Sekolah satu aliran pemangkin perpaduan rakyat Malaysia
Sejak kita merdeka pada 31 Ogos 1957, semua bangsa hidup di sebuah negara yang mementingkan keharmonian demi masa depan anak bangsa. Dalam semua sektor kehidupan, kepentingan semua kaum diambil kira.
Adakalanya pergaulan boleh sahaja merentas bangsa, keturunan dan budaya. Inilah kekuatan yang perlu dperlihatkan kepada dunia tentang keunikan Malaysia. Seluruh rakyat negara ini seringkali berbangga tentang perpaduan dan keharmonian yang wujud ini bagaikan aset yang sangat berharga.
Namun, masih terdapat kelompongan yang boleh diperbetul dan dibuat penambahbaikan demi kesejahteraan semua bangsa atau rakyat Malaysia. Perbezaan kaum bukan halangan untuk hidup bersama.
Sistem pendidikan negara ini mementingkan faedah semua bangsa. Hanya dengan keinsafan mendalam sahaja sistem pendidikan tanah air dapat diubah kerana ia mementingkan kestabilan negara melebihi segalanya.
Sistem sekolah satu aliran umpamanya, memberi ruang dan peluang untuk semua anak-anak semua bangsa mengikuti pembelajaran dalam suasana mesra merentas keturunan dan bangsa. Situasi ini tidaklah bermakna akan menghilangkan identiti sesuatu bangsa . Kewujudan sekolah vernakular iaitu sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.
Kita akui, setiap bangsa menyanjungi identitI bangsa masing-masing seperti tulisan, bahasa, makanan, pakaian, budaya, dan budaya hidup masing-masing. Namun, dalam konteks dunia pendidikan, pemikiran mementingkan identiti bukanlah keutamaan kerana keutamaannya adalah demi sebuah negara.
Perpaduan adalah misi sekolah satu aliran. Jika di universiti semua bangsa dan keturunan malah dari pelbagai negara di dunia boleh menimba ilmu bersama-sama, mengapa tidak di sekolah? Pengalaman kami di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terdapat pelbagai persatuan beridentiti bangsa, antaranya Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU), Persatuan Bahasa Tamil (PBT), Persatuan Bahasa Cina (PBC), dan Persatuan Bahasa Arab (PBA). Pelbagai aktiviti membabitkan kerjasama semua persatuan dapat dirancang dan dilaksanakan bersama.
Kebersamaan sebenarnya bukan sahaja dalam pendidikan, tetapi dalam semua aspek kehidupan. Malah penulis sendiri pernah mendapat didikan belajar di sebuah sekolah yang pelajarnya mengandungi pelbagai kaum. Kami turut mempelajari bahasa dan tulisan Cina walaupun kini tidak lagi mampu menguasai disebabkan tidak mempraktiknya. Justeru, menerusi sekolah satu aliran, peluang untuk pelajar memahami budaya hidup pelbagai bangsa lebih baik, malah membantu murid berkomunikasi lebih dari satu bahasa.
Sungguh menarik dan unik. Perpaduan kaum akan lebih utuh jika dipupuk sedari kecil lagi. Ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya . Hala tuju pemikiran murid-murid dibentuk oleh acuan pendidikan. Jika perpaduan dibentuk sewaktu kecil lagi, maka apabila besar nanti, tiada lagi pemikiran perkauman, malah saling menghormati budaya masing-masing. Sekolah satu aliran memberi peluang memberi peluang berlangsungnya bersifat silang budaya yang mungkin lebih menyeronokkan.
Penyair Usman Awang, antara pengarang kreatif tanah air yang menampilkan puisi-puisi bertemakan perpaduan kaum dan sejagat. Malah Usman disanjung oleh kalangan masyarakat bukan Melayu berikutan mesej perpaduannya itu.
Justeru, sekolah satu aliran membawa mesej kepentingan bersama semua kaum untuk hidup menikmati suasana pendidikan tanpa kehilangan identity bangsa masing-masing. Iltizam rakyat Malaysia untuk menyaksikan wujudnya sekolah satu aliran adalah gambaran impian untuk saling memberi dan menerima dalam konteks penyatuan perasaan cintakan Malaysia.
Jika Melayu, Cina, India serta pelbagai etnik dapat menjayakan pelbagai program bersama, makan bersama, bekerja bersama, maka tiada kurangnya untuk belajar bersama. Masing-masing boleh mempelajari bahasa ibunda masing-masing. Mungkin sukar memadam ketaasuban terhadap bahasa ibunda masing-masing.
Selama ini pun berkomunikasi dalam keluarga, masing-masing kaum menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Namun, apapun bahasa kebangsaan tetap menjadi bahasa rasmi negara.
Harus diinsafi bahawa, negara Malaysia dihuni rakyat pelbagai kaum yang berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan. Sistem pendidikan yang berteraskan perpaduan harus dilihat dalam konteks yang positif dan kesejahteraan bersama. Perjuangan membina kesejahteraan negara sangat penting demi masa depan negara.
Hanya dengan sekolah satu aliran sahaja, maka hala tuju membina negara Malaysia akan lebih utuh, kukuh dan usaha menterjemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dizahirkan sepenuhnya.
Apa yang lebih berharga buat rakyat Malaysia melainkan menjadi rakyat yang setia kepada perlembagaan dan berpegang kepada prinsip Rukun Negara. Setia dan menghormati raja-raja sebagai tonggak kepemimpinan negara. Bersatu hati membina sistem pendidikan untuk kebaikan semua.
Oleh: Dr. Ghazali Din
No comments:
Post a Comment