Thursday, February 18, 2021

Henti Guna Istilah Kerajaan PN Atau PH, Sebut Kerajaan Malaysia

BANGI – Semua pihak khususnya Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) diminta menghentikan mengguna istilah kerajaan yang merujuk parti memerintah.

Pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, negara hanya mempunyai Kerajaan Malaysia dan negeri sahaja, bukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PN dan PH hanyalah parti pemerintah, dan mana-mana parti politik yang mengetuai pentadbiran negara adalah Kerajaan Malaysia.

“PN atau PH tidak boleh memiliki kerajaan kerana kerajaan adalah kerajaan, PN dan PH adalah parti politik.

“Saya merayu kepada semua Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, gunakanlah istilah kerajaan dengan betul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Prof Ridhuan Tee berkata, Kerajaan Malaysia dahulunya adalah Kerajaan Tanah Melayu (Negeri-Negeri Melayu) iaitu di bawah naungan Raja-Raja Melayu, sebelum wujudnya parti politik.

“Kerajaan, kata akarnya raja. Apabila raja berjaya membentuk negeri atau negara (sempadan berdaulat), maka nama kata akar raja (pemerintah) menjadi kerajaan.

“Kerajaan berdaulat. Parti politik tidak berdaulat. Parti politik boleh diharamkan, manakala kerajaan terus kekal,” katanya.

Justeru, istilah kerajaan adalah paling tepat bagi menterjemahkan maksud Kerajaan Malaysia yang sebenar, bukan kerajaan parti politik.

“Parti politik datang dan pergi. Kerajaan Malaysia akan terus kekal, tidak kira parti mana yang menang dalam pilihan raya.

“Hari ini, PN atau PH akan menjalankan fungsi kerajaan, sebutlah dengan betul Kerajaan Malaysia yang diketuai atau dipimpin PN atau PH. Bukan kerajaan PH atau kerajaan PN,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment