Siasat lagi berkemungkinan masih ada wakil rakyat lain turut terbabit
BANGI – “Apakah negara akan selamat jika ada pengganas menjawat jawatan penting dalam kerajaan, yang mana mereka juga membuat polisi dan dasar-dasar negara?.”
Demikian persoalan dibangkitkan Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya susulan penangkapan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan, selepas dipercayai terbabit upacara perjuangan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
LTTE diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas oleh lebih 30 negara termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Kumpulan pengganas yang diketuai V Prabhakaran itu mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara negara pulau itu apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat Tamil, iaitu kumpulan minoriti.
Yakin semua rakyat terkejut dengan penangkapan dua individu dalam parti dominan kerajaan Malaysia, Aminuddin kesal bagaimana ada wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya boleh terbabit dengan kumpulan pengganas antarabangsa.
“Ini membuatkan kedudukan negara menjadi terancam kerana mereka yang ditahan adalah dari kalangan pihak sedang memegang kuasa kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bimbang dengan keadaan itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berkata, kerajaan perlu bertegas dan menyiasat dengan teliti kerana berkemungkinan ada lagi wakil rakyat yang turut terbabit sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen.
“Untuk masa hadapan, saya mencadangkan agar sebelum layak jadi calon, kajian terperinci terhadap latar belakang calon perlu dibuat untuk mengelakkan mana-mana individu yang terbabit dengan kegiatan pengganas diangkat sebagai wakil rakyat mahupun apa-apa jawatan penting kerajaan.
“Yang terbukti terlibat dengan kegiatan atau kumpulan pengganas perlu lepaskan jawatan. Parti yang terbabit juga mesti memecat mereka supaya tidak dikaitkan dengan pengganas. Semoga keamanan dapat terpelihara di negara ini. Insya-Allah,” katanya.
Semalam, tujuh individu termasuk dua ADUN dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan pengganas LTTE.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan mereka di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah dalam operasi khas bermula 9 pagi hingga 2 petang.
Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan ADUN dari Negeri Sembilan kerana menghadiri Program Hari Perwira LTTE pada 28 November tahun lalu di Melaka dan menyampaikan ucapan berunsur sokongan dan mengedar risalah serta item berkaitan kumpulan itu.
Tangkapan kedua membabitkan ADUN di Melaka apabila pembabitannya hampir sama dengan ADUN Negeri Sembilan yang turut menghadiri program terbabit.
Semua mereka ditahan 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). - www.ismaweb.net
No comments:
Post a Comment