Thursday, February 18, 2021

Gerombolan Chauvinist Sedang Membina Negara Dalam Negara....

Ancaman! Bilangan SJKC sudah terlalu banyak, 1 per 4 jumlah SK
BANGI – Sekolah Kebangsaan (SK) harus dilindungi sebagai aliran utama dan tidak boleh sesekali dicabar oleh aliran bukan utama, apatah lagi digugat daripada segi bilangan pada nisbah yang akan memperlihatkan nilai rendah pada sekolah itu.

Atas dasar itu, kerajaan diminta bertindak mengikut Akta Pendidikan 1996 dan bertegas bagi melindungi sistem pendidikan negara yang perlu diwakili oleh SK dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sebagai aliran utama.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong tidak menafikan bahawa permintaan untuk menghantar anak-anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) meningkat bukan sahaja pada enrolmen murid Cina bahkan bukan Cina.

Bagaimanapun, tegasnya, itu bukan alasan untuk terus membina lebih banyak SJKC sehingga jumlahnya hampir satu perempat daripada semua sekolah rendah di negara ini.

“Sebagai hanya sekolah jenis kebangsaan yang bukan kebangsaan sepenuhnya dan ala-ala kebangsaan sahaja, SJKC tidak sepatutnya wujud dalam kadar yang begitu tinggi, iaitu sekitar 25 peratus. Dengan pembinaan SJKC baharu, kadar ini akan terus meningkat.

“Bilangan yang sudah besar ini yang akan bertambah besar lagi dengan pembinaan SJKC baharu sekali gus tidak menggambarkan sistem pendidikan negara sebenarnya yang seharusnya dikuasai SK pada kadar yang lebih besar dan bukannya sekitar 75 peratus sahaja.

“Ini kerana SK adalah aliran pendidikan utama di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan pihak tertentu yang mahu kerajaan membina lebih banyak sekolah Cina dan memberi peruntukan saksama kepada 81 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di negara ini.

Dalam hal ini, Prof Kok Seong berkata, bilangan SMJKC tidak mudah untuk ditambah bilangannya lagi berbanding SJKC.

Katanya, jumlah SJKC – yang sepatutnya ada had bilangannya – kelihatan tidak lagi terikat kepada peraturan itu semenjak belakangan ini.

“SJKC sebagai aliran bukan utama tidak seharusnya berada pada kadar begitu tinggi, iaitu sekitar 25 peratus dan akan bertambah lagi kadarnya apabila dibina SJKC baharu.

“Perangkaan ini penting untuk citra sistem pendidikan negara dan SK adalah maruahnya,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha MCA Bahagian Rasah, Ng Kian Nam menggesa kerajaan untuk bersetuju membina lebih banyak sekolah Cina di kawasan perumahan baru.

Gesaan itu disuarakan selepas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon memberi peruntukan bagi penyelenggaraan dan pembaikan 16 Sekolah Menengah Cina.

Pada masa sama, pertubuhan radikal Dong Zong meminta kerajaan berlaku adil dengan menginstitusikan pemberikan peruntukan kepada 81 buah SMJKC.

Ini kerana, pertubuhan itu beranggapan, pemberian di bawah peruntukan kebajikan awam kepada 16 buah sekolah menengah yang dikeluarkan dari senarai SMJKC sebelum ini, bukanlah jaminan jangka masa panjang untuk pendidikan Cina. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment