Monday, October 21, 2019

DAP Cuba Serang Asas Pembentukan Negara?

SAYA bersetuju dengan beberapa pandangan bahawa serangan DAP ke atas Naib Canselor UM yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Maruah Melayu, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Haji Hashim, mahupun ke atas Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu UM yang merupakan Ketua Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, sebenarnya adalah satu serangan ke atas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Serangan terbuka ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mempunyai risiko politik yang tinggi berbanding serangan terbuka ke atas Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Haji Hashim mahupun ke atas Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, maka sebab itulah kita dapat melihat betapa serangan bertalu-talu dibuat sama ada oleh pemimpin DAP sendiri mahupun melalui mahasiswa dan graduan UM mendesak supaya Naib Canselor UM khususnya meletakkan jawatan.

Lebih jauh dari itu, serangan DAP ke atas Kongres Maruah Melayu ini sebenarnya bukanlah hanya serangan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi adalah serangan ke atas asas pembentukan negara itu sendiri kerana, berdasarkan keseluruhan kandungan kongres, apa yang cuba dipertahankan oleh Kongres Maruah Melayu ini adalah penegakan kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Serangan ini boleh dilihat jelas dalam ucapan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, di Dewan Rakyat pada Selasa, 15 Oktober, lalu dalam mana beliau, ketika mengulas mengenai isu Kontrak Sosial yang disebut dalam Kongres Maruah Melayu, menyatakan:
(1) Apakah social contract yang dikatakan tersebut? Where did this social contract come from between races? Did we pluck it out from the sky? Dari mana kontrak sosial ini wujud? Kenapa perlu isu ini ditimbulkan?
(2) To my knowledge, there is no social contract.
(3) Inilah masalahnya, sekiranya satu yang tidak wujud diwujudkan, out of thin air.

Saya tidak pasti dari sekolah mana dan di universiti mana Ramkarpal Singh mendapat pendidikan kerana jika beliau memperolehi pendidikan yang betul beliau sepatutnya tahu bahawa tokoh-tokoh perundangan besar negara dari Profesor Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim ke Profesor Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi semuanya menyatakan Kontrak Sosial ini wujud.

Paling sering dipetik mengenai kewujudan Kontrak Sosial ini adalah kenyataan bekas Ketua Hakim Negara merangkap bekas Yang di-Pertuan Agong merangkap bekas Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, berbunyi:

"We embarked on a journey as a constitutional democracy with the full realization that we were a multi-racial people with different languages, cultures and religion. Our inherent differences had to be accommodated into a constitutional framework that recognised the traditional features of Malay society with the Sultanate system at the apex as a distinct feature of the Malaysian Constitution. Thus there was produced in August 1957 a unique document without any parallel anywhere. It adopted the essential features of the Westminster model and built it into the traditional features of Malay society. This Constitution reflected a social contract between the multi-racial peoples of our country. Thus matters of citizenship for the non-Malays, the Malay language, and special privileges for the Malays and the indigenous peoples of Malaysia were safeguarded and given the added protection of requiring the consent of the Conference of Rulers before change could be effected to them. It is fundamental in this regard that the Federal Constitution is the supreme law of the land and constitutes the grundnorm to which all the other laws are subject. This essential feature of the Federal Constitution ensures that the social contract between the various races of our country embodied in the independence Constitution of 1957 is safeguarded and forever enures to the Malaysian people as a whole, for their benefit."

Jika peringatan Kongres Maruah Melayu mengenai penegakan Kontrak Sosial ini adalah satu sikap rasis yang merupakan satu kesalahan seperti yang didakwa, maka maknanya Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-215 di Istana Maziah, Kuala Terengganu, pada 16 Oktober 2008 pun bersikap rasis dan melakukan satu kesalahan jugalah kerana Mesyuarat Majlis Raja-raja ini juga turut mengingatkan penegakan Kontrak Sosial ini melalui titah berbunyi:
“Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract. Social Contract ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan Negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Social Contract tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.”

Jika peringatan Kongres Maruah Melayu mengenai penegakan Kontrak Sosial ini adalah satu sikap rasis yang merupakan satu kesalahan seperti yang didakwa, maka maknanya Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, pun bersikap rasis dan melakukan satu kesalahan jugalah kerana dalam Titah Perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 6 Ogos 2018 Baginda juga turut mengingatkan penegakan kontrak sosial ini melalui titah berbunyi:

“Meskipun berlaku perubahan Kerajaan, perkara-perkara asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan menyentuh Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, akan terus dipertahankan dan tidak akan dikompromikan. Perkara-perkara tersebut jangan sama sekali mahu disensasikan oleh mana-mana pihak. Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Perbuatan mahu merombak persetujuan dan Kontrak Sosial yang telah dipersetujui bersama, semasa menggubal Perlembagaan Merdeka, akan hanya mengundang kepada berlakunya suasana tidak harmonis yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam. Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah, apabila gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung.”

Sebab itulah saya sangat bersetuju dengan cadangan Sultan Azlan Shah pada 22 Oktober 2008 dahulu bahawa Kontrak Sosial perlu diajar di sekolah-sekolah dan di universiti-universiti bagi memastikan generasi muda Malaysia tidak buta sejarah dan tidak mudah ditipu atau diperkuda oleh mana-mana golongan yang mahu merombak Kontrak Sosial ini.

Oleh: DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF

1 comment: