Thursday, February 4, 2021

Etnosentrisme Di Sebalik Kepelbagaian?

Penyediaan panduan pendidikan tulisan Jawi di tahun empat mulai 2021 yang berbentuk kepelbagaian bahasa, masih mahu ditolak masyarakat bukan Melayu. Panduan ini wujud antaranya kerana dikehendaki sedemikian rupa oleh pelbagai pihak yang membantahnya, walaupun amat ringkas sifatnya.

Setelah siap dan mahu dilaksanakan, ia ingin ditolak lagi dengan mengatakan panduan kepelbagaian iitu terus tidak dapat menghilangkan kebimbangan banyak pihak, khususnya ibu bapa tentang tujuan sebenarnya pendidikan tulisan Jawi ingin diadakan.

Sehubungan itu, Dong Jiao Zong iaitu gabungan pertubuhan pengelola dan guru sekolah Cina mengeluarkan kenyataan agar pendidikan tulisan Jawi tersebut tidak dilaksanakan langsung, walaupun kini diajar bersekali dengan kaligrafi Cina dan lain-lain seperti yang dituntut keras sebelum ini.

Alasan Dong Jiao Zong kali ini ialah panduan kepelbagaian bahasa dalam mengajar tulisan Jawi itu masih tidak berupaya menghilangan keraguan yang terus wujud pada semua pihak yang membantah. Sebenarnya pihak inilah yang mencadangkan kaedah sama-sama mengenali sistem tulisan lain semasa mempelajari sistem tulisan Jawi. Kini setelah ia mahu dilaksanakan sedemikian seperti yang dikehendaki, mereka pula yang mahu menangguhnya sekali lagi, malah mahu memansuhkannya untuk selama-lamanya.

Alasan kali ini dalam cuba menolak pendidikan tulisan Jawi ini ialah tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan semasa yang memerintah didakwa tidak mendapat mandat rakyat, justeru tidak boleh dipercayai untuk diterima panduan berkenaan. Dalam hal ini, mereka akan kononnya menerima panduan ini yang mereka sendiri cadangkan sekiranya kerajaan sebelum ini yang kini memerintah.

Sebenarnya alasan sebegini bukan sahaja memperlihat mereka ini bangsat yakni berperangai buruk untuk memanipulasi keadaan, mereka ini adalah bajingan, iaitu penjahat yang bijak mengeksploitasi situasi. Ini kerana mereka sebenarnya tidak mahu unsur Melayu sahaja dalam rakyat mendukung identiti negara kini. Oleh itu, mereka akan terus-terusan mencari dalil, sama ada munasabah mahupun sebaliknya untuk mewujudkan kepelbagaian budaya, iaitu semua budaya ditonjolkan bersama-sama dan lebih penting ialah kesemuanya mempunyai taraf sama rata antara satu sama lain.

Ini merupakan ikhtiar untuk bukan sahaja mencairkan, malah menghapuskan identiti nasional yang dipersetujui bersama sebagai terdiri pertama-tamanya daripada simbol dan proses sosiobudaya Melayu pada perjanjian etnik Melayu-Cina-India menjelang kemerdekaan. Dengan itu, panduan kepelbagaian ini selain memuatkan pendidikan tulisan Cina dan Tamil yang ikut memasukkan maklumat tulisan bahasa Iban dan Kadazandusun adalah bertentangan dengan persetujuan pada kontrak sosial itu, apabila ia pula disampaikan dalam mata pelajaran bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara.

Kesemua ini yang bertujuan ikut mengenal sistem tulisan lain semasa tulisan Jawi diperkenalkan boleh dilakukan dalam mata pelajaran lain, tetapi tidak boleh sesekali dilakukan semasa mata pelajaran bahasa Melayu. Ini kerana taraf bahasa Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu bukan sahaja perlu dilindungi dalam kurikulum dan sukatan pelajaran, ia wajib diajar dan dipelajari bersendirian untuk menaungi syiarnya. Apabila berkongsi dengan bahasa lain, ia adalah satu muslihat untuk mengkhianati kebesarannya sebagai bahasa negara.

Kini Dong Jiao Zong mendesak untuk diwujudkan jawatan kuasa khas bagi membolehkannya ikut terlibat dalam pelaksanaan panduan yang akan diguna pakai tidak lama lagi untuk sama-sama membuat keputusan selain menyelia. Seperkara penting di sini ialah penglibatan aktivis pendidikan bukan sahaja tidak akan membantu proses pengajaran dan pembelajaran, ia akan mejahanamkan sistem pendidikan negara. Ini kerana keputusan mereka adalah perhitungan politik, khususnya nasionalisme etno-Cina dan bukannya pertimbangan pendidikan yang murni.

Dong Jiao Zong yang begitu rakus, iaitu hanya mementingkan sikap etnosentrik Cina dengan cuba berselindung di sebalik kepelbagaian bahasa, kini mula dilihat sebagai anjing buruk kepala, yakni dibenci banyak pihak. Ini kerana tindak tanduknya yang mahu melindungi pendidikan aliran bahasa Cina tanpa mengira kesan kepada negara, mulai disedari banyak pihak sebagai bukan sahaja etnosentrisme Cina yang totok tetapi perbuatan subversif, yakni yang akan mengugat sistem kenegaraan sedia ada.

Lanjutan daripada itu, tema kepelbagaian budaya yang di dalamnya terkandung bahasa, cuba dijadikan citra negara yang baharu. Perencanaan penuh culas ke arah ini cuba dianjurkan atas niat murni untuk menggalakkan pertukaran budaya. Namun dalam kepelbagaian ini, kita dapat lihat dengan jelas, etnik Cina terus memperkukuh budaya mereka tanpa segan silu selain secara angkuh lagi tanpa mahu mengambil tahu langsung tentang warisan etnik lain.

Sudah tiba masanya kita berani berhadapan dengan muslihat culas ini secara lebih pasti dengan tekad dan azam jitu agar ia ditangani semasa masih di peringkat awal untuk mengelak krisis lebih besar nanti. Ini persoalan negara yang tidak boleh diketepikan seolah-olah ia tidak wujud. Ia memang wujud dan disedari banyak pihak tetapi tidak mahu membicarakannya, khususnya oleh pemimpin negara yang rata-ratanya lebih bertindak sebagai ahli politik yang mementingkan diri sendiri daripada negarawan yang berkorban demi negara tercinta.

Oleh: PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong

No comments:

Post a Comment