Justeru, telah kedengaran dan wujud gelombang massa khususnya ‘budak-budak politik’ mendesak supaya dimasukkan sejarah ‘sumbangan PKM’ ke arah kemerdekaan Tanah Melayu dalam kurikulum sejarah yang diajar di sekolah-sekolah. Namun, benarkah gerakan bersenjata secara terbuka oleh PKM menentang British dan kemudian Angkatan Tentera Diraja Malaysia dianggap gerakan menuntut kemerdekaan negara? Persoalannya apakah yang hendak dimerdekakan? Dari siapakah kemerdekaan hendak diraih? Siapa pula yang akan menjadi kerajaan setelah gerakan menuntut kemerdekaan dicapai?
Sebenarnya agak pelik jika dikatakan gerakan komunis adalah gerakan kemerdekaan negara ketika tujuan utama gerakan komunis ialah menghalau British dan membunuh seberapa ramai orang Melayu yang boleh.
Sepanjang ‘perjuangan komunis’ di Tanah Melayu, tujuan utama mereka hanyalah hendak mendirikan sebuah kerajaan komunis di Tanah Melayu. Kerajaan yang ditubuhkan itu tidak berasaskan penduduk Melayu sebagai penduduk asal dan sistem politik yang sudah diamalkan sejak ratusan tahun. Sebaliknya mereka mahukan sistem politik baharu yang diambil dari luar.
Niat dan hasrat mereka ini jelas dengan tindakan keganasan yang berterusan menentang Angkatan Tentera Malaysia walaupun Malaysia telah merdeka. Mereka tidak iktiraf kemerdekaan 1957 kerana bukan mereka yang menguasai Malaysia. Ketika Perang Dunia Kedua tidak ada sebarang rekod dan maklumat pun yang membuktikan MPAJA ataupun Bintang 3 bertempur dengan Jepun bagi menamatkan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Sebaliknya semua senjata yang British bekal dan latihan ketenteraan yang anggota MPAJA terima dari British semasa pendudukan Jepun disimpan.
Semasa Perang Dunia Kedua, MPAJA dan Bintang Tiga hanya menyembunyikan diri dan mengamuk di kawasan kampung-kampung Melayu. Peristiwa MPAJA dan Bintang Tiga membunuh orang Melayu di Batu Pahat, Johor dan Sungai Manik, Perak semasa pendudukan Jepun adalah antara contoh keganasan PKM yang tidak dapat dilupakan oleh orang Melayu dan Cina sehingga ke hari ini. Ramai terkorban ekoran keganasan komunis ketika itu. Pengalaman di kedua-dua tempat ini lebih dahsyat daripada peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Malangnya peristiwa tersebut tidak dipaparkan di dalam sukatan mata pelajaran sejarah di sekolah-sekolah. Zaman Perang Dunia Kedua hanya banyak memaparkan penderitaan ekonomi orang Melayu dan kezaliman tentera Jepun terhadap Orang Cina sahaja. Walhal, waktu itu orang Melayu lebih teraniaya dan dizalimi oleh pengganas Komunis.
Kita memahami peristiwa dahsyat ekoran keganasan MPAJA dan Bintang Tiga terhadap orang Melayu di kampung-kampung Melayu semasa Perang Dunia Kedua kurang sesuai dijadikan bahan pembelajaran di peringkat sekolah. Namun, niat murni dasar pendidikan negara yang mahu mewujudkan keharmonian masyarakat bukan sahaja gagal memberikan pengajaran kenegaraan, malah diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang masih lagi mengekalkan hubungan dengan saki baki anggota komunis yang masih hidup. Justeru, amat mengelirukan dan lebih menyesatkan apabila keganasan PKM yang di dalam wajah MPAJA dan Bintang Tiga dianggap pejuang kemerdekaan atau pejuang rakyat.
Satu persoalan akhir ialah mengapa mesti dimasukkan dalam kurikulum sejarah negara ketika mata pelajaran Sejarah tidak dianggap penting dalam Sijil Peperiksaan Bersama (UEC)? Jika benar ‘sumbangan PKM’ dalam usaha menuntut kemerdekaan memang besar, masukkan dahulu ke dalam sukatan sejarah dalam sijil UEC yang hendak diiktiraf itu. Kita mahu lihat sejauh mana hebatnya apa yang dikatakan sejarah pejuang rakyat yang ‘tiada tolok bandingnya’ dalam sukatan sijil Dong Zong
Bagi sesetengah pihak jangan terlalu mudah memberi pengiktirafan kepada pihak-pihak yang mahukan menafikan sejarah negara ini. Selagi ada orang Melayu yang mengetahui dan mengalami kepahitan hidup zaman keganasan komunis, jangan dilayan kerana mahukan pengganas diangkatkan sebagai pejuang negara.
Oleh : Mohd. Akbal Abdullah
No comments:
Post a Comment