Monday, February 1, 2021

1 Februari 1948: Memperingati Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu

Ramai yang malu mengaku Melayu, jauh sekali berjuang ubah nasib anak bangsa
SAYA yakin ramai yang tidak mengetahui bahawa tarikh 1 Februari adalah hari penubuhan Persekutuan Tanah Melayu di mana negeri-negeri Melayu telah diisytiharkan sebagai sebuah persekutuan, ataupun negara.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 ini adalah hasil perjuangan jitu orang Melayu yang bersatu-padu menggagalkan penubuhan Malayan Union yang sepatutnya menjadi satu entiti koloni mahkota British. Tidak lama selepas itu, Tanah Melayu pun diisytiharkan merdeka dan kemudiannya terbentuknya Persekutuan Malaysia selepas Sabah, Sarawak dan Singapura menyertainya.

Saya tidak ingin menceritakan lanjut mengenai perincian-perincian sejarah tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu, tetapi saya ingin menulis mengenai iktibar dan refleksi realiti masa kini terhadap perkara ini.

Kini, bukan sahaja tidak ramai yang tahu akan asalnya Malaysia adalah Persekutuan Tanah Melayu tetapi memang sudah jadi norma bahawa apabila disebut perkataan “Tanah Melayu” maka dilabelnya sebagai rasis dan pelbagai konotasi negatif. Ini membimbangkan kita kerana hakikat ini akan menjadikan generasi akan datang tidak mengetahui akan asal usul negara bangsa yang kita ada hari ini. Malah, ‘Melayu’ mereka akan hanya pada nama sahaja.

Konotasi Tanah Melayu memberikan makna bahawa bangsa Melayu berdaulat di tanah airnya sendiri, maka mereka perlu ada rasa izzah dan bersungguh-sungguh untuk menjaga izzah itu dengan berusaha bersungguh-sungguh membangun anak bangsa dari segenap aspek.

Bangsa lain bangga menyebut tentang bangsa mereka, menyebut tentang tanah mereka. Namun, semakin ramai orang Melayu malu mengaku Melayu, jauh sekali ingin berjuang mengubah nasib anak bangsa mereka sendiri yang ketinggalan.

Bukan setakat itu, saya bimbang jika naratif sejarah akan ditukar dimana hakikat tanah ini adalah asalnya Tanah Melayu akan lenyap dan akhirnya orang Melayu tidak merasakan ini adalah tanah keramat yang diwariskan nenek moyang mereka.

Jika kita lupa akan asalnya tanah ini, maka kita akan tidak merasakan apa-apa apabila tanah-tanah Rizab Melayu hilang digadai kepada orang lain. Itu yang kita sudah mula lihat berlaku pada masa kini. Apatahlagi apabila menjadi pemimpin; tiada rasa bersalah menggadai tanah dan maruah bangsa.

Apa salahnya tarikh 1 Februari dijadikan cuti umum di semua negeri yang pernah menganggotai Persekutuan Tanah Melayu. Bukan sahaja cuti, kita jadikannya sebagai sambutan tahunan sebagaimana kita menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Kita sambut kemenangan kita menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu setelah berjaya menumbangkan Malayan Union yang penuh tipu daya. Bayangkan apa yang akan terjadi jika kita terus dengan Malayan Union, dan tidak berjaya menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu?

Alangkah baiknya jika perkara ini direalisasikan suatu hari nanti.

Oleh: Aminuddin Yahaya

No comments:

Post a Comment