mereka akan mengambil kesempatan menyemai fahaman radikal dan revolusioner.
Melalui cara ini juga mereka akan berusaha menyemai bibit pertentangan antara kerajaan dan rakyat. Ini bermakna teori pertentangan kelas cuba diaplikasikan oleh neokomunisme dalam masyarakat kita. Apabila sampai ke satu tahap di mana rakyat dan kerajaan sentiasa bertentangan atau berkonflik maka mudahlah bagi mereka memperoleh kekuatan dari akar umbi (rakyat) untuk menyokong tindakan radikal mereka bagi menggulingkan kerajaan.
Oleh : Mohd Ayop Abd Razid
Sunday, July 17, 2011
DAP Lebih Berprinsip Berbanding Pas
SELAMA ini sudah banyak pihak yang beranggapan bahawa Pas tidak akan memperolehi apa-apa keuntungan dalam kerjasamanya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Pas hanyalah pak turut kerana apa juga yang mereka lakukan harus mendapat restu kedua-dua parti tersebut terlebih dahulu. Tetapi Pas menafikan tanggapan berkenaan dan menganggap teguran seumpama itu hanyalah bertujuan untuk memecah belahkan kerjasama dengan pakatan pembangkang.
Bagaimanapun, isu Kerajaan Pas Kedah melarang 13 jenis pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan nanti sekali lagi menjadi bukti bahawa Pas tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam apa juga perkara, termasuk di Kedah - biar pun menjadi peneraju pemerintahan.
Sebaliknya DAP melalui Pengerusinya, Karpal Singh menggesa Pas menarik balik larangan berkenaan kerana menganggap kerajaan Pas Kedah tidak boleh bertindak sendiri dan membuat keputusan yang memberi kesan terhadap ahli-ahli parti komponen dalam pakatan pembangkang.
Malahan Karpal secara jelas menyatakan bahawa, ‘‘DAP tidak akan mengenepikan prinsip-prinsip perjuangannya dan parti itu berada di barisan depan sejak dahulu lagi dalam menentang hasrat Pas menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.’’
Kenyataan itu jelas menunjukkan ketegasan DAP yang akan menentang apa sahaja usaha Pas untuk melaksanakan peraturan Islam. Kita juga tidak harus lupa bagaimana DAP yang turut memerintah Selangor bersama PKR dan DAP menentang keputusan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka yang dibuat oleh exco kerajaan negeri daripada Pas, hinggakan arak yang dirampas dikembalikan berikutan tekanan DAP.
Pas tidak perlu kesal dengan sikap DAP kerana mereka yang membuat keputusan untuk terus bekerjasama dengan parti berkenaan demi kepentingan politik kekuasaan. Sebab itulah Pas sanggup menggugurkan perjuangan negara Islamnya dan digantikan dengan negara berkebajikan.
Pengguguran itu dilakukan kerana Pas adalah parti yang sanggup menggadaikan prinsipnya berbanding DAP yang sudah menegaskan tidak akan mengenepikan prinsip perjuangannya. Pas sedar selama ini perjuangan negara Islam telah menjadi bagaikan ‘duri dalam daging’ kepada hubungan dengan PKR dan DAP.
Gugur
Sebab itulah pada 25 Jun 1999, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyatakan bahawa, ‘‘Pas Sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu, setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan tak apa...”
Ertinya sejak dulu lagi sudah ada kecenderungan di kalangan pemimpin Pas untuk tidak akan bersungguh-sungguh mempertahankan perjuangan Islam mereka.
Apa yang mereka buru dan kejar ialah merebut kekuasaan melalui cara menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hasil kerjasama dalam pakatan pembangkang.
Bagi Pas, dalam tindakan apa sekali pun, segala-galanya berpaksikan kepada keuntungan politik, sebab itulah dalam isu perhimpunan haram Bersih, seorang penyokong Pas menulis dalam blognya bahawa, ‘‘Ana (saya) dah kata, siapa yang mulakan perjuangan tak penting. Agama Ambiga tak penting. Siapa Ambiga tak penting. Yang lebih penting adalah sama ada ia membawa keuntungan politik kepada Pas atau tidak. Itu lebih penting.’’
Sentimen inilah yang memungkinkan DAP tidak mempunyai rasa hormat kepada Pas sehingga bersedia menentang apa sahaja usaha Pas untuk menegakkan syariat Islam.
Penentangan terhadap keputusan Kerajaan Pas Kedah itu sudah menjadi bukti sikap sebenar DAP terhadap Pas. Biarpun selama ini Pas begitu menjaga hati DAP dan PKR tetapi kedua-dua parti itu tidak pernah mahu menghormati apa juga pendirian Pas.
Sepatutnya, DAP menghormati keputusan Kerajaan Pas Kedah yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Sebagai peneraju utama, Pas berhak membuat apa juga keputusan kerana yang memerintah itu adalah Pas bukannya DAP.
Namun DAP tidak mempunyai perasaan hormat tersebut kerana memahami Pas tidak akan mampu melawan kehendak mereka, sebaliknya akan mengikut sahaja.
Dan ternyata DAP benar dalam percaturan politik mereka, apabila Kerajaan Pas Kedah bersedia membincangkan semula keputusan larangan berkenaan dengan alasan demi kebaikan semua pihak.
Semua orang faham kenapa Azizan terpaksa mengubah fikiran, apatah lagi selepas pemilihan parti itu baru-baru ini, golongan yang menyanjung kerjasama dengan PKR dan DAP cukup ramai.
Kini kita mahu mendengar apa pula kata Dewan Pemuda Pas Pusat yang sebelum ini cuba mengalih isu dengan mencabar UMNO menyatakan pendirian berhubung penentangan MCA dan Gerakan dalam kes yang sama.
Hakikatnya, UMNO tidak perlu campur tangan kerana itu urusan kerajaan negeri pimpinan Pas dengan rakan sekutunya, DAP. Kenapakah Pemuda Pas hanya berani mencabar UMNO? Kenapakah Pemuda Pas yang dilihat semakin tidak konsisten dalam perjuangannya tidak berani menegur DAP? Sepatutnya, Pemuda Pas membantah sikap DAP bukannya cuba menyeret pihak lain dalam kemelut tersebut.
Mungkin Pemuda Pas juga amat memahami bahawa mereka tidak ada kekuatan menentang DAP. Dalam bahasa mudah bagi Pemuda Pas ‘‘mengalah dengan DAP, tak apa tetapi jangan sesekali tunduk kepada UMNO.’’
Namun Pas tidak perlu bermuram durja dengan telatah DAP kerana Pas kini adalah pejuang negara berkebajikan bukannya negara Islam, maka dengan perubahan dasar perjuangan itu maknanya segala keputusan boleh diubah bila-bila masa asalkan ia menguntungkan politik Pas.
Zulkiflee Bakar - utusan malaysia
Subscribe to:
Posts (Atom)