Sunday, February 14, 2021

Melupakan Keceluparan....Akhirnya Dayus Dalam Perkongsian

Parti Melayu lupa keceluparan Gerakan demi kerusi, kuasa?
BANGI – Kemasukan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ke dalam Perikatan Nasional (PN) tidak ubah seperti kewujudan parti rasis DAP dalam Pakatan Harapan (PH) ataupun MCA dalam Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman yakin parti berasaskan perkauman itu akan meminta dan mendesak apa sahaja selepas menganggotai kerajaan.

Sementara parti Melayu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan PAS tidak mustahil akan tetap menerima tanpa syarat atas kemungkinan takut pengundi Cina lari dari mengundi mereka dalam pilihan raya kelak.

Walhal yang sebenarnya sudah terang lagi bersuluh pengundi Cina memang sudah lari sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lagi, dakwa Ustaz Hazizi.

Susulan penyertaan Gerakan ke dalam PN kelmarin, beliau mempersoalkan sama ada parti itu dan MCA akan menarik balik segala kenyataan celupar mereka yang menyentuh agama Persekutuan dan budaya kebangsaan yang berteraskan Islam dan Melayu.

“Adakah mereka memohon maaf atas kenyataan biadab itu sebagai syarat untuk berada dalam pakatan kerajaan yang berkuasa? Tidak. Ini kerana yang penting bagi parti-parti Melayu ini ialah kerusi kuasa.

“Tapi kuasa untuk apa? Untuk halang DAP daripada berkuasa? Hakikatnya MCA dan Gerakan adalah penerus agenda DAP dalam kerajaan PN. Sudah berapa kali dibuktikan, tak mendengar kata sungguh mereka ini,” dakwanya dalam kenyataan.

Enggan mengulas lebih lanjut kenyataan dan pendirian jelik parti-parti berkenaan, Ustaz Hazizi secara ringkas merumuskan bahawa semua tindakan itu menuju kepada satu kesimpulan bahawa mereka antiidentiti nasional watan ini.

Bahkan dakwanya, mereka juga menyuburkan identiti rasis secara sistematik melalui sekolah vernakular dan enggan ke sekolah kebangsaan.

“Jadi apa gunanya berkuasa jika tidak dominan mengakurkan ultra kiasu pada identiti watan? Jika pihak yang berkuasa tidak mahu menggunakan kuasa, malah melutut kepada ultra kiasu tanpa sebarang alasan, itu maknanya dayus.

“Oh, alasannya ada pada pemikiran tuan guru yang berlapis-lapis. Oh, alasannya ialah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Oh, alasannya ialah menjaga imej parti yang menerima hakikat Malaysia negara majmuk berbilang bangsa dan agama.

“Ini semua wirid sebelum PRU-13 lagi. Dulu ijtihad sudah salah. Kali ini kalau pun salah lagi, tetap ada satu pahala ya,” katanya sinis.

Beliau mengingatkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ ketika lemah, tidak menerima kerjasama politik apabila pihak lain meletakkan syarat yang memungkinkan kepimpinan hilang daripada tangan Islam di masa depan.

Parti-parti Cina bebas buat apa sahaja, itu maknanya kepimpinan di tangan mereka.

“Nabi mencari keakuran pada kepimpinan baginda, sejak di Mekah lagi. Itu erti Islam memimpin.

“Tapi malang, umat Islam terlepas mulut harimau, pemimpin parti Melayu yang berkuasa pergi cari buaya kerana tidak tahu berenang,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment