Wednesday, February 24, 2021

Tanah Rizab Melayu, Hamidah Mahu Jumpa MB

IPOH: Bersemuka dengan Menteri Besar, itu jalan terbaik bagi menjelaskan isu sebenar mengenai dakwaan berlaku penyelewengan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dikatakan ‘sudah selesai’.

Itu pendirian Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berikutan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berhubung isu tanah rizab Melayu berkeluasan 641.6 hektar di Perak.

Menurut Hamidah, beliau sedia bersemuka pada bila-bila masa dengan Saarani untuk menjelaskan mengenai dakwaannya serta bukti-bukti dimilikinya.

Malah kata Hamidah, lebih baik jika pertemuan beliau dengan Menteri Besar turut dihadiri Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

“Kalau Menteri Besar bersedia untuk berjumpa saya, saya sedia pada bila-bila masa. Saya sangat berbesar hati jika Menteri Besar mahu berjumpa untuk saya berikan penjelasan mengenai dakwaan tersebut.

“Menteri Besar perlu diberikan penjelasan dan tidak hanya mendengar penjelasan daripada pihak PTG, saya ada dokumen yang cukup untuk buktikan. Beri peluang saya jelaskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, kesediaan beliau berjumpa Saarani disebabkan kecewa terhadap kenyataan ‘kononnya’ perkara itu sudah selesai.

“Saya kecewa sebab saya jangkakan Menteri Besar akan mengambil berat perkara ini. Isu ini sensitif kepada orang Melayu,” katanya.

Menurut Hamidah, walaupun Menteri Besar berkata, perkara itu sudah selesai, beliau tetap akan memfailkan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat ini.

“Bagi saya ia belum selesai. Lagipun saya sudah menunggu terlalu lama dan saya tengok Menteri Besar pun tak berminat, jadi saya buat tindakan ini,” katanya.

Hamidah berkata, walaupun tanah berkenaan masih berstatus tanah rizab Melayu, tapi ia kini dimiliki orang bukan Melayu.

Hal itu katanya, jelas membuktikan isu tersebut belum selesai kerana bertentangan dengan Enakmen Rizab Tanah Melayu serta Akta Kanun Tanah Negara.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment