Monday, October 14, 2019

Dimana Terrorist Bersarang...

Semua parti politik, NGO terdedah risiko diresapi ideologi keganasan
PETALING JAYA: Pakar antikeganasan mengingatkan semua parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) terdedah kepada ancaman diresapi ideologi keganasan tanpa disedari pimpinan tertinggi entiti masing-masing.

Pakar Kajian Strategik dan Ancaman Keganasan Universiti Malaysia Perlis, Mohd Mizan Aslam berkata beliau percaya tidak ada satu entiti pun, baik parti politik atau NGO yang boleh berasa terselamat daripada ancaman ideologi bersifat ekstrem dan ganas, termasuk ideologi teroris.

“Teroris dan organisasi politik atau NGO mempunyai objektif berbeza, tetapi mempunyai persamaan yang jelas iaitu memerlukan kemudahan logistik seperti pendanaan, material, pekerja dan sokongan awam.

“Pakar terorisme menjelaskan kumpulan teroris mempunyai keperluan yang sama dan sering menjadikan parti politik dan NGO sebagai platform untuk mencapai agenda dirancang,” kata beliau kepada FMT mengulas mengenai perkembangan semasa di negara ini sekarang.

Khamis lalu, tujuh orang termasuk dua Adun DAP, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan, ditahan kerana didakwa terpalit dengan kumpulan pemisah di Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Semalam lebih ramai ditahan polis termasuk dua pemimpin DAP di Melaka.

Pihak polis dijangka memberikan butiran mengenainya hari ini.

Mizan, yang juga panel pakar deradikalisasi kementerian dalam negeri berkata, bukan sahaja DAP, melalui segelintir pemimpinya boleh dijadikan tempat berselindung oleh kumpulan seperti LTTE untuk menggerakkan ideologinya, malah perkara sama pernah berlaku dan melibatkan parti politik lain seperti PAS dan Umno.

“Dalam sejarah di Malaysia, ramai anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiyah (JI) pernah menjadikan PAS sebagai platform gerakan mereka, LTTE menjadikan DAP sebagai platform; Hamas, Fatah dan Mindanao Islamic Liberation Front (MILF) menggunakan Umno tanpa disedari, termasuklah gerakan seperti Ikhwan, Wahhabi, komunis, sosialis dan lain-lain.

“Walaupun ia bukan secara terus melalui parti politik atau NGO, tetapi ia boleh berlaku melalui pemimpin politik dan NGO,” katanya.

“Dari segi NGO pula, pertubuhan pengganas IS Iraq dan Syria menjadikan Jamat At-Tabligh dan Muslim Aid sebagai platform. Khalsa Barbar International (BKI) menjadikan Sikh Organisation for Prisoners Welfare dan Khalsa Aid sebagai platform; Hamas menjadikan International Islamic Relief Organization dan Holy Land Foundation for Relief Development sebagai platform, Saffron Terror (India) menjadikan Rashtriya Swayamsevak Sangh sebagai platform dan banyak lagi.

“Malah USAID juga pernah digunakan untuk penyaluran dana pengganas di Sudan,” katanya.

Mizan berkata, kumpulan pengganas juga menggunakan “industri gelap” seperti penyeludupan dadah, senjata api dan manusia sebagai alternatif bagi mendapatkan dana operasi mereka.

“Taliban pernah menggunakan Bagram Airbase di bawah seliaan tentera AS di Afghanistan sebagai laluan penyeludupan dadah ke AS, Taliban juga menggunakan mafia Rusia untuk melengkapkan aktiviti penyeludupan senjata api,” kata beliau.

Mizan berkata, beliau tidak menuduh atau memburukkan mana-mana pemimpin atau parti politik, sebaliknya mahu setiap pertubuhan mengambil langkah berhati-hati supaya perjuangan mereka tidak diresapi unsur keganasan.

“Semua pihak termasuk parti politik terdedah kepada ancaman pengganas yang mengambil kesempatan tanpa disedari termasuklah oleh pimpinan organisasi tersebut.”

Mizan ketika bercakap kepada FMT kelmarin menolak dakwaan bahawa LTTE sudah terkubur dengan mendedahkan penyebaran ideologi itu giat dijalankan di Malaysia, termasuk melibatkan pemimpin politik dan badan bukan kerajaan.

Beliau mendakwa penyebaran ideologi LTTE di negara ini berselindung di sebalik sekelompok individu yang berpengaruh dalam politik, termasuk segelintir pemimpin DAP. - www.freemalaysiatoday.com

1 comment:

  1. Kena hantar semua tamil elam ni balik India, kalau tak mahu jatuhkan hukuman mati mandatori pada mereka. Mereka ini terkenal dengan kekejaman Pengeboman Berani/Bunuh Diri dan keganasan membunuh sesiapa sahaja tanpa belas kasihan.

    ReplyDelete