Tuesday, February 23, 2021

Penjara 6 Bulan, Denda RM2,000 Jika Ekzos ‘Bising’

KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan yang didapati membuat kesalahan mengubah suai ekzos sedia ada hingga mendatangkan bunyi bising akan berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan, selain denda maksimum RM2,000.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias berkata, kesalahan itu termaktub di bawah Kaedah 103 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959).

“Kaedah itu menyatakan setiap ekzos (penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah diselenggara setiap masa supaya berada dalam keadaan baik.

“Jadi, bagi sesiapa yang membuat pengubahsuaian itu sehingga mengganggu ketenteraman awam didapati melakukan kesalahan di bawah kaedah itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perkara itu termaktub di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang turut memberi kuasa kepada polis untuk menyita motosikal pemilik bagi mengelakkan kesalahan itu berulang.

“Dengan itu, polis boleh menahan motosikal tersebut sehingga pemilik motosikal mampu mengambil langkah menjamin kesalahan tersebut tidak berulang lagi.”

Azisman berkata, pihaknya turut akan mengadakan operasi bersepadu dalam masa terdekat bersama jabatan serta agensi lain, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Menerusi operasi itu, setiap motosikal akan diukur bagi mengenal pasti sama ada pemilik mematuhi paras bunyi ekzos dibenarkan. Kompaun akan dikeluarkan JAS sekiranya melebihi paras bunyi ditetapkan.”

Beliau mengingatkan ia bukan hanya tertakluk kepada pemilik motosikal, tetapi turut melibatkan pemilik kenderaan bermotor lain supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya melibatkan sebarang pengubahsuaian kenderaan bermotor. - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment