Monday, February 1, 2021

Pelan Lindungi Tanah Rizab Melayu

TANAH Rizab Melayu hilang. Itu tajuk utama yang terpampang di dada akhbar ini minggu lalu. Seluas 641.6 hektar tanah berkenaan dilaporkan diseleweng kepada bukan Melayu di Sitiawan, Perak.

Dikatakan juga perbuatan itu ada kena mengena dengan salah guna kuasa yang dilakukan pegawai kerajaan.

Benar atau tidak dakwaan tersebut? Siasatan secara terperinci perlu dijalankan. Bukan setakat menyangkal.

Bagaimana cara terbaik melindungi tanah-tanah berkenaan daripada terus bertukar milik kepada bukan Melayu? Tanah Rizab Melayu diperkenalkan British pada 1913 dengan penguatkuasaan

Enakmen Rizab Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu. Sir Brockman yang mewakili British menyatakan enakmen itu bertujuan melindungi tanah milik Melayu daripada dijual kepada bukan Melayu.

Mengikut prinsip-prinsip asas, undang-undang memandu, menghukum dan juga melindungi tindakan yang dilakukan. Apabila hukum ‘sebab dan akibat’ menyatakan bahawa undang-undang tidak lagi memberi implikasi yang positif (malah mungkin negatif), maka undang-undang berkenaan sudah tidak lagi memainkan peranan diharapkan. Justeru, peruntukan sedia ada perlu disemak semula, dipinda atau dimansuhkan dengan perundangan baharu.

Apabila sesuatu undang-undang telah lapuk, kajian semula perlu dilakukan. Begitulah juga dengan Enakmen RIzab Melayu yang sudah melebihi 100 tahun yang dianggap sudah lapuk dan ketinggalan arus pembangunan.

Jadi, apabila Ta­nah Rizab Melayu telah ditukar milik kepa­da bukan Melayu, maknanya undang-undang Enakmen Rizab Melayu 1913 tidak lagi dapat melindungi kepentingan hartanah yang hendak dilindungi.

Ketika menggubal Enakmen Rizab Melayu 1913, Sir Robert Maxwell, iaitu Residen British di Tanah Melayu ketika itu menyatakan bahawa Tanah Melayu mesti diperintah seperti mereka memerintah India.

Persoalannya, adakah Tanah Melayu serupa daripada semua aspek dengan India ketika itu? Adakah Enakmen Rizab Melayu masih terpakai dan relevan sekarang?

Sebenarnya, sebahagian daripada pentadbir British kurang setuju dengan cadangan yang mengawal dan menyisihkan tanah-tanah rizab Melayu daripada pasaran sebenar. Mereka percaya kepada sistem ekonomi laissez faire iaitu pasaran bebas supaya tanah-tanah dapat dimajukan pada tahap ‘tertinggi dan terbaik’.

Akibat pengasingan Tanah Rizab Melayu daripada pasaran terbuka, harga tanah-tanah yang dikawal di bawah Enakmen Rizab Melayu ‘terkunci’ dan nilainya ‘terpenjara’ iaitu lebih rendah daripada pasaran terbuka. Akibat pasaran yang mengecil apabila orang Melayu secara umumnya dikatakan mempunyai kuasa beli yang lebih rendah di pasaran.

Menurut Hernando de Soto, seorang pengkaji di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tanah pribumi mempunyai modal beku yang sukar dicairkan. Proses pencairan atau pembangunan perlu dilakukan berhati-hati bagi menambah nilai yang ‘terpenjara’ dan ‘membeku’ sekian lama. Beliau merujuk halangan pembangunan dihadapi tanah Red Indian, Maori, Aborigin dan pribumi di seluruh dunia.

Jadi, apakah pilihan yang ada untuk mengekang pindah milik tanah Rizab Melayu kepada bukan Melayu? Sekiranya semakan semula Enakmen Rizab Melayu perlu dilakukan bagaimanakah cara yang terbaik? Walau apapun tindakan diambil, perubahan yang dilakukan perlu mengambil kira kesan pada masa depan. Dalam konteks ini, Kajian Penilaian Impak Perundangan (RIA) boleh dilakukan dengan merujuk apa yang akan terjadi sesudah perubahan undang-undang.

Begitu juga dengan Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) yang boleh dilakukan untuk mengetahui impak perubahan itu terhadap sosio-ekonomi pihak-pihak berkepentingan.

Sebarang pindaan, semakan, mengharmonikan atau memansuhkan Enakmen Rizab Melayu 1913 perlu dilakukan berhati-hati. Sekiranya kesannya dijangkakan negatif, tindakan mitigasi perlu dilakukan sebaik-baiknya. Lantaran, Pelan Induk Pembangunan Tanah Rizab Melayu (PIPTRM) boleh dilaksanakan dengan mengambil kira kedua-dua kajian berkenaan.

Kerangka PIPTRM bukan setakat mengandungi kedua-dua kajian itu, malah ia perlu mencakupi pelbagai aspek Tanah Rizab Melayu termasuklah pengurusan modal insan yang profesional, ekonomi dan sosial. Begitu juga cara menyeragamkan peraturan berkaitan pembangunan tanah rizab Melayu di seluruh negara bukan hanya di negeri.

Dalam aspek ini termasuklah takrif Melayu, prosedur pengurusan dan pentadbiran, menu pembangunan dan sebagainya. Juga, Tanah Rizab Melayu perlu diseragamkan daripada aspek nilai ekonomi dan pasarannya. Begitu juga dengan proses penggantian tanah rizab Melayu yang ‘hilang’ boleh digantikan semula melalui peruntukan bersesuaian. Oleh itu, penggubalan Akta Tanah

Rizab Melayu mampu mencakupi semua kepentingan dinyatakan tadi.

Dalam aspek pembangunan tanah, pajakan tapak jangka panjang boleh diperkenalkan. Pajakan ini (gound rent atau peppercorn rent) telah diperkenalkan di England beratus-ratus tahun dahulu.

Ia berjaya menambah nilai tanah dengan memajukan tanah kosong yang dibina bangunan akan dikembalikan kepada pemilik asal tanah apabila pajakan berakhir. Pemilik asal akan memperoleh pulangan kewangan setiap tahun.

Begitu juga pembangunan dengan cara wakaf. Sebagai contoh, wakaf digunakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebagai rakan kongsi melalui usahasama dengan bank dan pemaju membangunkan Taman Wakaf Seetee Aisah. Dengan cara ini, dapat menyelesaikan masalah pemilikan bertindih, kekurangan modal kewangan, risiko pembangunan dan sebagainya.

Oleh itu, sudah sampai masa­nya, Pelan Induk Pem­bangunan Tanah Rizab Melayu (PIPTRM) bersepadu diwujudkan demi memajukan tanah-tanah berkenaan dan melindunginya daripada terlepas ke tangan orang lain.

Oleh: Profesor Dr. Ismail Omar

No comments:

Post a Comment