
Kesal dengan kenyataan tersebut, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) menyeru Ketua Polis Negara supaya mencontohi negara Jepun yang memartabatkan bahasa ibunda mereka.
Menurut Timbalan Presidennya, Kamal Shukri Abdullah Sani, meskipun Mohammad Fuzi menerima arahan daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun ini seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan dan maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akibat daripada kekeliruan pemimpin politik.

“Sedangkan amalan memartabatkan bahasa kebangsaan dan hal perundangan yang berkaitan tidak tamat sekadar perkara itu sahaja walaupun penerangan mengenainya dicetak sehingga 2.6 bilion naskhah.
“Jika benar arahan itu daripada Dr. Mahathir, nampaknya beliau sudah lupa atau tidak belajar apa-apa daripada sejarah memartabatkan bahasa kebangsaan di Malaysia sejak merdeka,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online hari ini.
Kamal Shukri menambah, kerajaan perlu mencontohi negara Jepun seperti mana dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Salleh Ismael yang meniru konsep ‘pondok polis’ untuk membanteras jenayah dan memberi khidmat komuniti di Kuala Lumpur.
“Itulah tugas pasukan polis disamping menjaga keselamatan dan keamanan negara.
“Baru-baru ini Perdana Menteri telahpun melawat Jepun, beliau sepatutnya mencontohi cara pasukan keselamatan negara itu memartabatkan bahasa ibunda mereka.
“Memang wajar anggota PDRM memperkasakan bahasa Inggeris, tetapi bukan dengan cara menggunakan urusan rasmi jabatan sekali gus mencabul hak penggunaan bahasa kebangsaan,” ujarnya. - utusan online
Kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara - ASASI
KUALA LUMPUR - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) menyuarakan rasa kesal dan kecewa dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohammad Fuzi Harun bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula menggunakan bahasa Inggeris bagi taklimat dan operasi harian mereka.

"Kenyataan KPN ini seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris, semalam disifatkan tidak wajar dan mencabar undang-undang bahasa rasmi negara yang jelas mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan kerajaan.
"KPN sebagai ketua pasukan yang bertanggung jawab menguatkuasakan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan sepatutnya lebih arif tentang tuntutan Perlembagaan dan undang-undang tentang kewajipan semua urusan rasmi dijalankan dalam bahasa Melayu," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. - utusan online
No comments:
Post a Comment