DAP semakin jelas cuba memperlihatkan seolah-oleh semua kepentingan kaum Cina perlu dituruti. Sikap flip flop Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik selepas ‘disergah’ beberapa Ahli Parlimen dan ADUN DAP bahkan Timbalannya sendiri tentang peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) semakin mengesahkan tanggapan ini.
Sikap mendesak Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan SMPC segera diiktiraf, walaupun terang-terang sejak 1975 UEC menolak sistem pendidikan kebangsaan, mengesahkan Pakatan Harapan (PH) tidak lebih hanya tunggangan DAP.
Serangan terbuka ADUN Bercham, Ong Boon Piow ke atas Maszlee bagi menuntut peruntukan untuk SMPC menyerlahkan perangai oportunis wakil rakyat DAP.
Bukan sahaja tidak peduli tentang permuafakatan dalam PH bahkan masih dalam ‘mood’ pembangkang mendesak Perdana Menteri meneliti semula kelayakan Maszlee memegang jawatan Menteri Pendidikan.
Hakikatnya, sudah banyak orang Melayu bertolak-ansur sejak sebelum merdeka lagi dengan memberikan taraf kerakyatan serentak kepada jutaan bukan bumiputera.
Belum 100 tahun generasi mereka hidup bebas menikmati mobiliti sosial dan ekonomi di tanah air ini, banyak pula tuntutan melampaui batas timbul, tidak sampai 100 hari PH mentadbir Putrajaya.
Jika ikhlas bercakap tentang Malaysia baharu dan menolak politik perkauman, DAP tidak wajar ikut jalan belakang menjadi ‘MCA dalam PH’ untuk muncul juara Cina.
Kerajaan PH perlu membuka buku baharu dalam sistem pendidikan negara dengan mengutamakan perhatian serta peruntukan kepada sekolah kebangsaan.
Sekolah vernakular terbukti tidak membantu integrasi kaum dengan ramai generasi muda bukan Melayu kini langsung tidak menguasai bahasa kebangsaan. Apatah lagi produk lepasan SMPC.
Ironinya, jenis yang sibuk bercakap soal ‘bangsa Malaysia’, cakap ‘bahasa Malaysia’ pun tak tahu. Lantang menuntut itu dan ini demi kaumnya sahaja.
Kerajaan tidak sepatutnya menyalurkan dana kepada SMPC yang sudah sedia mewah disokong penuh oleh taikun-taikun kaya. Utamakan pendidikan kebangsaan dan tunaikan banyak lagi janji kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Abaikan DAP yang semakin hari semakin ramai wakil rakyatnya tunjuk belang demi kepentingan peribadi satu kaum sahaja.
Oleh ; Arif Atan
No comments:
Post a Comment